Dari Penaklukan Kota Mekah Hingga Perang Badar, Ini Peristiwa Penting Dalam Bulan Ramadhan Yang Semua Umat Islam Perlu Tahu
Bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh keberkatan serta banyak kelebihannya. Sebagai umat Islam, kita haruslah raikannya dengan penuh perasaan ta’zim (membesarkan) dan mengalu-alukannya.
Selain menandakan bulan perlaksanaan rukun Islam ketiga, bulan Ramadhan juga merupakan waktu yang baik untuk kita ingati peristiwa penting dalam Islam.
Terdapat banyak peristiwa penting yang berlaku dalam bulan Ramadhan. Jom kita semak beberapa detik bersejarah dan penting berlaku dalam bulan suci ini.
Peristiwa Penting Dalam Bulan Ramadhan Yang Perlu Diketahui Umat Islam
1. Turunnya Al-Quran
Bulan Ramadhan juga merupakan waktu turunnya Al-Quran. Kitab suci ini diturunkan dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia.
Ia diturunkan secara beransur-ansur kepada Rasulullah saw bergantung kepada suasana dan keperluan. Hari turunnya Al-Quran sering diperingati dengan sambutan Nuzul Al-Quran iaitu pada 17 Ramadhan setiap tahun.
2. Perang Badar
Peristiwa penting dalam bulan Ramadhan antaranya adalah Perang Badar. Berlaku pada hari Jumaat, 2 Ramadhan dalam tahun kedua Hijrah, Perang Badar merupakan peperangan pertama dalam sejarah Islam yang menyaksikan pertempuran antara tentera muslimin dengan musyrikin.
Perang ini dinamakan Perang Badar semepan nama tempat berlakunya peperangan tersebut.
Perang Badar juga menjadi bukti pertolongan Allah kepada hambaNya apabila turunnya bala tentera berupa para malaikat yang membantu 313 tentera muslimin menentang pihak musuh yang dianggotai seramai seribu orang.
Kemenangan akhirnya berpihak kepada tentera islam dan hanya 14 orang gugur syahid dalam peperangan tersebut.
3. Penguasaan Kota Mekah
Pada tahun kelapan Hijrah iaitu enam tahun selepas berlakunya Perang Badar, Nabi Muhammad saw mencatatkan sejarah melalui penaklukan kota Mekah secara aman.
Masyarakat Quraisy dan orang-orang Islam telah menandatangani Perjanjian Hudaibiyah yang membenarkan orang-orang Islam untuk menziarahi Kaabah dengan aman.
Walau bagaimanapun, orang Quraisy melanggar perjanjian tersebut hingga mengakibatkan gencatan senjata berakhir.
Justeru itu, Rasulullah saw kemudian berangkat dengan 10,000 tentera dan dapat menakluki kota Mekah dengan aman.
Peristiwa ini merupakan titik perbuahan bagi umat Islam dari aspek politik dan kerohanian. Ia menandakan berakhirnya zaman penyembahan berhala dan umat Islam dibenarkan untuk kembali ke kota Mekah.
4. Kehancuran Berhala al-Uzza
Selepas penaklukan kota Mekah, Rasulullah saw mengirimkan Khalid-al Walid untuk memusnahkan patung berhala al-Uzza di Nakhla.
Orang Arab Jahiliyyah ketika itu sangat mengagung-agungkan berhala al-Uzza iaitu patung dewi terbesar di situ. Masyarakat Arab ketika itu juga sering menyelit nama al-Uzza setiap kali melafazkan sumpah.
Khalid al-Walid berjaya menyempurnakan tugas yang diberikan hingga berakhirnya penyembahan berhala tersebut di kalangan orang Arab Jahiliyyah.
5. Malam Lailatul Qadar
Malam Lailatul Qadar adalah satu hari yang paling penting dalam bulan Ramadhan. Pada malam itu, suatu ibadah yang dilaksanakan adalah lebih baik daripada ibadah yang dilakukan selama 1,000 bulan.
Juga digelar sebagai Malam Kekuasaan, hanya Allah sahaka yang tahu tarikh sebenar bagi malam Lailatul Qadar. Namun, ramai ulama berpendapat malam tersebut jatuh pada salah satu malam ganjil pada 10 hari terakhir.
Oleh itu, kita perlulah memanfaat sepenuhnya 10 malam terakhir dan berdoa kepada Allah agar kita tergolong di antara orang-orang yang terpilih untuk menerima pahala ibadah 1,000 bulan seperti yang dijanjikan-Nya.
6. Kewafatan Saidatina Khadijah R.A dan Abu Talib
Kewafatan Saidatina Khadijah r.a berlaku 10 tahun selepas turunnya wahyu. Sepanjang hayat wanita mulia ini, beliau bergelar isteri tercinta Rasulullah saw selama 23 tahun.
Beliau juga adalah orang pertama yang menenangkan Baginda selepas menerima wahyu. Beliau juga merupakan wanita pertama yang memeluk Islam.
Jasa serta pengorbanan Khadijah dalam membela agama Islam perlu diteladani. Peribadi beliau yang terpuji juga menjadikan Saidatina Khadijah r.a sebagai role model buat semua wanita Islam sehingga ke hari ini.
Tidak lama selepas kewafatan Khadijah r.a, Abu Talib, bapa saudara Nabi saw juga meninggal dunia. Pemergian dua orang ini sangat berat buat baginda. Tahun tersebut dikenali sebagai ‘Tahun Kesedihan’ buat umat Islam ketika itu.
Begitulah antara peristiwa penting yang berlaku dalam bulan Ramadhan. Selain menghiasi bulan mulia ini dengan ibadah, kita juga perlu manfaatkannya dengan mengenang detik-detik penting yang berlaku pada bulan Ramadhan.
Semoga penghayatan peristiwa penting dalam Bulan Ramadhan dapat menyemarakkan lagi suasana bulan suci ini samping memberikan erti yang lebih mendalam buat semua.