Membantu Isteri Di Dapur Itu Satu Sunnah.
Dalam kehidupan seharian kita, banyak sunnah Rasulullah S.A.W yang boleh kita ikuti dan jadikan satu rutin harian. Namun kita sering hanya mengamalkan sunnah untuk beribadat sahaja dalam kehidupan seharian kita.
Adakah membantu isteri di dapur juga di anggap satu sunnah?
Bila menziarahi seorang kawan, saya menunggu agak lama sebelum dia membuka pintu rumah. Bila ia tersembul di muka pintu, lantas memohon maaf. “Maaflah, lambat buka pintu, tengah tolong besiang ikan di dapur.”
Apa yang dibuat oleh sahabat ini adalah satu amalan yabg Baginda Rasulullah S.A.W lakukan iaitu membantu isterinya dirumah. Aisyah RA berkata,
“Rasulullah SAW dalam kesibukan membantu isterinya dan jika tiba waktu solat maka beliau pun pergi solat” (HR Bukhari).
Janganlah menyempitkan sunnah nabi dengan perkara yang berkait ibadat sahaja sebagai sunnah. Membantu isteri dalam kerja rumah baik memasak, mengemas rumah, membersih dan sebagainya adalah juga satu sunnah, maka lakukanlah dengan niat mengikut sunnah nabi. Janganlah menolak permintaan isteri untuk lakukan sesuatu, jangan jadikan isteri sebagai bibik yang diperintah itu ini, tetapi bantulah walaupun perkara sekecil melipat pakaian, mengupas bawang, meletak pakaian dalam mesin basuh atau menjemur pakaian, mencuci pinggan nasi yang digunakan sendiri.
Dalam hadis lainnya, ‘Aisyah RA menceritakan
Urwah berkata kepada Aisyah, “Wahai Ummul Mukminin, apakah yang dikerjakan oleh Rasulullah SAW jika ia bersamamu (di rumahmu)?”, Aisyah berkata, “Ia melakukan (seperti) apa yang dilakukan oleh seorang dari kamu jika sedang membantu isterinya, ia memperbaiki sandalnya, menjahit bajunya dan mengangkat air di ember” (HR Ibnu Hibban).
Membantu isteri adalah bentuk muamalah yang baik kepada isteri dan diperintahkan dalam Al-Quran.
Rasulullah SAW bersabda :
“Sebaik-baik kalian adalah yang terbaik akhlaknya terhadap isteri-isterinya” (HR At-Tarmidzi As-Shahihah).
Maka dalam hidup Islam khususnya melaksanakan sunnah nabi, jangan terikat diri kepada ibadat khusus sahaja, tetapi lihatlah juga sunnah yang nabi buat dalam hidup harian supaya kita sentiasa berada dilandasan sunnah. Berkongsilah hidup dengan isteri, ketika isteri menunaikan tanggungjawab kepada suami dengan kerja rumah, suami sepatutnya berkongsi pula melaksanakan sunnah dengan membantu isteri. Wallahu’alam.
Semoga catatan ini dapat digunakan sebagai jalan mengajak para suami untuk meringankan sedikit kerja rumah.