Betul ke Selama Ini Kita Ditipu Oleh Saintis Tentang Pergerakan Bumi dan Matahari Seperti Yang Didakwa Seorang Pendakwah ?


Pergerakan Bumi dan matahari sudah dikaji oleh banyak ahli astronomi serata dunia termasuklah yang beragama Islam. Kita juga sudah belajar asas astronomi ketika berada di bangku sekolah tentang perihal bumi yang berputar mengelilingi matahari sambil berputar pada paksinya.

Namun, baru-baru ini kecoh pula di media sosial mengenai seorang pendakwah popular yang mengatakan saintis telah menipu kita selama ini tentang hakikat itu.

Dakwanya, hakikat pergerakan bumi yang kita ketahui selama ini adalah palsu. Ceramah tersebut turut menyebut hanya matahari yang bergerak.

Ini dilihat menepati petikan dari Surah Yaasin ayat 36 hingga 38 seperti berikut :

سُبْحَانَ الَّذِي خَلَقَ الْأَزْوَاجَ كُلَّهَا مِمَّا تُنْبِتُ الْأَرْضُ وَمِنْ أَنْفُسِهِمْ وَمِمَّا لَا يَعْلَمُونَ (36) وَآَيَةٌ لَهُمُ اللَّيْلُ نَسْلَخُ مِنْهُ النَّهَارَ فَإِذَا هُمْ مُظْلِمُونَ (37) وَالشَّمْسُ تَجْرِي لِمُسْتَقَرٍّ لَهَا ذَلِكَ تَقْدِيرُ الْعَزِيزِ الْعَلِيمِ (38)

“Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan pasangan-pasangan semuanya, baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka maupun dari apa yang tidak mereka ketahui.  Dan suatu tanda (kekuasaan Allah yang besar) bagi mereka adalah malam; Kami tanggalkan siang dari malam itu, maka dengan serta merta mereka berada dalam kegelapan. Dan matahari berjalan di tempat peredarannya. Demikianlah ketetapan Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.” (QS. Yasin: 36-38)

pergerakan bumi dan matahari telah menjadi topik hangat di kalangan netizen

Betul ke Bumi Bergerak ?

Katanya lagi kalau betul bumi bergerak 17,000 km sejam, kenapa kita tak rasa apa-apa ? Air pun elok saja tak berkocak ?

Selain itu katanya kalau bumi bergerak, satelit pasti ketinggalan kerana tidak mampu mengikuti kelajuan bumi yang terlalu pantas.

Soalnya lagi, kalau betul bumi bergerak, kenapa kita perlu naik kapal terbang ? Pendakwah ini juga sempat zahirkan rasa kecewa melihatkan masyarakat yang padanya lebih mempercayai saintis Barat berbanding ilmu dalam Al-Quran dan hadis.

Kenyataan ini membuatkan ramai netizen terfikir semula akan kebenaran yang ada pada ilmu astronomi. Betulkah kita sudah ditipu selama ini seperti apa yang dikatakan ustaz tersebut?

Berikut merupakan petikan ceramahnya yang tular di media sosial :

Melihatkan penularan video ceramah yang semakin tersebar luas, seorang pakar sains dan penulis Zamir Mohyedin telah tampil di Facebook bagi menjelaskan fakta sebenar.

Menurutnya, beliau yang turut menonton video tular itu rasa terpanggil untuk betulkan kenyataan yang salah dari pendakwah tersebut kerana melihatkan ramai yang sudah terpengaruh dengan dakwaan ustaz tersebut.

Fakta Sebenar Pergerakan Bumi dan Matahari

Antara dakwaan yang dibetulkan oleh Zamir adalah :

Dakwaan Matahari Tidak Bergerak

Seperti yang tertulis di Al-Quran, memang benar matahari bergerak. Mengikut rangka rujuk piawai, Matahari bergerak mengelilingi pusat galaksi dengan kelajuan 720,000 km/j. Jelasnya lagi, saintis tidak pernah menidakkan fakta ini. Secara tabiinya, semua objek samawi (contoh : bintang, galaksi, planet) bergerak.

pergerakan bumi dan matahari telah dijelaskan oleh zamir mohyedin

Kredit : Facebook Zamir Mohyedin

Dakwaan Bumi Tidak Bergerak / Berputar

Bumi berputar dengan kelajuan sekitar 1,600 km/j. Antara bukti nyata putaran Bumi yang boleh kita lihat adalah kejadian siang dan malam.

Kenapa kita tak rasa bumi bergerak ? Kenapa air tak berkocak ? Kita tidak terasa gerakan Bumi kerana kita, segala isi dalam Bumi serta atmosfera ikut bergerak sekali.

Dalam erti kata mudah, bayangkan kita duduk di dalam kapal terbang dengan kelajuan 900 km/j. Kita tak rasakan gerakannya sehingga boleh tertidur.

Kalau kita naik kereta api berkelajuan tinggi pun, waktu kita tuang air dalam cawan pun masih boleh stabil dan tak tumpah. Samalah konsepnya dengan putaran Bumi. Ia berpunca daripada inertia iaitu keupayaan objek atau tubuh untuk mengatasi pergerakan. Bukannya sebab bumi tak bergerak !

Perihal Pergerakan Satelit

Selain pergerakan manusia yang tidak terjejas, pendakwah tersebut turut mempersoalkan pergerakan satelit di angkasa. Menurut Zamir, sebenarnya satelit bergerak mengelilingi Bumi.

Malah terdapat juga satelit yang bergerak lebih laju daripada putara Bumi iaitu sekitar 11,300 km/j. bergantung pada fungsinya, satelit juga mempunyai keupayaan untuk mengelilingi Bumi beberapa kali. Biasanya Satelit TV dan komunikasi mengelilingi Bumi sekali sehari.

Ada juga jenis satelit lain yang mengelilingi bumi 19 kali sehari. Dengan kata lain, satelit TV sentiasa berada di koordinat yang sama dengan permukaan Bumi. Jadi, ia takkan lari ke mana-mana kerana keupayaannya untuk bergerak bersama Bumi.

Kredit : mosti.gov.my

pergerakan bumi dan matahari

Kalau Bumi Bergerak, Kenapa Kapal Terbang Tak Terapung Saja dan Biarkan Bumi Berputar Sampai ke Destinasi ?

Untuk menjelaskan dakwaan ini, kita perlu kembali kepada konsep inertia. Mengikut hukum ini, suatu objek akan terus pegun atau terus bergerak sehingga ada daya yang mengganggunya.

Mengenai pergerakan kapal terbang, pesawat yang berada di darat telah pun mempunyai kelajuan yang sama dengan putara Bumi. Apabila berlepas, ia akan bawa kelajuan itu sekali dengannya. Ia cuma akan sampai ke destinasi jika kelajuannya ditambah.

pergerakan bumi dan matari turut dikaitkan dengan keupayaan kapal terbang untuk bawa manusia ke destinasi lain

Fenomena alam seperti pergerakan Bumi dan matahari, pertukaran siang dan malam, kejadian gerhana serta perubahan cuaca merupakan antara bukti kewujudan Allah SWT.

Sebagai hamba Allah, kita juga digalakkan untuk melihat kejadian alam di sekeliling supaya kita berfikir sambil mengakui kebesaran Allah. Itulah fungsinya ahli falak serta pengkaji astronomi yang sudah berkecimpung sejak beribu tahun dahulu.

Menjengah ruangan komen, netizen turut bersepakat yang ilmuwan agama tidak semestinya betul dalam semua perkara. Mungkin mereka lebih arif dalam bab agama namun tidak mahir dalam bab lain seperti astronomi dan sebagainya. Zamir turut melihat sesetengah pendakwah ada kalanya sukar untuk terima teguran kerana disokong kuat oleh penyokong yang taksub dengan apa-apa kenyataan yang keluar dari pendakwah kegemaran mereka.

 

 

Tag:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat