RESIGNATION | Kepada Majikan
Berbuat kebaikan kepada sesama pada hakikatnya adalah salah satu keperluan untuk semua manusia. Kehidupan ini akan menjadi sukar jika kita sesama manusia tidak saling berbuat baik. Betapa kacaunya kehidupan bermasyarakat kalau manusia selalu berbuat keburukan dan kezaliman terhadap sesamanya. Di zaman modern ini, tidak ada manusia yang boleh hidup tanpa saling berbuat baik ataupun bekerjasama dengan orang lain. Sesungguhnya kita tidak akan mampu memenuhi semua yang kita perlukan dalam hidup ini. Oleh kerana itu, Allah telah memerintahkan kita untuk senantiasa berbuat baik atau melakukan kebaikan terhadap sesama.
Begitu juga di antara majikan dan pekerja. Taraf atau pangkat tidak boleh menjadi sebuah penghalang untuk seseorang berlaku kasar terhadap pekerjanya. Senarai di bawah adalah pandangan seorang majikan, Norizan bin Sharif, di laman sosialnya tentang perletakan jawatan oleh pekerjanya.
RESIGNATION
- Kesilapan paling besar yang majikan lakukan dalam pengurusan modal insan ialah meroyan dan melompat sampai ke siling apabila staf letak jawatan.
- Staf letak jawatan ada banyak sebab. Salah satu sebab ialah menyampah dengan kita sebagai majikan. Maka, tak salahlah ada majikan yang melompat apabila staf letak jawatan.
- Bagaimanapun, ada banyak sebab lagi staf letak jawatan. Antaranya mereka dapat tawaran yang lebih baik, mahu mencari cabaran baru atau ingin menerokai peluang di luar dunia pekerjaan.
- Sebagai majikan, kita kena berfikiran positif. Usah meroyan tak tentu arah apabila staf beritahu mereka nak letak jawatan.
- Beberapa orang yang pernah bekerja bersama saya kini jadi orang besar selepas meninggalkan saya. Seronok lihat mereka berjaya.
- Apabila staf beritahu mereka nak letak jawatan, cuba terokai ruang bagaimanakah kita boleh berkolaborasi dengan mereka.
- Sekiranya mahu berbisnes, mungkin mereka boleh menjadi pembekal kepada kita. Oleh kerana sudah bersama kita sekian lama, mereka tahu apa yang kita perlukan. Atau, boleh jadi rakan kongsi bisnes.
- Cari jalan bagaimana untuk memanfaatkan skil dan jaringan yang mereka ada, di luar organisasi. Elak melayani staf yang nak letak jawatan sebagai musuh.
- Usah hilang rasa sayang kepada staf apabila mereka beritahu nak berhenti kerja. Jika ini berlaku, mereka akan hilang rasa hormat kepada kita.
- Cinta tak semestinya bersatu.