Kereta Mewah 20 Buah, Rumah Berharga 7 Juta itu Bukan Bahagia
Bila bercakap tentang isu bahagia ramai yang menganggap bahawa kita haruslah memiliki rumah yang besar, kereta yang besar, pakaian yang mahal dan banyak lagi tetapi itu semua hanyalah satu platform untuk kita hidup lebih selesa. Walaupun dihujani dengan harta yang melimpah ruas tetapi kenapakah masih ramai yang diluar sana hidup dalam keadaan porak peranda?. Persoalannya mengapakah ramai yang tidak bahagia walaupun dikelilingi dengan harta benda yang mewah?Dari manakah bahagia itu datang?
Bahagia itu datangnya dari hati. Bukan atas ciri-ciri yang ditetapkan oleh masyarakat terhadap kau. Tak kisahlah apa pun status kau – kaya, miskin, tua, muda, bujang, berkahwin, kulit putih, kulit gelap, anak ramai, tak ada anak, gemuk, kurus. Kau juga boleh bahagia hidup di dunia dan akhirat.Jangan terperangkap dengan peraturan orang ramai.Kereta mewah 20 buah, rumah 7 tingkat berharga 7 juta, 60 utas beg tangan berjenama – bila ada semua ini, bahagianya hidup kau. Itu orang kata.
Kau duduk di rumah kecil pun boleh dapat ketenangan dan kebahagiaan, bukan semestinya perlu rumah bertingkat-tingkat.
Ini hidup kau, bukan orang lain punya. Kau dengar cakap orang, sampai kau mati pun orang akan bercakap juga. Benda ini takkan habis.
Nanti bila mengadap Tuhan, kau seorang yang akan mengadap. Orang lain sibuk dengan hal masing-masing.
Jadi buat apa kau perlu puaskan hati dan cakap-cakap orang setiap masa?
Kau buat saja sunnatullah dan syariatullah.
Sunnatullah itu lebih kurang maksudnya sistem yang Tuhan tetapkan dalam alam. Contohnya kalau nak gaji, kau kena buat kerja. Kalau nak kenyang, kau kena makan.
Maknanya kau berusaha.
Cari ilmu, bina kemahiran. Cari pendapatan untuk hidup di dunia, beri nafkah, tunaikan hak untuk diri kau dan orang sekeliling, buat kebaikan pada orang ramai. Ini semua tugas kau di dunia.
Seiring dengan itu, kau laksanakan perintah Tuhan. Apa Tuhan suruh buat, kau buat. Apa Tuhan larang, kau lari darinya. Ini syariat atau hukum yang kau kena patuh.
Kau ada target dan objektif dalam hidup. Kau usaha untuk capai. Natijahnya atau keputusannya, kau serah pada Tuhan.
Kalau dapat capai, kau bersyukur. Kalau tak dapat, kau tetap bersyukur sebab kau dah buat kerja sebaik mungkin. Kau dah usaha dan sambil kau usaha itu, kau tak langgar hukum Tuhan.
Kau yakin, Tuhan takkan tengok saja segala usaha kau. Kau dah jadi hamba yang baik, takkan Tuhan tak bagi apa-apa.
Nanti bahagia itu Tuhan akan datangkan dalam hati kau, insya-Allah.
Kalau kau asyik bandingkan diri dengan orang lain, sampai bila pun takkan puas. Ada saja orang yang akan lebih dari kau dalam pelbagai aspek.
Bukan apa, aku takut kita terlalu taksub nak tiru orang lain. Sedangkan hidup kita ini ada jalan cerita berbeza.
Dah, tak payah tiru orang lain.
Ciptalah cerita bahagia kau sendiri.
Jangan lupa, kau ada Tuhan untuk bantu kau sepanjang proses “produksi” jalan cerita kau ini. Minta tolonglah daripada-Nya setiap hari.
“Grand Finale” dia, dekat akhirat nanti. Kau bahagia di dunia, dan kau gembira dimasukkan ke syurga.