Coretan Tentang Silibus Sekolah di Malaysia


Struktur atau jenis pendidikan di Negara Malaysia terbagi menjadi beberapa jenis, antara lain sebagai berikut, pendidikan pra-sekolah, pendidikan rendah, pendidikan menengah, pendidikan pra-universiti dan pengajian tinggi. Walau bagaimanapun, struktur pendidikan di Malaysia telah berubah dan ada pihak yang berani untuk menyatakan pendapat mereka.

Ikuti penulisan yang dikongsikan oleh seorang pensyarah fisiologi perubatan, di laman sosial Facebook miliknya.

Sejak akhir – akhir ini timbul perbincangan mengenai hala tuju pendidikan anak-anak kita. Sekali- kali saya tidak bermaksud untuk mengkritik, kerana saya mempunyai ramai sahabat – sahabat dari kalangan guru, dan saya amat menyanjungi tugasan mereka dalam mendidik anak – anak kita, sebagaimana saya amat menyanjungi guru – guru saya yang mengajar berbagai konsep dari mula membaca, mengira sehingga ke peringkat lebih tinggi. Cuma saya berharap diberi peluang untuk memberi sedikit maklum balas tentang silibus anak -anak, dari kacamata seorang ibu dan ahli masyarakat.

 

Soalan Tingkatan 1 tentang Kitaran Haid

 

Saya melihat baru – baru ini anak saya di tingkaran 1 telahpun didedahkan dengan sistem reproduksi (rujuk gambar). Dia tidak dapat menjawab dengan baik. Saya masih ingat, 2 atau 3 tahun yang lepas si abang belajar topik ini ketika di tingkatan 3, dan ada soalan percubaan PT3 telahpun bertanyakan pelajar tentang konsep perancang keluarga menggunakan senario pesakit yang mempunyai sista ovari (ovarian cyst).

Saya melihat buku sains tingkatan 1 anak saya, dan penerangan tentang sistem reproduksi amat ringkas, menyebabkan sukar bagi anak seusia 13 tahun memahami apa yang berlaku dalam kitaran haid seorang wanita.

Sebagai pensyarah fisiologi perubatan, saya memang faham tentang topik ini. Namun, para pelajar perubatan yang saya ajar, memerlukan lebih dari sekadar kuliah. Mereka ada sesi tutorial dan diperkayakan dengan sesi diseksi/bedah mayat bagi melihat organ reproduksi dan diambil pula tisu rahim untuk dilihat di bawah mikroskop. Baru mereka dapat memahami dan menggambarkan kitaran haid secara penuh dan kaitannya dengan hormon.

Saya faham tanggung jawab ibubapa harus turut membantu anak-anak dalam pencapaian akademik mereka. Maka bagi anak saya yang tingkatan 1, saya dapat menerangkan secara ringkas dimana kesalahan beliau, walaupun melihat matanya yang terkebil2, dia belum memahami lagi apa yang sebenarnya membentuk dinding rahim, apa itu proses ovulasi dll.

Saya terfikirkan ibu yang bukan dari latar belakang sains atau perubatan, keluarga yang tiada akses internet, bagaimana mereka dapat membantu anak – anak mereka?

Sewaktu soalan percubaan PT3 mengenai perancang keluarga keluar 2-3 tahun dulu, sahabat saya yang merupakan doktor pakar perbidanan dan sakit puan, menyatakan hanya anak beliau yang mendapat markah penuh. Sahabat saya ini mengendalikan klinik kesuburan dan perancang keluarga.

Soalan peperiksaan penggal sains bagi si adik ketika beliau didalam darjah empat adalah tentang “perubahan kadar pernafasan, ketika inhalasi (menyedut udara)”. Saya memang terkejut.

