Ketahui Kelebihan Dan Proses Ganti Gigi Anda Yang Hilang Dengan Teknologi Implan
Menurut Bahagian Kesihatan Mulut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kehilangan gigi adalah masalah besar dalam kalangan orang dewasa dan orang tua dengan hanya 76.9 peratus orang dewasa berusia 35 ke 44 tahun dan 23.9 peratus orang dewasa berusia 60 ke 70 tahun memiliki sekurang-kurangnya 20 gigi berfungsi.
Keadaan ini membimbangkan kerana kehilangan sebahagian besar gigi tidak sepatutnya dialami pada usia 35 ke 44 tahun ketika purata hidup rata-rata penduduk Malaysia lebih 70 tahun.
Kajian lain oleh KKM menunjukkan tujuh peratus orang dewasa di Malaysia kehilangan semua gigi kekal dengan sekitar 30 peratus daripadanya didapati memiliki masalah kesihatan oral. Kajian itu juga menunjukkan gigi mempengaruhi kualiti hidup mereka seperti kepercayaan diri, masalah dengan interaksi sosial dan rasa sakit ketika makan.
Dahulu kala, kehilangan gigi boleh menjadi pengalaman traumatik kerana ia tidak boleh dikembalikan dan hilang selama-lamanya.
Kini, teknologi membawa perubahan besar dalam bidang pergigian estetika apabila kehilangan gigi bukan lagi igauan ngeri dengan kaedah implan untuk gigi yang sihat dan semula jadi.
Gigi kekal amat berharga dan tiada yang benar-benar dapat menggantikannya. Kehilangan gigi bagaimanapun, kadangkala tidak dapat dielakkan.
Ketua Pusat Kesihatan Oral IMU Healthcare Dr Hussein Al-Wakeel berkata, penyakit gusi, kerosakan gigi, trauma akibat kecelakaan atau kecederaan sukan, kehilangan gigi akibat genetik dan faktor risiko lain seperti merokok serta diet buruk adalah antara penyebab utama kehilangan gigi.
Katanya, ada banyak cara kehilangan gigi boleh mempengaruhi kehidupan seseorang. Jika gigi yang hilang terletak di zon senyuman, ruang kosong itu boleh terlihat jelas setiap kali individu itu tersenyum.
Selain alasan estetika, ruang kosong antara gigi boleh menyebabkan gigi yang berdekatan tergelincir atau bergerak. Lebih penting, kehilangan gigi akan menyebabkan tulang yang mengelilingi dan menyokong gigi lain kehilangan lebar dan tinggi, sementara tisu gusi di sekitarnya akan berkurangan.
Selain kehilangan sokongan yang sepatutnya, masalah lain adalah kesan terhadap kemampuan mengunyah dan bercakap.
Menurut Dr Hussein, meskipun jambatan dan gigi palsu adalah pilihan pengganti yang ada untuk gigi hilang, implan gigi membawa manfaat jauh lebih baik.
Implan gigi
Secara umum, terdapat dua bahagian gigi: mahkota (bahagian yang dilihat di dalam mulut) dan akar (bahagian yang dilindungi oleh tulang). Implan gigi adalah penggantian tiruan untuk gigi yang hilang bersama-sama akarnya.
Akar tiruan bersatu dalam tulang rahang dan mahkota, biasanya diperbuat daripada logam atau porselin. Dari segi estetika, implan gigi memberikan kestabilan dan kelihatan seperti gigi asli.
Jika terdapat beberapa gigi yang hilang pada masa sama, kebanyakan pesakit perlu membuat keputusan antara:
• Gigi palsu biasa atau lebih dikenal dengan gigi tiruan. Ia adalah pengganti yang boleh ditanggal untuk gigi yang hilang dan tisu sekitarnya serta akan melekat pada gusi.
• Jambatan gigi. Prostesis ini digunakan bagi menggantikan satu atau lebih gigi yang hilang. Jambatan gigi hanya diletakkan pada permukaan gusi dan bergantung kepada gigi tupang (gigi sebelah). Tiada akar dimasukkan ke dalam gusi, maka tiada proses pembedahan.
• Implan gigi adalah gigi tiruan yang bersatu dengan tulang rahang.
• Gigi tiruan yang disokong implan atau gigi tiruan yang ditanam implan adalah gigi palsu yang melekat dengan sokongan implan.
