Jangkitan Virus Influenza
VIRUS INFLUENZA
Masih ramai masyarakat kita salahertikan virus Influenza atau flu sebagai selesema biasa. Bahkan ramai yang masih keliru antara kedua-duanya. Hakikatnya flu adalah jauh lebih buruk dan berbahaya malah dapat menimbulkan pelbagai komplikasi berbanding selesema biasa serta boleh menyebabkan kematian. Mereka yang berisiko tinggi mendapat komplikasi akibat jangkitan virus influenza. Mereka dinasihatkan mengambil suntikan vaksin yang disediakan di kebanyakan fasiliti kesihatan.
Virus ini mudah berjangkit. Tidak seperti di negara beriklim sederhana, di negara tropika seperti Malaysia, musim puncak bagi influenza berlaku dari Oktober hingga Januari dan April hingga Jun. Kebiasaannya, jenis influenza H1N1 dan H3N2 menjangkiti manusia dan dikenali sebagai influenza bermusim.
Selesema biasa lazimnya menyebabkan hidung berhingus, bersin dan hidung tersumbat. Ia adalah jangkitan virus pada saluran pernafasan atas yang lazimnya tidak berbahaya dan berlaku pada bila-bila masa sepanjang tahun. Untuk influenza ia juga mempunyai simpton yang sama dan menjejaskan saluran pernafasan atas. Tetapi ia terjadi dengan cepat dan lebih teruk.
Kanak-kanak yang dijangkiti boleh memindahkan virus influenza apabila batuk atau bersin, dan melalui hidung berhingus yang mengandungi titisan virus influenza. Orang lain boleh dijangkiti influenza apabila menyedut titisan terbabit atau titisan termasuk ke dalam hidung atau mulut mereka selepas tersentuh permukaan yang tercemar.
Influenza Terbahagi Kepada Banyak Jenis dan Dikategorikan Sebagai Influenza A, B dan C :
- Jenis A: Boleh menjangkiti manusia dan haiwan, epidemik sangat teruk dan amat berbahaya
- Jenis A (H1N1): Boleh menjangkiti manusia dan haiwan. Kadangkala pandemik (seperti pada 2009 dan 2013) dan amat berbahaya
- Jenis B: Boleh menjangkiti manusia. Sering berlaku, kurang teruk, ada kalanya berbahaya, tidak pandemik
- Jenis C: Boleh menjangkiti manusia. Ringan, jarang berlaku, bukan epidemik
Siapakah berisiko tinggi mendapat komplikasi akibat jangkitan virus influenza?
- Kanak-kanak berumur bawah 5 thun
- wanita hamil
- Warga tua-65 tahun ke atas
- Pesakit kronik (contoh: kencing manis, darah tinggi, lelah & lain-lain)
- Individu yang mempunyai daya ketahanan badan yang rendah samada akibat penyakit kronik yang dihidapi (seperti kanser, HIV dan lain-lain) atau akibat ubatan yang diambil (seperti kemoterapi, steroid dan lain-lain).
- Individu obesiti
Simptom Influenza
Kebanyakan mereka yang menghidapi influenza berasa letih dan mengalami demam, sakit kepala, batuk tidak berkahak, berhingus atau hidung tersumbat, cirit-birit atau muntah-muntah dan sakit otot. Batuk boleh berlarutan sehingga dua minggu atau lebih. Gejala ini juga boleh membawa kepada kemurungan. Komplikasi yang disebabkan influenza antara lain termasuk pneumonia (jangkitan paru-paru), sinus dan telinga. Jangkitan ini juga boleh memburukkan penyakit kronik sedia ada seperti asma, kegagalan jantung atau kencing manis. Komplikasi ini juga boleh membawa maut dan menyebabkan pesakit dimasukkan ke hospital untuk rawatan.
Langkah Pencegahan
- Dapatkan vaksin influenza yang ditawarkan oleh kebanyakkan fasiliti kesihatan swasta.
- Tutup mulut dan hidung dengan tisu/sapu tangan apabila batuk atau bersin
- Guna penutup mulut dan hidung
- Kerap cuci tangan
Jangkitan influenza perlu diawasi kerana membawa banyak kesan buruk namun masih ada daripada kita yang bersikap sambil lewa terhadap penyakit itu. Imunisasi adalah prosedur terbaik mencegah jangkitan influenza dan pakar menyarankan golongan seperti warga tua, kanak-kanak, pesakit asma, pesakit jantung, penghidap kanser dan bayi pramatang diberikan suntikan influenza. Oleh kerana virus influnza ini mudah berubah (mutasi), imunisasi influenza ini berubah setiap tahun dan orang ramai dinasihatkan mengambilnya secara tahunan.
Baru – baru telah berlaku banyak peningkatan kes jangkitan Influenza serta risiko komplikasinya yang serius terutamanya dalam kalangan kanak-kanak. Jadi ibu bapa serta masyarakat haruslah berhati-hati dengan gejala virus selesema Influenza serta mendapat pemeriksaan serta rawatan awal.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut dan terkini berkaitan virus atau gejala ini anda boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia https://www.infosihat.gov.my