Kesihatan Mata: Tekanan Digital Kepada Mata Yang Tidak Terurus
Sudah menjadi tabiat kita sejurus bangun dari tidur akan melayari laman media sosial menerusi telefon pintar untuk memeriksa notifikasi atau berita terkini tanpa memikirkan Kesihatan Mata kita. Tabiat yang sama juga dilakukan sebelum kita tidur. Situasi demikian menggambarkan gaya hidup bukan sahaja di Malaysia kini namun ia juga adalah fenomena dunia yang semakin hari semakin meningkat.
Berdasar kajian, penduduk Asia Pasifik adalah pengguna gajetĀ paling tinggi dengan paparan skrin digital berbanding penduduk bahagian lain dunia. Dianggarkan mereka meluangkan masa selama 7 jam sehari menatap skrin digital dengan 2 jam daripadanya melayari telefon pintar dan pada masa yang sama menonton televisyen.
Rakyat Malaysia pula secara puratanya meluangkan masa antara 5 hingga 8 jam sehari menatap skrin digital termasuk pendedahan kepada pelbagai jenis perkakas digital seperti komputer riba, komputer, telefon pintar, tablet dan televisyen.
Penggunaan pelbagai skrin digital ini adalah amalan harian yang disertakan oleh peningkatan popularasi perkakas digital di Malaysia yang mana ia semakin kerap digunakan ditempat kerja sama ada untk mendapatkan maklumat mahupun menyebarkan maklumat.
Walaupun kebergantungan kita ke atas teknologi untuk menjalani kehidupan harian mapu memberikan pelbagai kemudahan, ia juga membawa pelbagai kesan berbahaya kepada kesihatan antaranya tekanan digital terhadap mata.
Tekanan digital terhadap mata adalah ketidakselesaan yang dialami organ penglihatan itu selepas lebih 2 jam menatap skrin digital dalam jarak dekat.
Ia biasanya dicirikan dengan gejala seperti keletihan, kemerahan, rasa kasar, penglihatan kabur, pening dan sakit bahu serta leher akibat postur skrin yang tidak betul.
Bagaimanapun, rasa tidak selesa pada mata bukan disebabkan paparan skrin semata-mata, sebaliknya pendedahan kepada sinaran biru yang dipancarkan oleh paparan skrin dalam jangka lama secara berterusan boleh menyebabkan komplikasi yang serius.
Sinaran biru mempunyai jarak gelombang yang sangat pendek dan ia menghasilkan sejumlah tenaga yang lebih tinggi. Kajian menunjukkan pendedahan pada sinaran biru secara berlebihan dalam jangka panjang boleh menyebabkan kerosakan serius kepada mata.
Ini kerana, sinaran biru menjangkau jauh ke dalam mata dan kesan kumulatifnya iaitu pendedahan sedikit demi sedikit dalam jangka panjang boleh menyebabkan kerosakan kepada retina.
Kekerapan tekanan digital terhadap mata boleh mengakibatkan masalah mata kering. Sekiranya jika tidak dirawat boleh mendatangkan kesan buruk terhadap penglihatan seseorang. Masalah mata kering menjejaskan kebolehan seseorang dalam menjalankan aktiviti harian, malah menjejaskan kemampuan seseorang untuk memandu dan membaca.
Satu lapisan air mata yang nipis sepatutnya menyaluti permukaan mata setiap kali mata berkelip. Apabila seseorang mempunyai masalah mata kering, kelenjar air mata tidak menghasilkan cecair yang secukupnya untuk melembapkan dan melindungi mata. Seterusnya ini akan mengakibatkan ketidakselesaan dan kerengsaan pada mata.
Inilah yang terjadi akibat daripada pendedahan yang terlalu lama dan berpanjangan daripada tekanan digital terhadap mata. Apabila tidak dirawat, ia boleh mengakibatkan kesan jangka panjang yang berbahaya dan memberikan impak secara langsung kepada kesihatan mata seseorang.
Namun, masalah mata kering juga berpunca daripada menghidap penyakit, perubahan persekitaran dan penuaan. Gejala bagi mata kering seperti mata pedih, rasa kasar seperti berpasir, kemerahan, pandangan kabur dan tidak tahan silau.
Cara Menjaga kesihatan Mata Daripada Tekanan Digital
Teknologi sememangnya tidak dinafikan banyak kelebihannya, namun ia perlu digunakan secara betul dan mempunyai batas. Hal ini bagi mengelakkan kesan berbahaya kepada kesihatan mata kita. Terdapat amalan mudah yang dapat digunakan dalam rutin untuk mengelakkan mata daripada mengalamai masalah kekeringan dan tekanan.
Rehatkan mata daripada menatap skrin selama 20 saat pada setiap 20 minit dan melihat pemandangan pada jarak 20 kaki. Di samping itu, selaraskan kadar terang cahaya pada komputer atau telefon pintar kepada tahap yang selesa bagi mata.
Menatap skrin digital pada jarak yang selesa dan elakkan daripada menatapnya terlalu dekat. Pengguna digalakkan melembapkan mata sebelum kekeringan berlaku. Lembapkan mata dengan menggunakan ubat titis mata. Ia juga boleh memberikan perlindungan daripada masalah mata kering.
Pengguna dinasihat melakukan pemeriksaan mata sekurang-kurangnya sekali setahun bagi memastikan mata dan penglihatan mereka kekal dalam keadaan baik.
Selain penggunaan ubat titis mata, kita harus mempunyai kesedaran mengenai masalah mata kering dan apa yang dapat dilakukan untuk mengatasinya.
Saya berharap dengan perkongsian ini mampu memberikan dan seterusnya meningkatkan kadar kesedaran terhadap kesihatan mata. Sesungguhnya mencegah itu lebih baik dari merawat. Namun ada segelintir masyarakat kita tidak mampu meloloskan diri dek kerana kerja mereka memerlukan penggunaan komputer secara berterusan,
Tips tambahan yang saya boleh kongsikan bagi mereka yang bekerja dengan laptop seharian ialah dengan menggunakan cermin mata digital. Sebaiknya pakai lah semasa melakukan kerja anda supaya dapat mengurangkan cahaya biru masuk ke dalam mata anda.
Selain itu juga, pencahayaan yang sesuai sangat memainkan peranan penting dalam menjaga kesihatan mata. Jangan menggunakan komputer atau apa sahaj gajet dalam keadaan gelap dengan kecerahan gajet yang tinggi. Hal ini kerana ia akan memberikan lebih banyak tekanan kepada mata.