The Tinder Swindler : Kisah Tipu Daya ‘Simon Leviev’ di Platform Online Dating
Memang tepat dengan ambang sambutan Valentine’s Day, Netflix kini menyajikan The Tinder Swindler, sebuah crime documentary.
Diambil dari insiden sebenar, The Tinder Swindler mengisahkan tentang jenayah penipuan yang dilakukan oleh Shimon Hayut, seorang lelaki warganegara Israel.
Siapa Shimon Hayut di The Tinder Swindler ?
Dokumentari ini boleh menjadi bukti implikasi online dating kepada pengguna yang cuai. Kegiatan scam dalam platform online dating app dan website sebenarnya lebih parah dari yang anda sangka.
Berdasarkan data September 2021, FBI telah menerima 1,800 laporan berkaitan penipuan menerusi online dating.
Jika digabungkan, jumlah kerugian yang ditanggung pengguna akibat penipuan daripada online dating adalah sebanyak $133.4 million (RM 558 juta) !
Nama Shimon Hayut terus menjadi bualan warganet selepas dokumentari The Tinder Swindler mula tular di sosial media.
Apa Yang Sudah Shimon Hayut Lakukan dan Sejauh Manakah Penipuannya Berleluasa di Tinder ?
Shimon Hayut ialah seorang lelaki berusia 31 tahun yang menyamar menjadi seorang jutawan dengan nama samaran Simon Leviev.
Dia juga turut mengaku yang dia merupakan anak kepada Lev Leviev, seorang jutawan berdarah campuran Rusia dan Israel yang memiliki empayar perniagaan intan berlian.
Dengan identiti palsu ini, Shimon berjaya memperdaya ramai wanita di Tinder. Menerusi mangsanya di Tinderlah Shimon dapat ratusan ke ribuan ringgit hasil pujuk rayu dan penipuan yang sangat licik.
Menerusi The Times of Israel, dianggarkan Hayut berjaya menagih wang dari wanita-wanita yang dia kenali menerusi Tinder sehingga US$ 10 juta.
Duit hasil penipuan inilah yang Shimon gunakan untuk berbelanja persis seperti anak jutawan. Shimon juga terkenal sebagai seorang yang suka menunjukkan kehidupan peribadinya yang serba mewah di laman Instagram.
Menerusi dokumentari ini, mangsa-mangsa Shimon telah tampil dan bergabung untuk kongsikan kisah mereka di dokumentari The Tinder Swindler di Netflix.
Taktik Shimon @ Simon Leviev
Tiga mangsa Shimon iaitu Cecilie Fjellhoy, Pernilla Sjoholm dan Ayleen Chalotte berkongsi pengalaman mereka dengan Shimon sejak mula menjalinkan hubungan romantik secara online.
Setelah mengaku yang kononnya dia merupakan anak jutawan, Shimon akan menjerat mereka ke dalam dunia mewah dengan temujanji ke hotel 5 bintang sambil menaiki jet peribadi.
Apabila sudah meraih kepercayaan dari wanita-wanita ini, Shimon akan mula meminta sejumlah wang daripada mereka kononnya untuk selesaikan masalah peribadi.
Ketiga-tiga wanita tersebut kemudian sedar yang wang mereka sudah ditipu dan bertindak untuk dedahkan tipu daya Shimon kepada orang ramai melalui temu bual oleh akhbar Norway, Verdens Gang.
Apakah Nasib Mangsa Shimon ?
Dokumentari ini turut menceritakan usaha tiga mangsa tersebut yang berganding bahu dengan pelbagai pihak untuk memberkas Shimon. Semua ini adalah demi melindungi lebih ramai wanita daripada terperangkap dalam jerat lelaki ini.
Dilaporkan ketiga-tiga wanita ini masih bergelut untuk melangsaikan hutang-hutang yang telah Shimon lakukan atas nama mereka.
Setakat ini, mereka berjaya mengumpul dana dari orang ramai sehingga US$70,000 menerusi laman GoFundMe yang mereka bertiga bina.
Di Manakah Shimon Sekarang ?
Shimon telah dijatuhkan hukuman penjara selama 15 bulan pada tahun 2019 atas kesalahan menipu, tetapi tidak berkaitan dengan tiga wanita ini.
Namun dia telah dibebaskan selepas 5 bulan berikutan pengurusan penjara yang perlu kurangkan jumlah banduan pada ketika itu akibat pandemik Covid-19.
Sebelum ini, dia juga pernah dijatuhkan hukuman 2 tahun penjara di penjara Finland pada tahun 2015 akibat jenayah yang sama tetapi kes yang berbeza.
Pernilla Sjoholm turut kesal dengan kecekapan pihak berkuasa yang membiarkan orang seperti Shimon bebas sewenang-wenangnya. “ Sudah dua kali dia masuk penjara. Mengapa pihak berkuasa begitu mudah mempercayai Shimon ? Di manakah keadilan apabila kita memerlukannya ?”. Berkongsi lanjut, Pernilla juga pernah pergi ke temujanji mewah bersama Shimon ke persembahan opera menaiki limosin mewah.
Walaupun Shimon Hayut masih bebas di luar sana, dia telah dihalang sepenuhnya daripada menggunakan aplikasi dating tersebut.
“Kami telah ban Simon Leviev dan profil samarannya yang lain sejak muslihatnya diketahui umum pada tahun 2019. Kami juga telah lakukan beberapa siasatan dalaman dan boleh jamin yang Shimon tidak aktif lagi di aplikasi kami.” jelas pihak Tinder yang turut terkesan dengan perbuatan Shimon yang menjejaskan nama baik aplikasi ini.
Memetik USA Today, Shimon juga telah diharamkan daripada website dan aplikasi dating lain seperti OKCupid, Match dan Hinge.
Respon Shimon Hayut @ Simon Leviev
Selepas dokumentari ini ditayangkan, akaun Instagram Shimon dengan 200,000 pengikut dihujani komen negatif dari warganet.
Tak ingin berdiam diri, Shimon dikatakan akan mengeluarkan kenyataan tidak lama lagi untuk menjelaskan sisi ceritanya pula kepada semua. Tidak pasti sama ada digodam atau dipadam, akaun sosial medianya kini lesap tanpa jejak.
Isu scam menerusi online dating di The Tinder Swindler berjaya mendapat sambutan hangat di serata dunia. Dokumentari ini merekodkan 45.8 juta jam tontonan secara global dan berjaya tembus carta Top 10 di 92 buah negara.
Dokumentari yang dipetik dari insiden sebenar ini membuka mata penonton tentang kesan buruk platform online dating jika tidak digunakan secara berhati-hati.