Stesen Minyak di Rantau Panjang Terbakar, Kereta Kanci 50 Peratus Musnah
Pekerja di sebuah stesen minyak di Rantau Panjang pada pagi ini berdepan dengan detik cemas selepas sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang sedang mengisi minyak tiba-tiba terbakar.
Menurut laporan akhbar tempatan, kejadian tersebut berlaku pada 8.35 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba Imran Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 8.36 pagi.
Menurutnya, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang telah dikejarkan ke lokasi untuk kerja-kerja memadam dan menyelamat.
“Bomba tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 8.40 pagi sebelum mendapati sebuah kereta jenis Perodua Kancil terbakar di situ.
Ketangkasan pihak kami mengaktifkan sistem keselamatan pam minyak itu menyebabkan api berjaya dikawal dan dipadamkan kurang dari 10 minit.
Kami mengambil masa selama tiga minit untuk mengawal kebakaran tersebut”, jelas beliau.
Kereta Perodua Kancil difahamkan dinaiki oleh dua individu namun kedua-duanya dipercayai menghilangkan diri sejurus kejadian.
Kereta berkenaan juga dilaporkan mengalami kemusnahan sekitar 50 peratus manakala sebuah pam minyak dengan empat nozzle hangus dan musnah seratus peratus.
Imran turut mengesahkan empat pam yang berada di stesen minyak berkenaan tidak terbabit, hanya satu pam yang mengalami kemusnahan.
Kejadian ini juga tidak melibatkan sebarang kemalangan nyawa. Punca dan kerugian pula masih dalam siasatan pihak Bomba.
Kebakaran tergempar di Rantau Panjang ini turut tular di media sosial. Video yang dimuatnaik di TikTok @Lani_Napasiro menyaksikan api menyambar salah satu pam di stesen minyak berkenaan.
Rata-rata netizen turut terkejut dengan kejadian ini sambil mendoakan agar semua yang berada di tempat kejadian selamat.