Ini Sebab Kenapa Rakyat Malaysia Dilabel Pengotor
Kita sering menjadikan sikap orang Jepun sebagai satu sikap yang patut dicontohi untuk rakyat di negara ini. Dari segi etika, perangai, akhlak atau pun sikap masyarakat di Malaysia hanya sedikit sahaja jika dibandingkan dengan masyarakat di Jepun. Syariat Islam ada pada etika mereka walaupun mereka tidak mempunyai agama ataupun menganut agama lain.
Kita juga sering didedahkan dengan keburukan daripada masyarakat Barat. Budaya Barat diterjemahkan sebagai kurang sesuai untuk serapan dan hadaman masyarakat di negara ini.
Budaya sosial seperti mabuk, menghisap dadah, berpakaian mencolok mata, mengeluarkan kata-kata kesat dan pelbagai lagi perlakuan negatif yang sering disinonimkan dengan mereka ini.
“Jangan ikutkan sangat budaya barat, tiada yang elok!,” kata-kata yang sering disebut oleh majoriti rakyat kita.
Pernahkah anda melihat majoriti masyarakat kita mengemas meja sendiri, angkat pinggan, lap meja dengan tisu dan buang sampah serta sisa makanan di tong sampah disediakan selepas makan di mana-mana restoran?
Contoh lain, memastikan tandas awam bersih dan kering selepas digunakan, meletak semula troli pasar raya di tempat disediakan selepas digunakan, tidak merokok di tempat awam, memberi peluang orang keluar daripada tren terlebih dahulu, dan banyak lagi etika lain yang rata-rata tidak diamalkan oleh rakyat di negeri ini.
Seperti yang kita dapat lihat khususnya negara-negara seperti Jepun, Korea Selatan dan juga Singapura, negara mereka lebih ke hadapan dalam kesusilaan dengan rakyatnya menuju ke arah mentaliti kelas pertama.
Sikap Yang Dianggap Lumrah
Banyak lagi nilai negatif yang diamalkan yang pastinya langsung tidak menjadi budaya dan amalan di Malaysia. Inilah realiti yang menyedihkan.
Kita yang kononnya masyarakat yang penuh santun dan adab pula, tidak tahu untuk mengemas meja sendiri selepas makan. Agak sukar juga jika hendak ikut amalan murni yang lain.
“Kan ada tukang cuci, ada tukang kemas, buat apa mereka dibayar gaji, kalau aku yang nak kemas sendiri.” Inilah pemikiran sesetengah masyarakat kita.
Meninggalkan pinggan, tisu kotor, sampah dan segala sisa makan di atas meja selepas perut kenyang terutama di restoran makanan segera, medan selera atau kafe yang mengamalkan konsep layan diri, boleh dikatakan sikap majoriti rakyat Malaysia.
Itu belum lagi dengan keadaan meja bersepah dan makanan berterabur di sana-sini dan kemudian ditinggalkan begitu sahaja. Tidak kurang juga di tempat awam seperti di wakaf atau bangku rehat di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) menyaksikan nasib yang sama.
Bukan setakat itu sahaja, budaya merokok di tempat awam mahupun di tempat makan juga dianggap sebagai sesuatu yang lazim walaupun ia menyebabkan mereka yang lain tidak berasa selesa.
Ada sesetengah pihak yang langsung tidak kisah dengan perokok yang selamba membuang abu dan puntung rokok di atas meja atau lantai dan sehinggakan ada juga yang sanggup meninggalkannya di atas pinggan mangkuk.
Sedihnya, perkara sebegini sudah dianggap lumrah. Lebih menyedihkan, mana-mana individu yang rela membersihkan meja sendiri pula dipandang sinis dan kadang-kadang ditertawakan.
Mungkin kerana sudah menjadi kebiasaan selepas makan di mana-mana tempat sekalipun, kita meninggalkan semuanya di atas meja atau campak ke lantai meskipun tong sampah dan tempat letak pinggan mangkuk hanya beberapa langkah daripada kita.
Dalam pemikiran kita, kerja membersih atau mengemas meja bukan tanggungjawab kita, tetapi tanggungjawab petugas restoran atau tukang cuci yang dibayar gaji.
Benar, ada pekerja yang ditugaskan untuk tujuan pembersihan, tetapi di mana ketamadunan kita sebagai manusia? Memang kita membayar makanan tersebut, tetapi adakah itu alasan besar untuk kita menjadi pengotor dan pemalas?
Jika anda boleh melayan diri anda dengan membuat pesanan sendiri dan mengangkat dulang makanan ke meja sendiri, mengapa tidak mengutip sisa makanan yang anda sendiri sepahkan, lantas mengemas meja dan membuang sampah ke tempat sepatutnya?
Paling tidak, mengapa tidak satukan semuanya dalam talam, agar mudah pekerja mengemas, bukannya membiarkannya berselerak.
Bagi memastikan rakyat Malaysia mempunyai sensitiviti dan mentaliti terpuji, mungkin kita sentiasa perlu diingatkan meskipun masing-masing sudah punya akal.
Namun adakah ia berkesan?
Sikap Perlu Diubah!
Lihat sahaja di pusat membeli-belah seperti IKEA, gedung kelengkapan rumah dari Sweden yang terkenal dengan bebola dagingnya. Meskipun sudah ditampal notis yang sangat jelas, yang meminta dulang dan pinggan diletakkan di sudut khas selepas makan, namun hanya segelintir sahaja yang melakukannya.
Meskipun di meja-meja makan juga siap ditampal dengan pelekat bagi tujuan mengingatkan untuk mengemas meja selepas makan, namun majoritinya tetap tidak segan untuk angkat kaki dengan meninggalkan sisa makanan di meja.
Di dinding, IKEA juga menyatakan, mereka dapat meminimumkan harga makanan dengan cara tidak perlu menggajikan ramai atau membayar pekerja yang digajikan khas untuk mengemas meja makan, sekiranya pengguna sendiri dapat berbuat demikian.
Namun, mana-mana restoran makanan segera terpaksa akur kepada budaya sesetengah rakyat Malaysia yang terlampau sukar hendak mengubah tabiat yang satu ini.
Kalau masyarakat Barat yang kononnya dianggap teruk boleh lakukan, tidakkah itu memberi tamparan hebat buat kita masyarakat yang penuh dengan budaya santun dan berbudi bahasa?
Jika di rumah pun selepas makan, kita akan mengangkat pinggan dan mengemas meja sendiri, kenapa tidak mengekalkan sikap sebegitu ketika berada di luar? Ia akan melambangkan kita sebagai masyarakat yang berpekerti mulia.
Pastinya pekerja sama ada yang makcik, pakcik, orang kurang upaya (OKU) atau pekerja asing pun turut berterima kasih. Mereka yang hendak menggunakan meja selepas itu pun pastinya gembira.
Jadi mengapa tidak selepas ini, kita mulakan tabiat kemas, angkat dan buang. Tidak sukarkan?
Negara kita merupakan negara Islam dan majoritinya adalah masyarakat Melayu. Jadi, kita seharusnya mempraktikkan amalan-amalan atau akhlak terpuji yang disyorkan dalam agama Islam dalam kehidupan seharian agar ia dapat menjadi satu budaya yang boleh dicontohi oleh bangsa lain.