Ketahuilah Tokoh-Tokoh Disebalik Kemerdekaan Tanah Melayu


Tanggal 31 Ogos pada setiap tahun adalah merupakan Hari Kemerdekaan Malaysia. Hari itu ialah hari di mana Malaysia mendapat kebebasan sendiri untuk memerintah selepas dijajah oleh penjajah. Pada 31 Ogos 1957, Tanah Melayu telah diisytiharkan merdeka dan bebas dari penjajah.

Janganlah kita lupa dengan tokoh-tokoh yang banyak berjasa, demi untuk mendapatkan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Tahukah anda siapa tokoh-tokoh tersebut? Marilah sama-sama kita ketahui tokoh-tokoh disebalik kemerdekaan Tanah Melayu kita.

 

Antara tokoh-tokoh disebalik kemerdekaan Tanah Melayu tersebut ialah:

1. Tunku Abdul Rahman Putra

Tunku Abdul Rahman Putra merupakan seorang tokoh yang banyak berjasa untuk kemerdekaan Tanah Melayu. Beliau terlibat dengan penentangan terhadap Malayan Union, mengetuai tampuk kepimpinan Umno dengan slogan ‘Hidup Melayu kepada Merdeka’, mengatur segala bagai strategi antara kaum-kaum yang terdapat di Tanah Melayu, dan juga bersepakat dengan pihak Majlis Raja-Raja Melayu. Dengan itu, kemerdekaan Tanah Melayu dapat dicapai dengan aman secara rundingan. Beliau ialah “Bapa Kemerdekaan”. Tanpa beliau, tidak mungkin Tanah Melayu mampu untuk bebas dari penjajah.

2. Tun Sir Henry H.S Lee

Tun Sir Henry H.S Lee banyak berjasa untuk perpaduan antara kaum di Tanah Melayu dan juga untuk mencapai kemerdekaan. Beliau berperanan penting kepada penubuhan MCA, dan juga merupakan perancang untuk penubuhan parti perikatan UMNO-MCA, penentang komunis pada zaman darurat. Setelah Tanah Melayu bebas dari penjajah, beliau dilantik sebagai Menteri Kewangan pada tahun 1957 hingga tahun 1959.

3. Tun V.T. Sambanthan

Merupakan seorang masyarakat India dari kawasan pedalaman di Sungai Siput, Perak dan dilantik menjadi Presiden Kongres India Malaya pada usia 36 tahun. Kemudian beliau dilantik menjadi menteri dalam kementerian. Banyak berjasa ketika menjadi menteri kabinet terutama untuk hal-hal yang berkaitan dengan perpaduan rakyat yang berbilang kaum di Tanah Melayu dan juga terhadap kemudahan rakyat pada masa tersebut.

4. Rentap

Seorang pahlawan dari suku kaum Dayak. Beliau salah seorang pemimpin yang menentang pemerintahan Raja Putih Brooke. Merupakan ketua bagi pahlawan Iban di kawasan Saribai dan Sarikei. Ketika perang pertamanya beliau telah memenggal kepala musuh, kerana itulah beliau mendapat gelaran Rentap.

5. Mat Salleh

 

Mat Salleh atau Datu Mat Salleh ialah pejuang Sabah yang kuat menentang ketika Inggeris menjajah Sabah pada ketika itu. Beliau dianggap sebagai pemberontak oleh British tetapi beliau merupakan seorang pahlawan dan pejuang kemerdekaan di mata rakyat tempatan.

6. Tok Janggut

Haji Mohd Hassan bin Panglima Mat Munas atau Tok Janggut merupakan pahlawan di Kelantan. Beliau menentang penjajahan British apabila mereka mengenakan cukai di Kelantan. Selain itu, beliau juga merupakan tokoh agama Islam yang sangat terkenal dan mempunyai ramai pengikut.

7. Mat Kilau

Mat Kilau bin Imam Rasul, mahir dalam ilmu batin, silat dan juga mahir bermain dengan senjata. Disegani oleh penduduk Pahang kerana beliau mempunyai sifat-sifat seorang pemimpin dan juga mempunyai pemikiran yang matang.

8. Dato’ Maharaja Lela Pandak Lam

Dato’ Maharaja Lela mengetuai penentangan terhadap pendudukan British di Perak dan juga beliau membuat pakatan untuk membunuh Residen British iaitu James Wheller Woodfird Birch (J.W.W. Birch).

9. Antanom

Antanom ialah ketua pemberontakan Rundum untuk menentang penjajah sekitar tahun 1915. Beliau dikagumi kerana kehebatannya menggerakkan pemberontakan menentang penjajah dan juga kewibaannya untuk menyatukan kaumnya yang bersengketa dan berpecah-belah. Antanom telah dibunuh oleh mata-mata upahan Inggeris dengan dipenggal kepalanya.

10. Haji Abdul Rahman Abdul Hamid

Haji Abdul Rahman Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Tok Limbong merupakan pemimpin di Terengganu. Beliau memimpin gerakan “Pemberontakan Tani Terengganu”, merupakan seorang alim ulama dan pendakwah yang disegani. Menentang penjajah kerana hal-hal yang berkaitan dengan pungutan hasil yang berada di bawah kuasa Sultan tetapi Inggeris yang campur tangan.

11. Tok Gajah

Merupakan ayah kepada Mat Kilau. Tok Gajah menentang penjajah Inggeris  bersama Mat Kilau, Datuk Lela dan Datuk Bahaman. Beliau mempunyai semangat juang yang tinggi dan sanggup berhadapan dengan musuh yang lengkap bersenjata.

 

Disaat kita semua bergembira menyambut hari kemerdekaan, janganlah kita lupa dengan jasa-jasa mereka semua. Tanpa mereka, belum tentu negara kita akan mengecapi kemerdekaan. Sebagai rakyat Malaysia pada masa sekarang, jagalah negara kia dengan sebaiknya, jangan sampai ianya kembali dijajah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat