Selepas Puas Maki, Pemilik Hausboom Memohon Maaf Atas Kekasaran Bahasa, Tapi Tegaskan Isu Utama
Pemilik jenama minuman tempatan Hausboom telah memadam kenyataan beliau di Facebook yang menggunakan bahasa kesat kepada menteri belia dan sukan.
Azri Zahier Azmi juga memohon maaf kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman atas kekasaran bahasanya mengenai janji menteri berkenaan.
“Setahun, bajet kami ratusan ribu botol untuk diberi percuma. Ia juga bukan isu ‘menteri tidak tolong’ kami. Wallahi kami tidak kisah pun. Kami tahu bisnes ini lain permainannya.
“Isunya adalah janji dan harapan yang diberi. Bukan kepada aku seorang, ada banyak lagi yang diberikan janji sama.
“Cuma mereka memilih untuk berdiam diri dan telan sahaja butir pasir yang disuapkan,” katanya di Facebook malam tadi yang mengakui menteri itu terhutang RM192 sahaja.
“Pada aku, kalau tidak boleh kotakan janji pun tidak apalah. Bayar sahaja kos tajaan itu. Bukan banyak mana pun kepada sebuah kementerian, RM192 sahaja.”
Azri Zahier turut menulis “saya sejujurnya memohon maaf atas kekasaran bahasa” kepada Syed Saddiq dengan menjelaskan tindakannya akibat terlalu marah.
“Ramai sahaja usahawan mengucapkan terima kasih sebab jadi wakil meluahkan isi hati semua. Tetapi tidak apalah. Nasi sudah jadi bubur.
“Aku mengaku salah aku menggunakan bahasa yang kasar. Bak kata Chef Wan, ‘dirasuk syaitan’,” kata usahawan muda itu, yang dilaporkan mengedarkan Hausboom ke tujuh negara.
Kenyataannya dibuat tidak lama selepas Syed Saddiq melahirkan rasa kecewanya di Twitter dicaci sebegitu dan menjelaskan dakwaan kementeriannya menipu usahawan tempatan.
Tambahnya, beliau membawa minuman itu ke kabinet dan bertemu Tan Sri Vincent Tan untuk membolehkannya dijual di rangkaian 7-Eleven milik ahli perniagaan itu.
“Sesen pun saya tidak terima. Kredit ke atas kejayaan pun saya tidak ambil. Pemilihan pun dibuat oleh jawatankuasa bebas. Niat saya ikhlas untuk membantu produk anak muda,” kata Syed Saddiq.