Malaysia di Tempat Kedua Crony Capitalism Index Jadi Bukti Budaya Kroni Dah Jadi Makanan Bagi Golongan Elit


Budaya kroni dalam negara bukanlah perkara baru. Seringkali cerita mengenai projek besar kerajaan diserahkan kepada anak atau menantu kepada ahli politik dan rakan perniagaan rapat.

Sehingga ke hari ini, masih belum ada tanda-tanda budaya kroni ini akan luput, malah ia dilihat berlaku lebih terang-terangan. Pernahkah anda terfikir betapa teruknya budaya kroni dalam negara kita ? Kalau anda nak tahu, ada sebuah data yang dihasilkan oleh The Economist bagi mengukur budaya ini di kalangan jutawan serata negara.

Jutawan Sering Menggunakan Pengaruh Mereka Terhadap Kerajaan Untuk Memaksimumkan Keuntungan Melalui ‘Rent Seeking’

The Economist turut mengulas bahawa usahawan bertaraf elit dari seluruh dunia dilihat sering menggunakan pengaruh mereka terhadap kerajaan tempatan untuk maksimakan keuntungan menerusi rent-seeking.

Dalam dunia kronism, economic rent menerusi rent-seeking boleh direka untuk kepentingan peribadi sehingga mencetuskan kartel yang mampu mempengaruhi kerajaan untuk hasilkan undang-undang yang memihak pada mereka.

Antara sektor perniagaan yang melibatkan kroni dan terdedah kepada rent-seeking adalah perbankan, pembinaan, pelabuhan, terminal kapal terbang, sumber semula jadi dan pertahanan.

Bagi yang belum tahu, rent-seeking adalah terma yang digunakan apabila pengusaha atau ahli perniagaan memanipulasi polisi atau keadaan ekonomi untuk melipatgandakan keuntungan.

Mungkin kedengaran agak mengejutkan namun perniagaan melibatkan rent-seeking secara majoritinya adalah sah di sisi undang-undang bagi kebanyakan negara termasuk Malaysia.

Dalam kebanyakan kes, crony capitalism adalah musuh bagi pasaran bebas apabila ahli politik dan ahli perniagaan memanipulasi banyak sektor untuk keuntungan sendiri, sekaligus menepikan usahawan yang cuba untuk berurusan dengan cara yang telus.

Mungkin sukar untuk kita terima, namun inilah realiti negara kita yang kian rancak menggunakan kabel dan pengaruh demi kepentingan peribadi.

Kedudukan negara kita yang berada di tempat kedua dalam senarai indeks ini selepas Rusia bukanlah perkara yang patut dibanggakan.

Namun, penemuan ini tidak menghentikan aktiviti kroni yang dilihat konsisten sejak tahun 2016.

budaya kroni bukanlah isu baru di malaysia

Crony Capitalism Index Jadi Bukti Budaya Kroni Kuat Di Malaysia

Crony capitalism index dihasilkan bagi melihat kesannya pada kehidupan rakyat tempatan yang terpalit dengan isu kroni. Yang menyedihkan, indeks ini melihatkan Malaysia kekal menduduki tempat kedua dalam negara yang paling kuat pengaruh kroninya.

Berdasarkan indeks tersebut, 97.7% daripada keseluruhan industri yang melibatkan kroni di Malaysia jelas menunjukkan hubungan istimewa kerajaan bersama golongan ahli perniagaan elit dalam negara. Tak perlulah kita lihat negara lain memandangkan negara kita pun sudah berada pada tahap kritikal !

budaya kroni sangat berleluasa di malaysia

Menerusi pemerhatian dari Nomad Capitalist, peratusan yang sangat tinggi ini menjadikan Malaysia sebagai negara yang perlu dielakkan bagi seseorang yang ingin melabur dalam perniagaan.

Kita sendiri juga boleh lihat bagaimana negara jiran kita Indonesia yang kini menjadi pilihan bagi pelabur-pelabur besar dari luar negara untuk jalankan perniagaan.

Namun ini tidak bermakna Indonesia terlepas dari budaya kroni kerana negara tersebut dilihat selesa pada kedudukan kelapan.

Dalam kes ini, pelbagai faktor yang perlu pelabur ambil kira seperti kestabilan politik, aktiviti rasuah serta keadaan semasa ekonomi.

Bagaimana Indeks Ini Terhasil ?

Indeks sarat kontroversi ini tidak dihasilkan sewenang-wenangnya. Sebaliknya, ia berpandukan data 25 tahun dari Forbes. Indeks ini merujuk kepada rekod stok tahunan bagi jutawan seluruh dunia.

Crony capitalism index yang dihasilkan tahun lepas telah menyenaraikan 2,755 individu dengan anggaran jumlah kekayaan sebanyak $13trn.

Kemudian, sumber kekayaan mereka diteliti dan dibahagikan kepada sektor melibatkan kroni dan bukan kroni.

Kemudian, data ini dipadankan dengan kewarganegaraan jutawan tersebut serta GDP negara asal mereka.

Memetik laman The Economist, jutawan dari seluruh dunia sudah pun memanfaatkan crony capitalism sejak 20 tahun lepas.

Jumlah individu yang terlibat dalam industri kroni ini menyaksikan peningkatan ketara sebanyak 385% dari 2004 hingga 2014. Jumlah ini merangkumi 1/3 daripada kekayaan yang dimiliki oleh jutawan serata dunia.

Budaya ini perlu dibasmi dari akar umbi namun ia bukanlah perkara yang mudah. Dari sekecil-kecil pemberian ‘duit bawah meja’ sehingga pemberian projek mega kepada individu yang berkepentingan, budaya kroni sangat sukar untuk ditangani.

Crony capitalism juga sudah berleluasa sejak dahulu apabila kerajaan menggunakan kuasa mereka untuk mendapatkan sokongan politik daripada pihak lain seperti firma perniagaan besar serta bisnes swasta dalam negara.

Jutawan dalam negara yang melazimi budaya kroni akan tetap berleluasa selagi kerajaan membenarkannya memandangkan kebanyakan projek mega berada di tangan mereka.

 

Tag:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat