Masa Berlalu Dengan Pantas Adalah Salah Satu Tanda Kiamat


Seorang sahabat datang bertanyakan kepada Rasulullah SAW, bilakah akan terjadi kiamat? Rasulullah SAW yang ketika itu sedang menyampaikan tazkirah tidak menjawab, sebaliknya Baginda meneruskan ceramahnya.

Apabila selesai, Rasulullah SAW berkata, siapakah yang bertanya tadi dan sahabat itu menjawab : “Saya wahai Rasulullah”. Lalu Baginda SAW bertanyakan sahabat berkenaan, apa yang sudah engkau siapkan untuk hari kiamat.

Ini bukti Rasulullah SAW tidak mengetahui bilakah akan berlaku kiamat. Justeru andai ada yang berkata mereka mengetahui bila kiamat, golongan itu bercanggah dengan al-Quran dan sunah.

Begitulah pengenalan tazkirah Zuhur yang disampaikan penceramah terkenal dari Sumatera, Abdul Somad Lc MA. Beliau menyampaikan ceramah di Masjid Ar-Rahah, Bangsar South, baru-baru ini yang mengupas tajuk Tanda-Tanda Akhir Zaman.

Bagaimanapun, menurut Pensyarah Universiti Islam Negeri Sultan Syarif Kasim, Riau itu. Rasulullah SAW banyak bercerita mengenai tanda kiamat yang terbahagi kepada dua. Iaitu tanda zahir dan maknawi atau maksud tersirat daripada apa disampaikan Baginda SAW.

“Antara tanda fizikal ialah ucapan Nabi SAW, umat akhir zaman akan berlumba-lumba membuat bangunan tinggi yang kini sudah kita saksikan. Jika dahulu paling tinggi di Makkah ialah Jabal Abi Qubais, iaitu bukit terletak di belakang bukit Safa, tetapi sekarang ia yang paling rendah.

“Seorang hamba melahirkan tuannya, juga sudah nampak. Ketika umat Islam berkuasa dan menguasai satu tempat, perempuan dulunya hamba melahirkan anak yang merdeka.

 Tanda kiamat

“Namun, hadis ini condong kepada makna seorang ibu melahirkan anak dan anaknya menderhaka sehingga seolah-olah ibu menjadi kuda, manakala anak menjadi tuan,” katanya.

Meneruskan bicara, Abdul Somad menghuraikan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA dalam Sahih Bukhari mengenai enam tanda hari kiamat yang dimulakan dengan ilmu dicabut oleh Allah SWT.

Beliau berkata, Allah SWT tidak mencabut ilmu seperti mencabut pokok kayu bersama akarnya, tetapi dengan meninggal ulama. Contohnya, ketika Imam Syafie meninggal dunia, berapa cabang ilmu yang hilang kerana beliau alim dalam bahasa Arab, tafsir, fiqh dan hadis.

Beliau berkata, sekarang muncul orang jahil yang kemudian dianggap berilmu, pandai berbicara dan memakai pakaian ulama tetapi dia sesat serta menyesatkan.

“Apabila diberi satu perkara bukan kepada ahlinya, maka tunggulah kiamat. Sebenarnya isi dunia sudah kiamat tetapi alamnya belum lagi. Di negara ini, masih ada ulama dan mufti, maka hindari orang jahil yang tidak diketahui sanad ilmunya,” kata beliau.

Tanda kedua, kata Abdul Somad, ialah banyak terjadi gempa, bumi digoncangkan dan keluar isi daripada alam. Persoalannya, apakah kejadian itu membuat manusia merasa tertekan dan tidak beramal sedangkan ia sepatutnya meningkatkan semangat untuk meningkatkan amal soleh.

“Ketiga, masa saling mendekati hingga tidak terasa baru sahaja Jumaat dan esok sudah solat Jumaat lagi. Jika diperhatikan, waktu tidak berkurangan, tetapi alat seperti gajet dan teknologi membuatkan duduk lama tidak terasa, seakan masa yang cepat berlalu.

“Sebagai peringatan, manusia akan ditanya mengenai umur mereka di dunia, bagaimana ia dihabiskan dan adakah ini akan dapat dijawab nanti,” katanya.

Fitnah, bunuh berleluasa

Abdul Somad berkata, tanda keempat ialah banyak terjadi fitnah, baik perkataan atau di media sosial seperti Facebook, WhatsApp atau Twitter. Begitu juga fitnah penyeksaan yang dihadapi umat Islam di Palestin dan Rohingya sehingga hari ini.

“Seterusnya, pembunuhan yang banyak, bagaimana mereka memusnahkan kaum Muslimin antaranya penghapusan etnik Bosnia, pembantaian di Iraq dan konflik di Palestin yang tidak nampak kesudahannya.

“Ada yang bertanya kenapa kita dihidupkan pada zaman ini dan bukan pada zaman Nabi. Ada khabar gembira daripada Baginda SAW, orang yang tetap istiqamah beribadah ketika pembunuhan terjadi adalah seperti orang yang berhijrah. Semoga kita tetap  istiqamah,” katanya.

Beliau berkata, yang terakhir ialah ramai orang memiliki harta melimpah-ruah seperti air yang tumpah berbanding dulu kerana untuk kaya terpaksa bekerja keras mengeluarkan penuh, tetapi kini duduk sahaja pun boleh jadi kaya.

Memerangi Yahudi

Katanya lagi, kiamat juga tidak akan terjadi sehingga Muslimin memerangi orang Yahudi dan batu besar berkata: “Ya Muslim, ada Yahudi di belakangku, bunuhlah dia, bunuhlah dia.”

Menurut Abdul Somad, itulah juga mukjizat hadis Nabi Muhammad SAW luar biasa yang mengatakan Yahudi akan bersembunyi di sebalik pohon gharqad, iaitu satu-satunya pokok yang tidak membela umat Islam.

Beliau berkata, sekarang orang Yahudi menanam sebanyak-banyaknya pohon gharqad yang membenarkan sabda Baginda kira-kira 1439 tahun lalu.

“Sebab itu orang Yahudi tidak musnah seperti kaum lain kerana janji Nabi Muhammad SAW kiamat tidak akan terjadi sehingga kamu memerangi Yahudi. Mereka hanya 16 juta sekarang di dunia ini,” katanya.

Apa pun yang terjadi katanya, umat Islam harus bersiap siaga, beriman dan beramal soleh kerana itulah hikmah tidak dijelaskan secara panjang lebar mengenai hari kiamat yang tiada siapa tahu kecuali Allah SWT.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat