SIAPA PERDANA MENTERI MALAYSIA SELEPAS INI?


Saya mengikuti perbincangan hangat dikalangan semua parti yang sedang berjuang menghadapi PRU 14 yang begitu galak menamakan calon Perdana Menteri, kecuali PAS tidak mencalonkan sesiapa.

Dahulunya ada pemimpin jadian dalam PAS juga berwirid dengan nada yang sama. Sekarang sudah meninggalkan PAS. Semua pihak merasa hairan mengapa PAS diam membisu? Adapun ahli dan penyokong PAS yang sangat setia sanggup tidak berpeluh dan berpecah kepala bertanya siapa calonnya sama ada jawatan Penghulu Kampung, ADUN, Parlimen dan jauh sekali siapa calon PM.

Ketika PRU 13 dahulu, TYT Duta Amerika minta mahu bertemu saya, setelah dia membatalkan kesediaannya untuk datang ke Pejabat PAS, saya pula dijemput ke rumahnya. Dengan rasa kehairanan saya pergi juga, ditemani kawan terdekat Datuk Mustafa Ali dan Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Politik saya. TYT Duta bersama dua pegawai, katanya salah seorang daripadanya datang daripada U.S.

Saya jangka dia tanya soalan hudud yang biasanya dijadikan senjata menghina Islam, rupanya perbualan politik secara umum khususnya PRU. Apabila saya bertanya, mengapa U.S. bersama kerajaan diktator dibeberapa negara Islam sehingga kalau parti Islam menang dibatalkannya dengan kuasa tentera dan ada juga negara Islam yang tidak ada pilihanraya, padahal U.S. adalah negara besar yang paling lantang mendokong demokrasi. Dia menjawab bahawa polisi U.S. tidak mencampuri urusan dalaman negara lain.

Akhirnya, dia bertanya saya: “Siapakah PAS calonkan jadi PM Malaysia kalau menang PRU?” Saya menjawab secara sepontan: “Siapakah calon yang dipersetujui oleh U.S.?” Mereka semua ketawa besar, kemudian terdiam.

PAS menyambung perjuangan Islam yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W. mengikut Al-Quran dan Sunnah serta diriwayatkan oleh para ‘ulama dalam kitab-kitab yang banyak. Hadis baginda S.A.W bersabda: “Demi Allah! Aku tidak melantik orang yang meminta jawatan atau rakus mahukan jawatan”. Hadisnya juga: “Di antara kemusnahan umatku di akhir zaman apabila jawatan menjadi pemimpin dianggap peluang untuk diri, keluarga dan kroni”.

Namun, Islam tetap mewajibkan adanya pemimpin bernama raja atau mengikut zamannya. Allah memuji di dalam Al-Quran tentang Nabi Daud A.S. menjadi khalifah, Nabi Sulaiman A.S. menjadi raja dan Zulqarnain bukan nabi menjadi raja, semua mereka berlaku adil.

Apabila para pemimpin Makkah yang menentang Islam merasa sangat tercabar dengan pengaruh Islam yang makin berkembang, mereka menghantar rombongan menawarkan jawatan raja atau ketua kepada Rasulullah S.A.W., tiba-tiba ditolaknya.

Kemudian mereka meminta Abu Talib, bapa saudara kesayangan Rasulullah S.A.W. memujuk supaya menerima tawaran dengan mengekalkan sistem jahiliyah dan meninggalkan Islam. Tiba-tiba jawapan Rasululah S.A.W. sangat tegas: “Demi Allah! Sekiranya diletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku supaya aku meninggalkan urusan menegakkan Islam ini atau aku mati kerananya, nescaya aku tidak akan meninggalkan perjuangan ini”.

Apabila keadaan wajib mencari tempat berhijrah, lalu Rasulullah S.A.W. berjumpa dengan para pemimpin kabilah Arab yang berhimpun di musim haji untuk berdakwah dan menyampaikan janji Allah dengan kemenangan Islam.

Sebahagian besarnya tidak peduli. Akhirnya baginda berjumpa dengan pemimpin Bani Amir yang besar jumlah penduduknya, dia tertarik dengan janji kemenangan, dan terus bertanyakan Rasulullah S.A.W.: “Siapakah yang menjadi ketua apabila sudah menang?” Sabda Rasulullah S.A.W.: “Itu adalah ketentuan mengikut kehendak Allah!” Pemimpin Bani Amir menjawab: “Tidak guna kami mencari susah bersamamu”.

Seterusnya baginda bertemu pemimpin Bani Syaiban, mengajak mereka bersama Islam dan Allah menjanjikan kemenangan. Mereka bertanya: “Apa dia Islam?” Sabda Rasulullah S.A.W.: “Islam itu percaya kepada Allah sahaja Tuhan Yang Maha Esa, mengajak kepada keadilan dan kebajikan dan melarang kejahatan dan kemungkaran”. Mereka menjawab: “Kami percaya ajarannya benar, tetapi bahayanya sangat besar, kerana seluruh dunia khususnya negara Parsi yang terdekat akan menentangnya”. Rasulullah S.A.W. bersabda: “Percayalah bahawa Islam akan menang, tetapi mestilah bersedia menghadapi segala cabaran yang datang daripada segenap penjuru. Namun apabila kamu mendapat berita kemenangannya nanti, sila datang bersama kami”.

Akhirnya, baginda menemui kabilah ‘Aus dan Khazraj yang datang ke Madinah. Mereka masuk Islam dan berbai’ah bersama Islam tanpa peduli apakah bahaya dan tidak bertanya tentang jawatannya apabila mencapai kemenangan.

Rasulullah S.A.W. menunjukkan qudwah supaya tegakkan Islam yang penuh adil dan baiknya kepada seluruh manusia dengan ikhlas. Rasulullah S.A.W. melarang para sahabatnya meminta-minta jawatan dan orang yang meminta jawatan dan terlalu inginkannya adalah orang yang meringankan kewajipan menunaikan amanah untuk menegakkan agama Allah dan Allah tidak menolongnya, tetapi kalau diberi jawatan supaya memegang amanah, nescaya diberi pertolongan Allah.

Rasulullah S.A.W. menerima Najasyi (Raja Habasyah), Raja Musqat, Raja Oman dan Raja Bahrain di zamannya apabila mereka menerima Islam. Rasulullah S.A.W. juga mengekalkan raja dan pemimpin bukan Islam yang tidak bermusuh dan tidak zalim.

Semua para Khulafa’ Rasyidin R.A. tidak mencalonkan dirinya sendiri menjadi Khalifah.

Apabila ‘Umar bin Abdul Aziz diminta menjadi Khalifah, dia hanya sepupu kepada Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik sebelumnya, kerana Sulaiman diberi cadangan oleh para ‘ulama jangan melantik putranya.

‘Umar bin Abdul Aziz terkejut dan menganggap bala bencana bagi dirinya, namun tetap menjadi amanah Allah. Dia terus ke masjid, menaiki mimbar dan menyampaikan ucapan: “Saya telah dicalonkan menjadi pemimpin kamu, jawatan ini adalah juga hak kamu yang tidak boleh dipermainkan. Adakah kamu semua bersetuju saya yang dipilih?” Apabila seluruh jamaah bersatu suara dengan kuat: “Kami bersetuju!” Maka Khalifah ‘Umar bin Abdul Aziz terus menerimanya dan bertugas dengan cemerlang.

PAS jangan terpengaruh dengan budaya politik lain daripada Islam. Al-Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah menegaskan: “Kita wajib terima siapa sahaja yang menerima Islam walaupun dia bukan PAS”.

Firman Allah S.W.T:
﴿ٱتَّبِعُواْ مَن لَّا يَسۡ‍َٔلُكُمۡ أَجۡرٗا وَهُم مُّهۡتَدُونَ﴾ [يس: 21]

“Ikutlah orang-orang yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk.” (Surah Yasin: 21)

Ingatlah kepada slogan Muktamar PAS terakhir.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Dari Jendela IJN.

Bertarikh: 10 Ramadhan 1438H / 5 Jun 2017

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat