“Belajar dari kesilapan dan teruskan perjuangan” – Dari Kedai Runcit Papan, Kini Mydin Catatkan Keuntungan 2.6 Bilion Setahun.


Nama pasaraya Mydin sudah tidak perlu diperkenalkan lagi di kalangan rakyat Malaysia. Dengan slogan,”Mengapa bayar lebih? Belilah dengan harga borong” pasaraya ini telah menjadi pusat membeli-belah pilihan utama yang menawarkan harga berpatutan.

Walaupun pengasasnya, Mydin Mohamed sudah meninggal dunia pada tahun 2016, legasinya tetap mekar di negara kita sebagai jenama pasaraya tempatan terkemuka di Malaysia.

Sejarah Awal Mydin

Mydin Mohamed pada mulanya berniaga secara runcit pada tahun 1940 di pasar malam. Percubaan pertamanya untuk berniaga terhalang apabila kedainya terbakar semasa Perang Dunia Kedua. Namun, dugaan ini tidak mematahkan semangat beliau untuk teruskan perniagaan.

Semasa berusia 21 tahun, pengasas yang berasal dari Pulau Pinang ini berkahwin dengan seorang gadis dari India iaitu Roshwan Bai. Mereka dikurniakan 4 anak lelaki dan 3 anak perempuan.

Ketika berusia 29 tahun, Mydin bangkit semula dan buka kedai runcit pertamanya semasa negara kecapi kemerdekaan pada tahun 1957. Kedai berdindingkan kayu ini terletak di Kota Bharu, Kelantan dan dinamakan Syarikat Mydin Mohamed.

mydin pada mulanya hanyalah kedai runcit papan

Kredit Foto : Kosmo

Kedai yang dibangunkan tanpa bantuan kerajaan ini mulakan perniagaan dengan menjual mainan kanak-kanak dan barangan am.

Lama-kelamaan, perniagaan kedai runcit sederhana ini dilihat semakin maju dan stabil. Justeru itu, Mydin pun mula mengorak langkah untuk lebarkan sayap ke Terengganu pada tahun 1979.

Anak Kedua Mydin Mula Sertai Perniagaan

Pada tahun 1987 perniagaan ini mula disertai oleh anak kedua Mydin iaitu Datuk Ameer Ali. Warganet pasti ingat lagi jasa Datuk Ameer Ali yang sudah menghalalkan barangan yang diambil oleh mangsa banjir di Mydin  Taman Sri Muda akibat terdesak tempoh hari.

ceo mydin halalkan barangan yang diambil mangsa banjir

Kredit : Facebook MYDIN Malaysia

Beliau memegang kelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Perniagaan Antarabangsa dari Sonoma University, California. Sebelum sertai syarikat perniagaan keluarganya, Datuk Ameer Ali sempat timba pengalaman bekerja di Arab Malaysia Merchant Bank terlebih dahulu.

Tahun 1989 pula menyaksikan titik tolak bagi permulaan empayar Mydin seluruh Malaysia dengan pembukaan cawangan di Jalan Masjid India. Cawangan ini berjaya menarik ramai pelanggan dan mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan.

Ini mencetuskan keyakinan kepada Datuk Ameer yang kini bergelar CEO kepada syarikat Mydin untuk buka pasaraya besar Mydin pertama di Subang Jaya.

Namun, Datuk Ameer akui pembukaan pasaraya di Subang Jaya bukanlah semudah yang disangka. Ketika itu, tiada satu bank pun sudi memberikan pinjaman untuk membuka pasaraya tersebut.

pembukaan pasaraya mydin di subang jaya mulanya diragui oleh pihak bank

“Ia adalah satu kerja gila untuk membuka sebuah pasaraya besar berdekatan dengan pasaraya yang sudah kuat dan terkenal (Giant). Bagaimana anda mahu bersaing dengan syarikat sebesar itu?”, kata pihak bank kepada beliau.

Pihak bank turut maklumkan keputusan tersebut adalah satu risiko besar kerana jenama ini terkenal dengan barangan murah dan pasarannya terhad kepada kawasan golongan berpendapatan rendah seperti Jalan Masjid India dan bandar-bandar kecil.

Namun perkara ini dibidas oleh Datuk Ameer sambil memberikan jawapan yang bernas dan tepat.

