Anda Sering Menahan Diri Dari Membuang Air Kecil, Ketahui Kesan Buruk Dari Melakukannya
Semua orang sedia maklum bahawa menahan diri daripada membuang air kecil merupakan satu perbuatan yang tidak berapa baik. Air yang ditahan itu hakikatnya adalah kotor dan beracun yang perlu dikeluarkan daripada tubuh badan anda.
Sekalipun sesorang itu terlampau sibuk dalam melakukan pekerjaannya, menahan daripada membuang air kecil adalah satu tindakan yang tidak bijak.
Menurut Pakar Urologi, Kesihatan Lelaki dan Pembedahan Robotik, Pusat Perubatan Prince Court, Datuk Dr. Sahabudin Raja Mohamed, menahan diri daripada membuang air kecil akan memberi kesan negatif kepada kesihatan. Perkara ini mempunyai kesan negatif yang berbeza mengikut jenis jantina dan usia seseorang itu.
“Kanak-kanak yang menahan membuang air kecil terlalu lama boleh menyebabkan masalah besar. Tidak kira lelaki mahupun perempuan, ia boleh meningkatkan jangkitan kepada saluran membuang air kecil.
Dalam kes yang lebih buruk, ia akan mengakibatkan inkontinens iaitu masalah hilang kawalan untuk menahan kencing” kata Sahabudin.
Masalah seperti ini mengakibatkan seseorang tidak dapat menahan diri daripada membuang air kecil dengan sendirinya terutamanya ketika batuk, bersin atau meneran.
Tanda tanda seseorang itu menghidapi masalah inkontines adalah apabila sering berasa tidak puas ketika membuang air kecil atau aliran yang lemah.
Masalah ini boleh terjadi kepada mereka yang mengalami kerosakan ginjal, uretra yang tersumbat ataupun kerosakan saraf akibat diabetes.
Bagi seseorang yang membuang air kecil sebanyak antara lima hingga enam kali sehari merupakan salah satu situasi yang normal. Namun bagi seseorang yang membuang air kecil melebihi lapan kali sehari perlu segera melakukan pemeriksaan kesihatan. Hal ini mungkin berpunca daripada masalah-masalah yang negatif.
“Kencing kurang daripada lapan kali sehari merupakan keadaan yang normal. Urin mereka akan berwarna jernih seperti air paip,” ujarnya
Jelas Sahabudin, dengan mengurangkan jumlah minum air masak dalam sehari untuk mengelakkan seseorang itu kerap ke tandas adalah satu perbuatan yang salah.
Seseorang tidak sepatutnya mengurangkan pengambilan air dalam sehari kerana air merupakan satu elemen yang penting dalam kehidupan manusia bagi mengelakkan dehidrasi.
“Jangan mengurangkan kuantiti air yang diminum. Sebaliknya pergilah berjumpa dengan doktor untuk mengatasi masalah itu.“Jika terdapat jangkitan, pesakit perlu dirawat terutamanya mereka yang mengalami pundi kencing terlalu aktif,” katanya lagi.
Antara tanda membuang air kecil terlalu aktif
- Sukar menahan daripada membuang air kecil
- Tidak puas semasa membuang air kecil
- Pergi ke tandas melebihi 10 kali sehari
- Berlaku kebocoran jika menahannya
Wanita muda merupakan kumpulan majoriti bagi menghidapi masalah ini. Seseorang yang menghadapi masalah ini akan membuang air kecil melebihi 10 kali sehari serta tidak dapat menahan daripada membuang air kecil.
Kaedah mengatasi masalah ini:
- Senaman otot untuk mengawal daripada membuang air kecil
- Latihan pundi kencing
- Penggunaan ubatan
Jadi, kepada anda yang suka menahan kencing, jangan ulangi perbuatan tersebut kerana banyak kesan buruk yang akan menimpa diri dalam diam. Bila rasa tak tahan, terus ke toilet berhampiran, jangan tunggu dan biarkan lama.