OHHH…Bahasa Melayuku


Tahukah Tuan dan Puan, di bawah DLP pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains, Matematik, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Reka Bentuk, dan Teknologi akan dijalankan dalam bahasa Inggeris secara rintis di 300 buah Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan bermula pada Januari 2016 untuk Tahun 1, 4 dan Tingkatan 1.

Sangat menghairankan, kita terlalu taksub pada bahasa Inggeris sehingga kehilangan maruah. Kita tidak peduli lagi sama ada bahasa itu akan menghindarkan bangsa daripada pendidikan.

Lama sudah bahasa Melayu diperjuangkan, namun kedudukannya sentiasa tergugat. Ini suatu perjuangan minda.

"13 November 2015 ... Tukar bahasa tuan, dunia tuan juga berubah! Bahasa adalah teras kebudayaan. Kebudayaan Inggeris adalah berteraskan bahasa Inggeris; kebudayaan Jepun adalah berteraskan bahasa Jepun dan kebudayaan kebangsaan negara kita mestilah berteraskan bahasa kebangsaan negara ini, iaitu Bahasa Melayu. Bahasa bukan hanya sekadar memberikan identiti kepada bangsa dan budaya para penuturnya, iaitu sebagaimana yang biasanya disangka. Ia bukan sekadar memberikan jati diri sesuatu bangsa. Ia lebih jauh daripada itu. Bahasa adalah pembetung yang di dalamnya terkandung konsep-konsep, nilai-nilai dan idea-idea yang diwarisi oleh bangsanya. Bahasa juga menentukan pemikiran, dan oleh itu nasib serta survival sesuatu bangsa bergantung pada bahasanya. Bahasa adalah alat yang menyimpan perhedaharaan atau himpunan memori sesuatu bangsa. Oleh itu, bahasa adalah kenderaan yang memindahkan suatu kebudayaan dari satu generasi kepada generasi akan datang. Kata bijak pandai Melayu, bahasa kita kita mencerminkan bangsa dan budaya kita! Kita yang terdidik di barat lebih mengenali hakikat ini sebagai hipotesis Sapir dan Whorf. Sapir dan Whorf adalah dua orang tokoh sosiolinguistik yang mengemukakan pendapat mereka berkenaan pengaruh bahasa kepada cara bagaimana manusia memahami alam fizikalnya. Menurut mereka, manusia bukan hanya hidup dalam dunia konkrit semata-mata, dan manusia juga tidak hidup sendiri dalam dunia aktiviti sosial, iaitu yang sebagaimana biasanya disangka. Sebaliknya manusia tertakluk kepada belas kasihan bahasa yang menjadi media pengucapan ekspresif bangsanya. Menurut mereka, adalah satu ilusi apabila kita menyangka manusia menyesuaikan diri dengan realiti tanpa menggunakan bahasa, dan adalah tidak benar bahawa bahasa tidak lebih daripada alat komunikasi semata-mata yang dengan tidak secara sengaja kita gunakan untuk menyelesaikan masalah-masalah komunikasi antara manusia dan alat berfikir yang spesifik. Mereka mengatakan apa yang kita fahami sebagai "dunia sebenar" ini pada dasarnya adalah "realiti" yang kita bina secara tidak kita sedari berdasarkan bahasa yang kita gunakan. Kita melihat, mendengar dan mengalami realiti seperti halnya sekarang, semuanya kerana bahasa yang kita gunakan. Struktur bahasa kita telah awal-awal lagi menentukan bagaimana kita seharusnya memahami realiti. Secara ringkasnya, Sapir dan Whorf mengatakan, dengan menggunakan bahasa-bahasa yang berbeza masing-masing penuturnya mengalami realiti yang berbeza-beza. Ini kerana tiap-tiap bahasa, melalui perbendaharaan kata dan hukum-hukum nahunya telah menentukan bagaimana pengguna bahasa-bahasa itu seharusnya memahami dunianya. Oleh yang demikian, dua orang penutur bahasa yang berlainan akan menyaksikan alam yang satu ini sebagai dua manusia yang berlainan dan memahami alam secara yang berlainan pula. Berdasarkan hipotesis ini, apabila sesuatu bangsa menukar bahasanya, maka bangsa itu bukan hanya menukar alat komunikasinya, tetapi bangsa itu juga menukar persepsinya berkenaan dirinya dan persepsinya tentang alam kelilingnya, dan akibat daripada perubahan persepsi itu bangsa tersebut akan mengubah nilai-nilainya dan seterusnya mengubah perilakunya. .... Apabila pemimpin sebuah negara mengubah bahasa rasminya, seperti bahasa bagi menyampaikan pendidikan, mereka bukan hanya sekadar bersikap pragmatik, tetapi mereka merobah jati diri sebuah bangsa yang mungkin belum terduga pada fikirannya. Daripada makalah "Peranan Bahasa Dalam Pemikiran Minda Asli Demi Penerusan Kebudayaan Intelek Melayu" (Abdullah Hassan (Ph.D.) Profesor Komunikasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Dalam PERTEMUAN BUDAYAWAN SERANTAU BIMP-EAGA, di Hotel Promenade, Kota Kinabalu 11-14 September 2000."
"14 November 2015 Jangan bersedih! Ada banyak tamadun besar dalam dunia pada hari ini yang dibina dengan tidak menggunakan bahasa Inggeris. Ini adalah terjemahan Ungkapan Profesor di Raja Ungku Aziz pada tahun 1963, (ASAHIL) Bersedihlah kiranya bahasa ibunda tuan yang tidak baik!"
+119

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat