Santapan Rohani: Kehidupan yang Berlandaskan Kebendaan Menjadikan Manusia Rakus
Sebagai seorang manusia kehidupan yang berlandaskan kebendaan ini tidak akan bawa kita kemana-mana. Mempunyai segalanya bukan bermakna seseorang itu sudah mencukupi dalam kehidupannya. Manusia kini semakin tamak dan rakus dalam menjalani kehidupan seharian mereka. Semakin tidak mempunyai rasa syukur ke atas segala yang dimilikinya. Lumrah manusia ingin sesuatu yang lebih dari kemampuannya. Namun kita diberikan pemikiran yang waras untuk berfikir yang mana kemahuan dan yang mana keperluan.
TUJUAN HIDUP
Mari kita duduk dan berfikir sejenak. Apakah tujuan kita sebagai seorang manusia hidup di muka bumi ini? Adakah untuk menikmati semua kebendaan yang disediaakan ataupun secara peribadinya beribadat kepada Allah SWT?
Kita terlalu buta dengan kebendaan sehingga lupa akan tujuan sebenarnya seorang manusia itu diciptakan. Kita semakin alpa dengan kesibukan dunia sehingga tiada masa untuk melakukan ibadat yang sepatutnya menjadi tunjang utama dalam melakukan sesuatu. Kita semakin dibuai keseronokan dunia sehingga lupa waktu yang harus disediakan untuk rohani kita mendamaikan dirinya.
Bagi saudara baru yang memilih islam sebagai agama dan cara hidup mereka. Firman Allah SWT :
“Dan tidaklah Aku (Tuhan) menjadikan jin dan manusia kecuali untuk mengabdikan diri kepada-Ku.” (Surah al-Zariyaat, ayat 56)
Mengabdikan diri kepada Tuhan adalah asas beragama. Melakukan segala kewajipan beribadah, membuat yang makruf dan meninggalkan yang mungkar hanyalah permulaan kepada perkara lebih luas mengenai pengabdian kepada Tuhan.
Menerusi amal ibadah, Allah SWT menjadi paksi kepada hati nurani, akal budiman dan perilaku yang mulia. Menerusi ibadah yang dilakukan, Allah SWT menjadi perangsang kepada pemikiran, perbuatan dan pembinaan hidup.
Ibadah mengaitkan Allah SWT dengan kita dan seterusnya alam semesta. Alam semesta ini adalah tanda-tanda Allah SWT. Firman-Nya yang bermaksud:
“Sesungguhnya di dalam ciptaan langit dan bumi dan peralihan di antara malam dan siang adalah ayat-ayat (iaitu tanda-tanda) bagi mereka yang berfikir.” (Surah Ali-Imran, ayat 190)
Apabila menjenguk dunia yang terpampang di depan mata, kita teruja dengan apa yang boleh diperoleh daripadanya. Dengan akal yang ada, kita meneroka setiap pelosok alam dan menggali rahsia yang terkandung di dalamnya.
Kita memperoleh minyak dan elektrik, ubat-ubatan untuk merawat pelbagai penyakit, meningkatkan kualiti pertanian, menghasilkan makanan lebih berkhasiat, mengetahui teknologi menghasilkan kereta, kapal terbang dan kapal angkasa.
Sememangnya akal adalah anugerah tidak ternilai sumbangannya kepada pembangunan hidup manusia. Namun, seandainya akal hanya terbatas kepada mencari kepuasan kebendaan, manusia tidak boleh menjadi insan sejati dan memenuhi matlamat utama ciptaannya.
Mengikut Hawa Nafsu
Manusia juga mempunyai hawa nafsu dan hawa nafsu yang menjurus kepada kebendaan sahaja tidak boleh membawa manusia lebih jauh daripada kepuasan hidup. Sejarah menyaksikan bagaimana kehidupan berlandaskan kebendaan mengakibatkan manusia menjadi rakus.
Mereka saling mengatasi antara satu sama lain untuk memperoleh sebanyak mungkin harta kekayaan sehingga lupa bahawa mereka adalah manusia bersaudara.
Agama membawa manusia melangkaui batasan kebendaan. Agama membawa kita merenung persoalan ciptaan yang kemudiannya akan merangsang akal dan hati untuk bertanya sama ada dunia hanya sekadar kehidupan kebendaan atau membawa nilai penuh keinsanan.
Kita adalah insan yang mempunyai lima peribadi iaitu saya, keluarga, insan, alam semesta dan agama. Justeru, setiap yang kita fikir dan lakukan pastinya membabitkan kepentingan selain daripada kita.
Mungkin juga Allah SWT jadikan peribadi kita sedemikian rupa supaya dapat merealisasikan hakikat manusia perlu berkongsi hidup dengan yang lain. Ia akan melahirkan nilai murni seperti kasih sayang, hormat menghormati dan tolong menolong antara sesama insan.
Beragama dalam Islam memastikan kita beribadah untuk mencelikkan minda meneroka alam semesta dan menjana kehidupan selesa. Minda yang celik akan merangsang akal mengaitkan erti kehidupan kebendaan kepada makna kita sebagai manusia yang kemudiannya mencetuskan nilai murni dalam peribadi.
Akal yang sedar akan membuka mata hati kita kepada agama dan menyedari kenapa tuhan penting untuk umat manusia. Sehubungan itu, beragama dalam Islam semestinya menjadikan seseorang itu ahli kaji, ahli fikir, berkeperibadian murni dan ahli ibadah sesuai dengan dirinya yang bergelar Muslim.
Saksikan video ini yang menerangkan tentang tujuan kita sebagai seorang muslim hidup: