Padah Keluar Tanpa Izin
Ibu bapa mana yang tak sayangkan anak mereka kan?. Teguran, nasihat dan juga larangan daripada kedua ibu bapa itu adalah kerana mereka sayangkan anak-anak mereka walaupun ianya pahit bagi anak-anak untuk menerimanya. Encik Mohd Faisal adalah salah seorang bapa yang sayangkan anaknya, disini beliau ingin berkongsi sedikit pengalaman beliau dengan harapan boleh dijadikan iktibar kepada anak muda diluar sana.
Saya ingin berkongsi sedikit pengalaman saya sebagai bapa terhadap apa yang menimpa anak lelaki saya baru-baru ini. Mungkin juga ini boleh diambil sebagai pengajaran terhadap adik-adik remaja agar mematuhi apa yang ibu bapa perkatakan.
Saya ada seorang anak lelaki yang baru-baru ini tamat SPM. Sewaktu masih di sekolah dia selalu mengambil kenderaan saya baik motosikal atau kereta tanpa izin. Motosikal, saya izinkan tetapi sekitar kawasan taman perumahan saya sahaja. Kereta saya haramkan langsung. Ada berlaku kes yang dia curi-curi. Tapi dia akan kantoi dengan saya melalui adik-adiknya. Dan dia akan kena(denda). Saya tidak benarkan hingga dia ada lesen.
Saya mengenakan kawalan yang ketat untuk keluar rumah. Kemana, dimana, dengan siapa dan berapa lama? Jika tanpa izin saya atau ibunya maka saya akan menjerit dan dia akan makan penyakit. Saya tahu kawan-kawannya tidak sukakan saya kerana kawalan yang saya kenakan.
Selepas tamat SPM dan usianya layak untuk memohon lesen memandu, saya sendiri yang hantarnya mendaftar di sekolah memandu. Dan selepas tamat sekolah dia rasa dia dah besar ala-ala cara orang putih dan boleh bebas. Boleh keluar dgn kawan-kawan atau keluar malam. Sekarang saya haramkan terus keluar malam melainkan ada perkara-perkara tertentu dan dengan izin saya. Saya tahu dia tidak sukakan saya sekarang. Cuma jenisnya(bersikap) tidak melawan dan pendam sendirian. Tapi apa saya nak pedulikan. Saya beri 2 pilihan sahaja.
i )Nak hidup dengan saya maka kena ikut cara dan didikan saya.
ii ) Jika mahu kebebasan, saya boleh lepaskan tangggungjawab sebagai bapa. Kamu boleh bungkus kain baju dan keluar dari rumah ini untuk hidup sendiri.
Dia lulus ujian memandu tahap pertama dan dapat lesen L. Kepaknya agak terbuka sedikit. Tetapi saya tidak benarkan dia memandu kereta lagi. Hanya motosikal sahaja dan itu pun dengan kawalan saya. Mesti beritahu dengan jujur kemana hendak pergi, dengan siapa dan berapa lama? Tujuannya supaya saya tahu jika berlaku apa-apa yang tidak diingini, saya tahu kemana hendak dicari. Laluan mana, dimana dan apa-apa sahaja petunjuk yang boleh membantu.
Satu petang di awal Januari 2017. Dia sedang buat kerja dengan saya. Tiba-tiba dia hilang. Saya ingatkan dia pergi sembahyang atau di biliknya. Tiba-tiba dia telefon saya. “Abah..abah..cepat datang…orang eksiden kat Jalan Kebun”. Terkejut tak usah cakaplah. Terus saya pergi tanpa memberitahu ibunya. Sebab tidak mahu ibunya terkejut kerana ibunya ada darah tinggi.
Terkejut saya melihat motosikal saya yang baru 3 bulan dibeli. Baru bayar 2 kali dan belum pun servis 1000km pertama. Motor patah, kereta apek yang dilanggarnya hanya kemek bumper dan dia hanya luka di kaki.
Melihat keadaannya yang tidak teruk dia hampir makan penyakit saya di situ. Nasib baik apek itu dan bibiknya sempat tahan. Kerana keluar dan tunggang motosikal tanpa izin saya.
Saya tidak mempedulikan dia beberapa hari. Tidak melihat lukanya dan tidak bertanya khabar. Kerana geram. Hanya dilayan oleh ibunya dan adik perempuannya.
Pihak insuran motosikal hubungi saya dan beritahu motor tersebut tidak boleh dibaiki lagi. Katanya ‘total lost’. Nasib baik insuran all rider. Dan dia telah ada lesen L. Kita yang bawa dia pergi buat lesen, kita yang tanggung kos. Akhirnya motosikal kita yang hancur.
Saya panggil dia dan tanya dia,
“Kenapa Allah SWT patahkan motor dan kamu sendiri terbang waktu kemalangan itu, tapi kamu hanya luka di kaki” ?
“Kenapa Allah tidak patahkan kamu atau cedera yang teruk” ?
Sebab jika lihat kepada keadaan motosikal dan cerita-cerita saksi, tidak munasabah dengan kecederaan yang dialaminya. Tapi itu…Allahuakbar. Allah Maha Besar. Alhamdullillah…
Sebabnya Allah masih sayangkan kamu. Allah nak bagi pengajaran kepada kamu. Dengarlah cakap ibu bapa. Dengarlah nasihat ibu bapa. Tidak ada ibu bapa yang waras yang nak mengawal atau mengokong anak. Ibu bapa buat begitu kerana sayangkan anak. Kerana ianya harta yang paling bernilai.
Semoga kisah ini dapat menjadi pengajaran kepada adik-adik remaja yang lain. Dengarlah nasihat dan ajaran ibu bapa. Kalian harus bersyukur kerana mempunyai ibu bapa yang prihatin terhadap kalian. Hari ini kalian mungkin menyampah dan nasihat ibu bapa itu tidak bernilai kepada kalian. Tapi sesungguhnya satu hari kelak ketika ibu bapa kalian telah diselimuti kain putih dan disimpan kemas dalam liang lahat, kalian akan menangis mengenangkan nasihat-nasihat ibu bapa kalian dulu. Ketika itu baru kalian nampak nilainya.
Semoga insiden yang terjadi di JB(Johor Bahru) adalah yang terakhir dalam negara kita. Dengarlah nasihat ibu bapa. Al Fatihah….