Menjejak Sekolah Asal Che Aminah Yang Membentuk Inspirasi Filem Renjana


Filem Renjana yang disiarkan di Astro First baru-baru ini mendapat sambutan yang hangat daripada penonton. Di samping membawa penonton ke zaman 1900an, filem ini turut mengangkat kisah seorang wanita yang banyak jasanya pada pendidikan anak tempatan.

Diinspirasikan dari kisah benar, filem Renjana mengisahkan perjuangan Che Aminah sebagai guru perempuan pertama di Tanah Melayu. Pelbagai cabaran perlu dihadapi bagi membela hak pendidikan anak bangsa.

Menurut penerbit filem, Norley Aimi Nadiah Shaari, kisah yang berlaku kepada golongan wanita pada zaman tersebut tidak diketahui ramai kerana kurangnya inisiatif untuk diolah menjadi sebuah karya seni.

Selepas melakukan kajian dan pemerhatian, mereka mengambil keputusan untuk menjadikannya sebagai sebuah filem.

“Tidak ramai yang mengetahui kisah seorang wanita yang menjadi guru pertama di Tanah Melayu.

“Tanpa sedar, dia sebenarnya adalah lambang perjuangan wanita yang luhur dalam membela anak bangsa kita sejak dahulu,” katanya lagi.

che aminah dilakonkan oleh nabila huda

Menjejak Sekolah Asal Che Aminah

Meskipun diinspirasi dari kisah benar, kisah perjuangan Che Aminah cukup asing dan tidak pernah diceritakan sebelum ini.

Pengarah filem Renjana, Pali Yahya telah berkongsi secara ekslusif kepada Daily Rakyat mengenai inspirasi yang membentuk filem dengan nafas klasik ini.

Memang benar Che Aminah merupakan antara wanita Melayu terawal yang mengajar di Tanah Melayu. Bagi menjejaki wanita istimewa ini, kita perlu kembali ke tahun 1907.

Dalam filem tersebut Che Aminah sering dipandang serong oleh orang kampung kerana dianggap terlalu kebaratan apabila cuba meyakinkan ibu bapa untuk menghantar anak perempuan mereka ke sekolah.

Wanita yang berasal dari Pulau Pinang ini merupakan guru pertama yang mengajar di Sekolah Perempuan Seberang Perak. Pada awalnya, sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Perempuan Alor Setar.

Sekolah perempuan dalam filem itu benar-benar wujud kira-kira 120 tahun lepas !

Dibuka pada 23 November 1907 Sekolah Perempuan Seberang Perak merupakan antara sekolah tertua di negeri Kedah. Bangunan asal sekolah ini hanyalah sebuah rumah sewa yang terletak di Jalan Baharu, Alor Setar.

che aminah mengajar di sekolah seberang perak

Sekolah ini menerima 5 pelajar sahaja pada hari pertama pembukaan. Antara pelajaran yang diajar ialah menulis dan membaca Jawi, kira-kira, serta kemahiran sulaman dan mengait pada sesi pagi. Sementara bagi sesi petang, pelajar akan diajar membaca Al-Quran.

Setelah setahun dibuka, sekolah ini terpaksa ditutup selama beberapa minggu akibat serangan wabak kolera.

Pada tahun 1911, sekolah ini dicabar lagi dengan gangguan pemuda-pemuda terhadap guru dan murid-murid sehingga sekolah ini terpaksa berpindah ke Kampung Perak.

Sekolah ini terpaksa berpindah atas faktor bangunan sekolah yang sudah terlalu usang. Sekolah ini juga difahamkan telah berpindah ke beberapa lokasi sehingga ke tapak kekal pada tahun 1926 di Seberang Perak yang masih utuh sehingga ke hari ini.

Sekolah Perempuan Alor Setar telah menjadi tempat menimba ilmu bagi ribuan pelajar. Antara pelajar yang pernah menuntut ilmu di sekolah tua ini adalah Rafeah Mohamad dan Habsah Mohamad iaitu kakak kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad sementara Tun Mahathir sendiri pula ialah bekas pelajar Sekolah Seberang Perak Lelaki.

Kini sekolah bersejarah ini dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Seberang Perak serta dilengkapi dengan kemudahan  seperti bilik sains, perpustakaan, dan makmal komputer.

che aminah pasti akan bangga melihat perkembangan sk seberang perak sekarang

Renjana Paparkan Cabaran Wanita Zaman Dahulu Untuk Bersekolah

Filem ini mengangkat pergolakan batin wanita yang sering berdepan dengan kesukaran dalam hidup. Che Aminah yang menjadi watak utama dalam filem ini sering dianggap sial oleh penduduk kampung.

Setelah melalui episod hitam dalam rumah tangganya, Che Aminah bangkit dan mendapat semangat baru dari teman lamanya, Johan.

Untuk menjadi guru, Che Aminah pun mula belajar membaca dan mencipta sejarah sebagai guru wanita terawal di Tanah Melayu.

che aminah

Menurut Norley, Renjana ambil inspirasi daripada kisah guru pertama itu namun ditambah dengan beberapa plot lain oleh penulis skrip Adza Emi Adenan untuk menghidupkan jalan cerita.

Norley turut akui proses untuk menghidupkan zaman 1900an memerlukan perincian yang teliti dan memakan modal yang besar.

Namun, beliau cukup berpuas hati apabila Renjana berjaya menemui penggemar karya filem tempatan menerusi Astro First.

Pemilihan tema perjuangan wanita serta latar klasik yang jarang diketengahkan ini ternyata adalah langkah yang tepat. Hanya selepas 2 hari tayangan, filem arahan Pali Yahya ini berjaya merangkul carta filem Top 5 di Astro First ! Satu pencapaian yang ternyata cukup baik dan membuktikan bahawa filem sebegini masih ada penggemarnya tersendiri.

Barisan pelakon yang hebat serta keindahan yang dicetuskan dari sinematografi dan warna filem yang menarik juga dilihat menambah lagi daya tarikan filem ini. Jangan lepaskan peluang untuk menonton Renjana yang sudah ditayangkan di Astro First bermula 17 Mac 2022.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat