Kadang-Kala Pengambilan Makanan Boleh Menjadi Penyebab Sembelit Kepada Bayi & Anak Kecil! Ketahui 7 Jenis Makanan Tersebut
Mungkin ramai yang tak sedar bahawa ada sesetengah jenis makanan yang boleh menjadi penyebab sembelit kepada bayi dan anak kecil. Ini kebayakannya berlaku apabila anak sudah mencapai usia 6 bulan ke atas dan dah boleh mula makan. Pastinya macam-macam resepi nak dicuba oleh ibu dari hari ke hari.
Bayangkan apabila bayi atau anak kecil sembelit, memang kasihan sangat melihatnya. Asyik menangis, terkentut-kentut akibat rasa tak selesa di perutnya. Bukan hanya bayi saja, malah anak yang lebih besar juga turut sama meraung-meraung dan meneran sampai berdarah. Tidak dinafikan, rata-rata ibu bapa sangat risau dan panik dibuatnya.
Oleh itu, ibu-ibu perlu waspada dan ketahui beberapa jenis makanan yang paling selalu menyebabkan sembelit ini.
7 Jenis Makanan Penyebab Sembelit
1- Bubur/Nasi Putih
Macam tak percaya, makanan ruji kita ini boleh menyebabkan sembelit pada sesetengah bayi, terutamanya yang baru mula makan makanan pejal. Berbanding beras perang, beras putih telah melalui proses di mana kulitnya yang kaya serat telah dibuang. Oleh yang demikian, ini boleh menyebabkan bayi cenderung mengalami sembelit apabila diberi bubur nasi yang dibuat daripada nasi putih.
Jika masalah sembelit ini terjadi pada bayi anda, cuba beralih kepada brown rice atau sumber karbohidrat daripada jenis wholegrain.
2- Susu/Produk Tenusu
Kadang-kadang punca sembelit adalah disebabkan oleh penggunaan susu formula. Mungkin ada yang baru nak bertukar kepada susu formula dan mengalami sembelit selepas mencubanya. Sebenarnya, bayi dan kanak-kanak adalah antara golongan yang paling sensitif terhadap produk tenusu seperti susu UHT, yogurt dan keju dan termasuklah juga susu formula.
Menurut kajian yang dilaporkan menerusi Healthline.com, kanak-kanak berusia 1-12 tahun yang alah terhadap susu dan mengalami sembelit didapati kurang simptomnya setelah bertukar kepada susu berasaskan soya.
Apapun, anda tak perlu terlalu risau sekiranya anak berusia 2 tahun ke atas tak mahu minum susu formula kerana anak anda sudah boleh mendapatkan sumber kalsium dan vitamin D dalam makanan seperti sayuran hijau, ayam, daging dan buah-buahan.
3- Roti Putih
Gluten adalah protein yang biasa ditemui pada makanan bergandum seperti roti, biskut, kek, oat dan bermacam-macam lagi. Selalunya makanan yang tinggi dengan gluten ini mengandungi sedikit nutrisi berbanding makanan yang bebas gluten. Ada sesetengah anak sensitif terhadap gluten dan akan mengalami sembelit selepas memakan makanan bergandum.
Bagi yang mengalami alahan yang kronik, mereka ini mungkin gluten intolerant atau mengalami sejenis kondisi yang dikenali sebagai celiac disease. Jadi ini terjadi, individu berkenaan perlu dirujuk kepada pakar kanak-kanak dan perlu mengamalkan diet yang bebas gluten.
4- Minuman Manis
Apabila anak semakin besar, kadang-kadang mereka makin gemar dengan minuman manis contohnya minuman coklat atau air kotak atau air gas. Semua minuman ini bukan saja tinggi kandungan gula, tetapi ia juga boleh menjadi punca kepada masalah pencernaan.
Jadi untuk mengatasinya, seeloknya buatlah jus sendiri di rumah dengan mengehadkan pengambilan gula, terutamanya bagi anak kecil berusia 2 tahun ke bawah.
5- Biskut/Makanan Segera Untuk Bayi
Memang tidak dinafikan, biskut, bubur segera atau makanan jejari yang siap dipek memang cepat disediakan dan mudah dijadikan snek untuk kanak-kanak. Namun perlu diingat, makanan seperti ini cenderung memiliki kandungan gula yang tinggi dan boleh menjadi salah satu punca anak sembelit.
Sesetengah makanan segera seperti kentang goreng pula memiliki kandungan garam yang tinggi. Jika diambil berlebihan, tubuh terpaksa menyerap air daripada usus untuk mengimbangi lebihan garam dalam darah. Akibatnya, terjadilah sembelit yang akan menyukarkan proses pencernaan atau pembuangan najis.
6- Pisang
Nampak menyihatkan, tapi buah pisang ini adalah antara buah yang boleh menyebabkan bayi mengalami sembelit apabila mencubanya buat pertama kali. Jadi, anda perlu mencubanya dalam kuantiti yang kecil dan perhatikan keserasiannya dengan bayi anda dahulu.
Antara pilihan buah yang dapat melawaskan adalah ‘3P’ iaitu prune, pear dan plum. Jadi, ibu-ibu bolehlah mencuba buah pear segar seperti singo pear untuk mengatasi masalah sembelit anak anda sebab ia lebih mudah didapati di negara kita.
7- Coklat
Biasalah bila anak dah makin besar, mesti ada yang suka makan coklat kan? Dan itu sukar dielakkan. Namun tahukah anda, sesetengah sumber mempercayai bahawa coklat adalah antara makanan yang paling mudah menyebabkan sembelit kerana kandungan lemaknya yang tinggi memperlahankan proses pencernaan.
Di samping itu, kafein yang terkandung di dalamnya juga boleh membuat sembelit menjadi lebih teruk terutamanya apabila ia diambil dalam keadaan kurang minum air.