“Kenapa orang Malaysia suka pergi pasar malam ? Sebab harganya murah. Saya tinggal di Bangsar yang merupakan kelas pertengahan (ketika itu). Pernah tak anda pergi ke pasar malam di situ? Orang masih mahukan belian yang baik,”.

Setelah permohonan ditolak oleh bank berkali-kali, Mydin akhirnya mendapat pinjaman daripada Bank Arab-Malaysian Berhad.

Ternyata naluri hati beliau kuat apabila mendapati Mydin Subang Jaya mendapat sambutan hangat. Mereka juga terpaksa menambah tempat letak kereta untuk tampung lebih ramai lagi pelanggan yang berkunjung untuk membeli belah.

Melihatkan keberhasilan pasaraya pertama ini, pihak bank tidak lagi pertikaikan kemampuan pelan perniagaan yang dibawakan oleh Mydin.

mydin subang jaya mendapat sambutan hangat

Kejayaan Mydin

Kejayaan pembukaan pasaraya di Subang Jaya sekaligus menjadi pemangkin kepada Datuk Ameer dan kumpulan syarikatnya untuk luaskan lagi empayar perniagaan mereka.

Maka, Datuk Ameer pun membuka cawangan demi cawangan bermula daripada pasaraya besar sehinggah kedai runcit dan pasaraya mini bergantung kepada lokasi.

Bermula daripada perniagaan kedai runcit berdindingkan kayu, nama Mydin kini gah sebagai pasaraya besar dengan nilai berbilion ringgit.

Syarikat gergasi ini juga mencetuskan 6,500 peluang pekerjaan di serata Malaysia.

Pada hari ini Mydin Mohamed Holdings kini mempunyai lebih daripada 270 buah kedai, 18 pasaraya besar, 16 emporium, 3 bazaar, 48 pasar mini, 8 kedai serbanerka (MyMart), 6 cawangan MydinMart, 7 kedai runcit premium (Sam’s Groceria), 2 kedai makan premium (Sam’s Deli) dan terbabit dengan operasi 162 buah Kedai Rakyat 1Malaysia di seluruh Malaysia.

sam's groceria adalah milik mydin

Mungkin ramai yang belum tahu yang Sam’s Groceria dan Sam’s Deli adalah milik Mydin Mohamed Holdings, SAM adalah singkatan kepada “Saya Anak Malaysia”.

Kejatuhan Sam’s Groceria

Bidang perniagaan pasti ada jatuh dan bangunnya. Pada tahun 2018, syarikat ini mengumumkan untuk menjual francais Sam’s Groceria kerana telah menyebabkan kerugian tahunan pertama sebanyak RM 156 juta sepanjang 6 dekad beroperasi.

Antara punca kepada kerugian beratus-ratus juta ini ialah kerjasama Mydin dalam menbangunkan Kedai Rakyat 1 Malaysia.

Sam’s Groceria juga dilihat gagal untuk menarik pelanggan yang majoritinya terdiri daripada golongan expatriot di samping tidak dapat penuhi permintaan seperti penjualan arak.

Berdasarkan analisa dari The Edge Market, francais Sam’s Groceria dianggarkan berjumlah sekitar RM 50 juta.

Menurut Datuk Ameer Ali, kegagalan adalah peluang bagi kita untuk belajar supaya dapat menjadi lebih baik pada masa hadapan.

“Belajar dari kesilapan dan teruskan perjuangan. Sesebuah organisasi tak akan berkembang jika takut untuk lakukan kesalahan”, kata Datuk Ameer Ali.

Berkongsi rahsia kejayaan dengan orang ramai, Datuk Ameer Ali menggalakkan semua untuk manfaatkan kepakaran yang ada dan asahnya sebaik mungkin.

“Adalah sangat penting untuk kita tahu apa yang kita buat, dan buat apa yang kita tahu. Kami sudah lama menceburi bidang peruncitan dan borong, dan kami berpegang kepada kepakaran kami”, jelas Datuk Ameer Ali.

Beliau juga menegaskan kita harus mempunyai kemahuan untuk berjaya, dan rajin serta bijak dalam berbuat sesuatu. Tiada apa yang datang bergolek, kita harus kuat bekerja dan berkorban masa bersama keluarga serta hidup kita. “Tak ada jalan mudah,”, ulasnya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat