Memilih Pasangan Isteri Mengikut Sunnah
Setiap lelaki pastinya menginginkan seorang wanita yang baik untuk dijadikan isteri dan teman hidup. Berbudi pekerti yang tinggi, lemah lembut dan sopan santun adalah merupakan kriteria yang menjadi dambaan bagi setiap lelaki. Namun, tidak semua antara mereka dapat seperti apa yang diimpikan.
Semua orang berhak untuk membuat keputusan dalam memilih pasangan hidup mereka. Namun, pemilihan calon pasangan juga haruslah berdasarkan kriteria yang baik yang disyorkan dalam islam.
Di antara kriteria tersebut adalah:
Taat kepada Allah dan Rasul-Nya
Ini merupakan kriteria yang paling dituntutan ketika pemilihan pasangan. Maka ketika memilih pasangan hidup, minimal seharusnya terdapat satu syarat ini. Kerana Allah SWT berfirman,
“Sesungguhnya yang paling mulia di antara kalian adalah yang paling bertaqwa.”
(QS. Al Hujurat: 13)
Taqwa bererti menjaga diri dari azab Allah SWT dengan menjalankan perintah-Nya dan menjauhi segala kemungkaran. Oleh itu, seorang muslim haruslah berjuang untuk mendapatkan pasangan yang paling mulia di sisi Allah, iaitu seorang yang taat pada agama.
Keturunannya
Untuk mencari pasangan hidup, tidak salah jikalau ingin melihat kepada keturunannya. Perbezaan darjat dalam beberapa perkara akan menimbulkan permasalahan di kemudian hari. Maka carilah pasangan dari keturunan yang boleh menyenangi kamu dan bersesuaian dengan tuntutan agama serta dapat memberikan kamu keturunan yang baik-baik.
Kecantikan atau Ketampanan
Setiap individu pasti menekankan paras rupa terlebih dahulu ketika mencari pasangan hidup. Wanita pastinya mahukan lelaki yang tampan manakala lelaki mahukan wanita yang cantik. Namun Sabda Rasulullah SAW ada menyatakan:
“Janganlah kamu mengahwini wanita kerana ingin melihat kecantikannya, mungkin kecantikan itu akan membawa kerosakan terhadap diri sendiri dan janganlah mengharapkan harta kekayaannya kerana mungkin dengan harta itu mereka menjadi sombong tetapi kahwinilah mereka itu kerana agama dan sesungguhnya hamba perempuan yang hitam lebih baik asalkan ia beragama”.
(Riwayat Ibnu Majah dab Baihaqi).
Harta
Hasil kekayaan yang tidak berlandaskan agama nescaya akan membawa kepada bencana. Jika seseorang itu mencari pasangan hanya kerana melihat dari segi hartanya, nescaya Allah akan menghilangkan harta tersebut kerana harta akan lenyap pada bila-bila sahaja tanpa kita ketahui. Rasulullah SAW juga menyeru agar memilih pasangan hidup yang setara dalam agama dan statusnya.
Berikut merupakan beberapa kriteria yang perlu dipertimbangkan oleh seorang muslim yang hendak mencari pasangan hidup. Selain melakukan usaha dalam memilih pasangan, jangan lupa untuk sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar dianugerahkan pasangan yang baik.