Masalah Kesihatan Mental Pembunuh Dalam Diam
Bila disoal tentang masalah kesihatan mental ramai yang beranggapan ia hanya merujuk kepada gila atau tidak waras, hakikatnya depresi/tertekan, kemurungan dan gangguan emosi juga adalah antara masalah kesihatan mental yang boleh memudaratkan.
Pakar Psikologi, Dr Adrian Lim, berkata masalah kesihatan mental diibaratkan sebagai ‘pembunuh dalam diam’ dan perlu diberi rawatan segera terutama dalam kalangan anak muda.
Kekangan kewangan, berdepan dengan masalah keluarga dan kerjaya adalah antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan masalah kesihatan mental, masalah ini tidak boleh dipandang remeh dan perlu ditangani secara segera, memandangkan anak muda adalah generasi pelapis negara.
“Rata-rata pesakit yang mendapatkan nasihat saya, baharu sahaja memulakan kerjaya tetapi apabila mereka gagal untuk mencapai matlamat, persepsi keluarga dan masyarakat terhadap mereka mula berubah sehingga menyebabkan mereka rasa tertekan dan tidak berguna,” katanya.
Tambahnya keadaan ini berbeza dengan apa yang berlaku lebih sedekad lalu, yang mana keluarga lebih memahami anak-anak dan mereka tidak terlalu memberi tekanan kepada anak muda, meskipun mereka gagal dalam kerjaya.
Dr Lim berkata, anak muda kini bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan tekanan keluarga, tetapi faktor ekonomi juga menyumbang kepada peningkatan tahap keseriusan tekanan mental mereka.
“Ramai yang beranggapan anak muda yang baharu melangkah ke alam pekerjaan tidak mempunyai kekangan kewangan, tetapi secara tidak sedar mereka sebenarnya mempunyai bebanan kewangan sebaik sahaja tamat pengajian kerana pinjaman yang diambil untuk membiayai pendidikan mereka.
“Apabila mereka mula melangkah ke alam pekerjaan, dengan gaji yang diterima, banyak yang perlu diambil kira termasuk kelangsungan hidup terutamanya di kawasan bandar yang mana kos sara hidup adalah tinggi,” katanya.
Beliau berkata, masalah ini harus ditangani segera dan pelbagai pihak terutama ibu bapa dan rakan sebaya perlu memainkan peranan dengan mewujudkan suasana persekitaran yang lebih positif dan memahami.
Individu yang berhadapan dengan tekanan boleh berjumpa dengan pakar psikologi atau psikiatri untuk mendapatkan khidmat nasihat, katanya.