Bagaimanapun, Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz menetapkan 23 dan 24 Mei depan sebagai tarikh untuk menentukan jumlah ganti rugi yang sepatutnya dijelaskan oleh kesemua defendan.
Sebelum ini, saman sejumlah RM10 juta untuk menuntut keadilan bagi pihak Ulya Insyirah Muhamad Sardi difailkan Muhamad Sardi Saad, 41, dan isterinya, Fadilah Abd Wahab, 47, melalui Tetuan Syukran Noordin Advocates & Solicitors.
Plaintif menamakan sembilan doktor sebagai defendan pertama hingga sembilan manakala seorang pengarah hospital dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan ke-10 dan ke-11.
Tuntutan dibuat plaintif adalah termasuk ganti rugi Am di atas kecuaian sehingga menyebabkan kedua-dua plaintif mengalami tekanan mental dan fizikal yang teruk selain mengakibatkan mereka kesedihan iaitu di bawah Seksyen 7 (1) Akta Undang-Undang Sivil, 1956.
Pihak plaintif membuat tuntutan kerana kecuaian pihak berkenaan yang didakwa hingga menyebabkan kematian anak mereka akibat bengkak dalaman serius kerana kemasukan air atau lebihan ubat rawatan.
Selain itu, tuntutan dibuat adalah bertujuan menyedarkan semua pihak yang bertanggungjawab agar lebih berhati-hati selepas ini dan memastikan kejadian sama menimpa mangsa tidak berulang lagi kepada masyarakat lain.
Sementara itu, Muhamad Sardi berkata, pengakuan bersalah daripada pihak defendan sudah cukup melegakan dirinya yang selama ini berjuang untuk mendapat keadilan bagi pihak anaknya dan bukanlah semata-mata untuk menganiayai mana-mana pihak.
Jelasnya, pemergian Ulya yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik itu memberi kesan yang sangat mendalam sekali gus mengubah sebahagian besar rutin kehidupan mereka sekeluarga.
“Saya dan isteri mengalami trauma tidak dapat tidur, makan atau melaksanakan tugas seharian dengan sempurna hingga memaksa kami mendapatkan rawatan terapi mental serta emosi bersama Pakar Psikiatri di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan, sehingga kini.
“Kami meredai pemergian Ulya, tetapi saman ini sebagai pembuka jalan supaya ada satu perubahan di hospital tersebut, kami tidak mahu nyawa tidak berdosa melayang dan perkara sama berlaku pada orang lain, cukuplah pada anak kami dan orang lain tidak perlu menerima nasib sama macam kami,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah di sini, semalam.
Dalam kejadian 5 Disember 2013, Ulya dihantar ke sebuah hospital kerana muntah-muntah sebelum diberi rawatan susulan serta dimasukkan air.
Tidak lama kemudian, tangan dan badan mangsa bengkak sebelum ditanya kepada doktor bertugas kenapa jadi begitu, doktor berkenaan hanya menjawab ‘tidak tahu’ dan beredar.
Disebabkan tidak berpuas hati, pada malam tersebut, plaintif meminta pemeriksaan X-ray dilakukan terhadap mangsa sebelum mendapati ada tompokan putih iaitu lebihan air dalam paru-paru dan ketika itu mangsa tidak sedarkan diri.
Dalam keadaan genting itu juga, datang seorang lagi doktor memasukkan ubat dan kerana kelemahan material seperti plag rosak serta kehabisan gas dan ketiadaan kepakaran, mangsa terpaksa dibawa ke Hospital Sultanah NurZahirah (HSNZ), di sini, bagaimanapun, beberapa jam kemudian, mangsa disahkan meninggal dunia.