Pertamanya soalan itu salah, kerana menarik nafas dalam dan kadar pernafasan adalah variabel/pembolehubah yang sama. Yang sebetulnya ialah kadar denyut nadi yang berubah apabila seseorang menarik nafas dalam. Dan konsep ini amat sukar difahami hatta oleh pelajar perubatan sekalipun kerana ia melibatkan pemahaman tentang banyak lagi sistem sirkulasi (venous return, end diastolic volume etc) dan pernafasan (intrathoracic, intrapleural, transpulmonary pressure), sehingga mereka memerlukan 3 jam praktikal bagi menguji dan memahami konsep perubahan ini.

Bagi budak berusia 10 tahun, bagaimana menerangkan konsep ini selain menghafal sahajalah? Soalan adalah berbentuk pilihan objektif.

Lantas saya titipkan nota pada guru beliau menerangkan bagaimana soalan itu salah. Sekembalinya anak saya dari sekolah, saya tanyakan tentang nota saya, katanya hanya jawapan beliau dibetulkan. Saya rasa saya faham dilema guru anak saya dan saya tidak ingin “pressure” mereka. Saya berharap teguran saya sampai ke pihak panitia.

Saya juga masih belajar tentang Kemahiran Berfikiran Aras Tinggi (KBAT) atau Higher Order Thinking Skill (HOTS), dan meraikan konsep ini kerana kita tidak mahu rote-learning atau pelajar yang hanya memuntahkan hafalan pelajaran mereka. Namun saya berpendapat KBAT bukan bermaksud konten/kandungan pelajaran yang lebih tinggi dari usia pelajar, tetapi bagaimana pelajar berupaya mengaplikasikan apa yang mereka belajar dengan masalah semasa, sesuai dengan usia mereka.

Apabila konten yang diberikan lebih tinggi, maka teepaksa ibubapa mendapatkan bantuan tambahan seperti tuisyen. Kerana itu ramai yang masih memerlukan kaedah latihtubi seperti diamalkan KUMON bagi subjek seperti matematik dan bahasa. Bagi keluarga yang mampu, bolehlah. Bagaimana dengan mereka dari keluarga yang berpendapatan rendah?

Di Kulliyyah Perubatan UIA dahulu, terdapat posting kesihatan masyarakat di Ulu Tembeling. Saya pernah, sewaktu menunggu bot penambang dari Kuala Tahan, berbual dengan seorang ibu dari Kampung Bantal. Beliau memindahkan anaknya ke sekolah kebangsaan di Kuala Tahan, sedangkan ada sekolah Ulu Tembeling di Kampung Bantal tersebut. Anaknya yang darjah 1, terpaksa duduk diasrama kerana jarak Kg Bantal ke Kuala Tahan melalui bot adalah 3 jam. Tak rindukah pada anak, tanya saya, kecil2 lagi duduk di asrama. Sedih dan rindu katanya, tapi sekolah di Kg Bantal ketika itu, kekurangan guru. Di Kuala Tahan, guru – guru mencukupi. Saya sendiri tak pandai nak ajar anak saya doktor, katanya.

Begitulah pengorbanan ibu ayah bagi membantu anak2 mereka mendapat yang terbaik. Justeru itu, apabila silibus kita direka dengan suatu bentuk yang memerlukan ibubapa turut sedikit sebanyak harus mempunyai latar belakang sains, matematik, english, physic, chemistry agar dapat membantu anak2, atau terpaksa mengeluarkan wang tambahan bagi menghantar anak2 ke kelas tuisyen, saya sentiasa terfikir ibubapa yang kurang berkemampuan, yang bertungkus lumus mencari sesuap nasi, pelajar-pelajar yang “average” yang asas mereka masih belum mantap. Mungkinkah minat mereka terkubur kerana sukarnya mengikuti silibus yang ‘skew/ condong kepada pelajar2 bijak?

Saya berharap pihak kementerian pelajaran dapat mengambil coretan saya ini sebagai maklumbalas yang positif dari seorang ibu yang melihat perkembangan dan respon berbeza anak – anaknya melalui perubahan silibus, dan sedikit pedagogi pendidikan sains/biologi perubatan.

Semoga kita semua dapat berbincang dengan berhemah dan mencari penyelesaian terbaik insya Allah demi generasi anak2 kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat