Kenali Penyakit Kawasaki Yang Dihidap Anak Amyra Rosli Sehingga Ruam Satu Badan dan Demam Panas Berpanjangan


Tular di media sosial beberapa hari ini mengenai keadaan anak Amyra Rosli yang kini sedang dirawat di hospital.

Berkongsi di platform Instagram, Amyra sendiri tidak sangka yang anaknya sakit sehingga terpaksa ditahan di wad kerana sehari sebelum itu, anaknya sihat dan ceria seperti biasa .

Hanya pada keesokan pagi anaknya tiba-tiba sakit. Anaknya didapati demam panas serta badan dipenuhi ruam.

Amyra akui sedih kerana tidak pernah melihat anaknya dalam keadaan sangat lemah sehingga tak boleh bercakap selama berhari-hari.

penyakit kawasaki yang menimpa anak amyra rosli

Kredit : Instagram Amyra Rosli

Terkini, Amyra berkongsi keadaan Ayra Aryssa yang berada dalam keadaan stabil meskipun masih dipantau tahap oksigennya.

Rata-rata rakan artis serta warganet sempat menitipkan doa buat Amyra Rosli sekeluarga agar anak bongsunya ini cepat sembuh. Pendedahan Amyra mengenai penyakit yang menimpa anaknya ini sedikit sebanyak telah menimbulkan pertanyaan di kalangan netizen.

Hanya selepas beberapa hari dirawat di hospital akibat demam panas, barulah anaknya disahkan dijangkiti penyakit Kawasaki.

Penyakit apa yang menimpa puterinya sehingga menyebabkan ruam dan menjejaskan tahap oksigen dalam badan ?

Apa Itu Penyakit Kawasaki ?

Penyakit Kawasaki sering dihidapi oleh kanak-kanak berusia 5 tahun ke bawah dan menyebabkan keradangan pada dinding salur darah.

Penyakit ini juga mempengaruhi fungsi jantung dan merupakan antara penyebab utama penyakit jantung di kalangan kanak-kanak.

Punca Penyakit Kawasaki

Sehingga ke hari ini, punca penyakit ini masih belum dapat dikenalpasti. Kebanyakan pakar perubatan berpendapat ia bukanlah berpunca daripada virus kerana sifat penyakit ini yang tidak boleh berjangkit kepada orang lain.

Simptom Penyakit Kawasaki

Jika dapat dikenalpasti dan ditangani dengan lebih awal, risiko komplikasi jantung dapat dielakkan di samping membantu kanak-kanak untuk sembuh dengan lebih cepat.

Doktor akan mendiagnos kanak-kanak dengan penyakit Kawasaki sekiranya menunjukkan beberapa simptom seperti berikut :

  1. Demam panas dengan suhu tinggi 39 oC dan ke atas yang berlarutan selama 5 hari ke atas
  2. Ruam pada seluruh badan
  3. Kelenjar bengkak pada leher
  4. Mata merah
  5. Bibir merekah dan kemerahan
  6. Lidah bengkak dan kemerahan
  7. Kulit bengkak dan kemerahan pada bahagian tapak tangan dan tapak kaki
  8. Kulit pada jari dan jari kaki mengelupas
  9. Simptom lain seperti sakit pada abdomen, cirit-birit, sakit sendi dan muntah-muntah.
simptom penyakit Kawasaki

Kredit : healthwaymedical.com

Ibu bapa juga perlu ketahui yang semua simptom ini tidak semestinya berlaku serentak.

Memetik MayoClinic, meskipun anak-anak anda tidak menunjukkan sekurang-kurangnya empat simptom di atas namun mengalami demam berpanjangan, mereka mungkin terdedah kepada penyakit Kawasaki tidak lengkap (Incomplete Kawasaki Disease).

Jadi, mereka masih perlu dapatkan rawatan dalam 10 hari pertama untuk elakkan komplikasi yang tidak diingini.

Jika pesakit tidak menunjukkan sebarang komplikasi, gejalanya akan hilang secara perlahan-lahan dan mungkin mengambil sekitar 8 minggu sebelum keadaan anak kembali normal.

Dalam sesetengah kes, penyakit Kawasaki juga boleh berlarutan selama beberapa bulan.

Komplikasi Penyakit Kawasaki

Berdasarkan laman HelloSehat, kira-kira 25% pesakit Kawasaki mengalami komplikasi jantung.

Antara komplikasi yang mungkin boleh berlaku akibat penyakit Kawasaki adalah :

  • Keradangan salur darah pada arteri koronari yang membekalkan darah ke jantung.
  • Keradangan lapisan tisu yang menyelaputi jantung (Pericarditis)
  • Peningkatan degupan jantung (Tachycardia)
  • Keradangan selaput otak (Meningitis)
  • Keradangan dalam telinga (Otitis Media)

Namun ibu bapa tidak perlu risau. Dengan rawatan awal, komplikasi ini dapat dielakkan.

Bila Perlu Berjumpa Doktor

Meskipun mempunyai pelbagai simptom, penyakit ini agak sukar untuk didiagnos kerana tiada pemeriksaan khusus untuk kenalpastinya.

Namun, anda digalakkan untuk membawa anak ke doktor apabila mendapati :

  • Anak demam selama lebih 5 hari
  • Anak menunjukkan gejala-gejala yang berkaitan seperti yang tersenarai.

Justeru itu, ibu bapa perlulah lebih peka dengan kondisi kesihatan serta simptom yang dihadapi anak-anak.

Begitulah serba sedikit informasi tentang penyakit yang dihidapi puteri kesayangan Amyra Rosli. Buat ibu bapa di luar sana, pastikan anak anda mendapat rawatan segera jika didapati demam pada tempoh yang lama.

Semoga anak-anak kita terpelihara daripada penyakit yang tidak diingini. Sama-sama kita doakan agar Ayra Aryssa cepat sembuh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat