Pelakon, Ashraf Sinclair meninggal dunia.
Pelakon Ashraf Sinclair meninggal dunia pada awal pagi ini, Selasa akibat serangan jantung.
Berita sedih itu disahkan sendiri oleh ibu allahyarham, Khadijah Abdul Rahman menerusi mesej di aplikasi WhatsApp kepada mStar.
“Anak saya Ashraf telah puang ke Rahmatullah. Dalam perjalanan ke Jakarta sekarang,” katanya.
Pada berita ini ditulis, difahamkan jenazah suami kepada aktres Indonesia, Bunga Cinga Lestari ini masih berada di sebuah pusat perubatan di Jakarta.
Portal-portal di Indonesia turut melaporkan berita sedih itu dengan memetik kenyataan pengurus Bunga iaitu Doddy.
Ashraf, 41, yang lahir di London dan dibesarkan di Malaysia mencipta nama dengan pembabitan awalnya sebagai model dalam iklan Kasut Gombak pada tahun 1990-an.
Pada tahun 2005, dia membintangi filem Gol&Gincu.
Dia kemudian memperluaskan kerjayanya di Indonesia sehinggalah bertemu jodoh dengan aktres negara itu, Bunga Cinta Lestari sebelum kedua-duanya bernikah pada 8 November 2008 di Masjid Al Bina Senayan, Jakarta.
Mereka dikurniakan seorang anak lelaki bersama Noah Aidan Sinclair yang kini berusia 10 tahun.