14 Panduan Berniaga Yang Wajib Diketahui Sebelum Membuat Perniagaan Online
Panduan perniagaan online.
Islam telah membuka ruang seluasnya untuk manusia mencipta kaedah baru atau menceburi kaedah-kaedah baru dalam urusan kehidupan mereka. Kerana itu, para fuqahak mensepakati satu prinsip dalam Syariat iaitu “Hukum asas bagi segala urusan keduniaan adalah harus (iaitu dibolehkan) selama tidak ada sebarang larangan Syarak”. Dan dibawah disertakan panduan perniagaan online untuk saudara semua yang ingin menceburi perniagaan online.
Dalam perniagaan, antara unsur yang dilarang Syarak ialah;
1. Menjual barang atau produk yang melanggar Syariat atau yang memberi mudarat kepada manusia.
2. Gharar; iaitu ketidakjelasan dalam akad, yakni tidak dipastikan dengan status barang/produk yang dijual atau harganya atau kedua-dua sekali. Gharar akan memberi kerugian kepada mana-mana pihak yang berakad dan menimbulkan pertikaian nanti
Dalam hadis, dinyatakan; “Nabi SAW menegah jual-beli secara gharar” (Musnad Ahmad; 2752. Abu Daud; 3376. Hadis soheh).
3. Penipuan; dalam segala bentuknya. Sabda Nabi SAW; “Sesiapa menipu, maka dia bukan dari kalanganku” (Soheh Muslim; 102).
4. Riba; khususnya bagi perniagaan emas, perak dan mata wang. Sabda Nabi SAW; “Allah melaknat pemakan riba dan pemberi makan riba” (Soheh al-Bukhari; 5962).
5. Mungkir janji. Sabda Nabi SAW; “Di antara tanda munafik ialah; bila berjanji, ia mungkiri” (Soheh al-Bukhari; 33).
Cara untuk mengelak bisnes online yang dijalankan terlibat dengan unsur-unsur di atas :
1. Barang atau produk yang saudara tawarkan dalam talian itu mestilah produk yang halal
2. Hendaklah dipastikan pembeli berpeluang mengetahui barang/produk yang ditawarkan dengan jelas (jenis dan ciri-cirinya, serta harganya, bayaran khidmat posnya) melalui keterangan bertulis, lebih baik lagi jika berserta gambar atau video penerangan yang mencukupi. Ini untuk pastikan pembeli tidak tersalah barangan yang diminati.
3. Jangan menambah ciri yang tidak ada pada produk/barangan, kerana itu adalah penipuan. Pembeli berhak memulang barang yang dibeli dan meminta kembali wangnya apabila menyedari ia ditipu.
4. Sentiasa memastikan stok barangan masih ada, untuk mengelak dari pembeli membayar untuk barang yang tidak ada.
5. Jika produk atau barang hanya didapatkan apabila ada tempahan pembeli, hendaklah saudara berakad dengan pembeli secara akad SALAM (akad tempahan), iaitu mereka membayar bukan untuk membeli, akan tetapi untuk menempah.
6. Perkara yang penting dalam Syarak ialah ijab dan qabul, iaitu bahasa persetujuan dua pihak (penjual dan pembeli) untuk berakad jual-beli. Ijab dan qabul mesti jelas dan mesti sama. Bagi perniagaan secara online ini, ijab dan qabul hendaklah dilakukan secara bertulis.
7. Kaedah pembayaran hendaklah ditentukan dari pembeli dan kaedah untuk saudara mengesahkan pembayaran benar dibuat atau tidak.
8. Saudara hendak memberi komitmen penuh untuk memenuhi janji kepada pelanggan dalam menentukan kualiti barang dan keselamatan barang hingga sampai kepada mereka.
9. Pembeli diberi hak khiyar oleh Syarak. Hak khiyar bermaksud; membatalkan akad (dengan memulangkan barang dan menuntut kembali wang) jika mendapati ada kecacatan pada barang atau dapat barang yang lain dari tempahan.
Begitulah beberapa panduan bagi yang ingin menceburi perniagaan secara online. Mudah-mudahan perniagaan saudara dimajukan Allah berkat kepatuhan kepada Syariat.