MENARIK : RISDA Sedia Beri Biasiswa RM500,000
KOTA BHARU – Skim bantuan biasiswa disediakan untuk mewujud dan menyediakan dana kepada anak pekebun kecil RISDA. Sebanyak RM500,000 disediakan RISDA untuk biasiswa kepada 1,000 anak pekebun kecil yang berdaftar dengan agensi itu tahun ini. Bantuan yang disediakan ini adalah selaras dengan misi RISDA dalam menyedia dan menyalurkan dana bantuan kepada anak pekebun kecil yang terpilih.
Datuk Ahmad Jazlan (dua dari kanan) sedang beramah mesra bersama tetamu di Majlis Sambutan Aidilfitri RISDA Peringkat Negeri Kelantan – kredit foto: Harian Metro.
Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, biasiswa itu diberikan kepada pekebun kecil yang berada di bawah paras kemiskinan.
Katanya, setiap pekebun kecil yang terpilih ini menerima RM500 untuk anak mereka melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Di Kelantan sahaja, RISDA memperuntukkan RM180,000 untuk membantu anak pekebun kecil di negeri ini melanjutkan pengajian.”
“Biasiswa ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban keluarga untuk digunakan bagi menampung kos pembelajaran anak mereka ke peringkat lebih tinggi sekaligus dapat mengubah nasib keluarga menjadi lebih baik,” katanya dalam sidang media di Majlis Sambutan Aidilfitri RISDA Kelantan di Kota Bharu semalam.
Hadir sama, Pengarah RISDA Kelantan, Rusly Yaakob.
RISDA telah bertindak sebagai wahana penyaluran bantuan pendidikan kepada masyarakat pekebun kecil yang memerlukan untuk merealisasikan impian anak mereka dalam melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.