7 Cara Mudah Untuk Hilangkan Kesan Hangus Pada Seterika
Tengah menggosok, tiba-tiba baju terkoyak atau berlubang disebabkan panas melampau. Memang sakit hati kan? Bukan hanya baju yang rosak tetapi kesan paling nyata adalah bila ada kesan hitam pada belakang seterika. Mungkin ramai yang tak tahu cara nak hilangkan kesan hangus pada seterika. Di sini ada beberapa cara bersihkan seterika yang boleh anda lakukan sendiri di rumah dengan menggunakan bahan yang mudah. Dan tak perlu membazirkan duit untuk beli setarika baru.
Cara Bersihkan Seterika
1. Garam
Garam merupakan antara bahan yang paling senang untuk bersihkan seterika yang hangus. Caranya sangat mudah.
Mula-mula, anda perlu taburkan garam di atas sehelai surat khabar atau aluminium foil. Kemudian panaskan seterika menggunakan suhu yang paling maksimum. Selepas itu, hanya perlu gosokkan permukaan seterika di atasnya hingga tertanggal semua kesan hangus. Sangat berkesan!
2. Lilin
Panaskan seterika terlebih dahulu. Kemudian gunakan sebatang lilin dan gosok pada seterika tersebut hingga lilin menjadi cair. Selepas itu, tonyohkan permukaan seterika pada kain buruk atau kain yang tak digunakan lagi.
Cubalah, permukaan seterika akan kembali licin.
3. Daun Pisang
Kalau di rumah ada banyak daun pisang, anda bolehlah gunakan teknik ini.
Caranya, gosokkan saja di atas daun pisang. Kalau kesannya susah nak tanggal, kikiskan dengan pisau, kemudian gosok semula dengan daun pisang untuk licinkan permukaan seterika tadi.
4. Ubat Gigi
Cara yang seterusnya ini, tak perlu panaskan seterika.
Hanya perlu gunakan ubat gigi dan sapukan pada bahagian yang ada kesan hangus. Biarkan seketika dan kemudian sental dengan kain. Kesan kotoran akan tanggal dengan mudah. Ulangkan beberapa kali atau sehingga ianya betul-betul bersih.
5. Soda Bikarbonat/Baking Soda
Cara seterusnya, boleh gunakan baking soda atau soda bikarbonat yang biasa digunakan untuk buat kek. Memang tidak dinafikan, soda bikarbonat memang terkenal sebagai agen pencuci yang berkesan.
Mudah saja, hanya campurkan sedikit air pada serbuk baking soda sehingga menjadi pes. Kemudian, sapukan pada permukaan seterika yang hangus atau hitam. Biarkan sekejap untuk ianya bertindakbalas. Kemudian, ambil kain buruk dan gosok perlahan-lahan. Semua kesan kehitaman yang terlekat akan tanggal.
6. Kertas Pasir
Satu lagi cara lain, anda juga boleh gunakan kertas pasir. Macam guna garam tadi. Perlu panaskan seterika dan gosok hingga kotoran tanggal.
Seeloknya guna yang kasar dulu, kemudian barulah guna yang nipis. Gosokkan hingga permukaan seterika menjadi bersih.
7. Magic Sponge
Cara bersihkan seterika guna span ini mudah saja. Basahkan dulu span itu, kemudian gosok saja bahagian yang ada kesan kehitaman tadi. Kadang-kadang memang ambil masa sedikit, tapi hasilnya sangat memuaskan.
Mudah saja kan? Cuma anda perlulah berhati-hati terutamanya ketika menggunakan teknik yang melibatkan seterika yang panas. Jangan sampai boleh mencederakan diri sendiri pula. Semoga bermanfaat dan selamat mencuba.