Kelebihan implan gigi
• Kedudukannya tetap di rahang – tidak perlu dikeluarkan untuk membersihkannya kerana sudah melekat pada tulang rahang.
• Merendahkan kadar kehilangan tulang – mencegah kemerosotan dan ketinggian tulang (kehilangan tulang) kerana ia bertindak sebagai bahan pengawet untuk tisu lembut dan tulang.
• Mencegah kegelinciran atau pergerakan gigi bersebelahan
• Tiada ruang kosong di antara gigi, melindungi kesihatan gigi bersebelahan.
• Kelihatan baik secara estetika – kekal di tempatnya membolehkan seseorang mudah tersenyum dan ketawa.
• Keupayaan makan dengan baik – keupayaan mengunyah meningkatkan kesihatan pemakanan umum
• Tahan lama dan selesa – dengan penjagaan betul dan lawatan tetap ke doktor gigi, implan gigi boleh bertahan seumur hidup.
Buat pilihan
Menurut Dr Hussein implan gigi adalah satu bentuk rawatan inovatif yang membantu memulihkan fungsi normal gigi kita sambil menyediakan keselesaan.
Katanya, mereka bukan saja kelihatan lebih menarik tetapi juga membantu mengekalkan kebersihan dan penjagaan mulut yang baik.
“Jika ini adalah rawatan yang sesuai untuk keadaan pesakit, doktor gigi biasanya akan mencadangkan supaya ia diberikan pertimbangan sewajarnya. Pada mulanya, gigi palsu dan jambatan kelihatan lebih murah kerana ia boleh dibuat dengan pantas dan tidak memerlukan pembedahan.
“Bagaimanapun, gigi palsu boleh merosakkan gigi bersebelahan (memotongnya), memerlukan beberapa lawatan pergigian dan penggantian yang dalam jangka masa panjang, mungkin kosnya lebih daripada implan gigi.
“Selain itu, gigi palsu dan jambatan membolehkan tulang rahang terurai kerana akar gigi masih hilang. Jambatan boleh menjadi sukar dibersihkan kerana perkakasan luarannya selain membuatkan pesakit tidak selesa.
“Begitu juga gigi palsu kerana ia mempunyai kecenderungan untuk tergelincir atau berketak apabila pesakit membuka mulut. Akhir sekali, tidak seperti implan gigi, kedua-dua biasanya tidak bertahan seumur hidup. Masalah ini tidak berlaku dengan implan gigi,” katanya.
Adakah implan gigi untuk semua orang?
Dr Hussein berkata, implan gigi mungkin tidak sesuai untuk semua orang. Misalnya, osteoporosis, keadaan umum pada pesakit lebih tua, dapat mengurangi kepadatan tulang rahang.
Bagaimanapun ,katanya, prosedur seperti cantuman tulang menunjukkan kejayaan. Pesakit kencing manis yang tidak terkawal, juga biasa di kalangan warga tua tidak sesuai bagi kaedah ini kerana ia akan menjejaskan proses penyembuhan.
“Mereka yang mempunyai penyakit gusi yang teruk, juga biasa dialami orang tua, mungkin kurang sesuai tetapi mempunyai potensi untuk dirawat sebelum implan gigi diletakkan di dalam tulang rahang untuk mengurangkan risiko jangkitan.
“Contoh lain adalah bagaimana merokok mempengaruhi umum serta kesihatan oral individu. Tembakau mengurangkan hasil keberjayaan terhadap hampir semua prosedur terapeutik dilakukan dalam rongga mulut.
“Kadar kegagalan implan adalah lebih tinggi di kalangan perokok, dan penyelenggaraan kebersihan mulut sekitar implan dan risiko peri-implantitis terjejas teruk akibat merokok. Nasib baik, pelbagai protokol disyorkan untuk meningkatkan survival gigi di kalangan perokok,” katanya.
Penjagaan implan gigi
Sebaik saja prosedur implan, satu set arahan khusus akan diberikan kepada pesakit untuk memastikan implan bertahan lama.
Secara umumnya, pesakit perlu memberus dua kali sehari, flos sekurang-kurangnya sekali sehari, mengamalkan tabiat kebersihan mulut yang baik dan mengelakkan tabiat yang boleh merosakkan gigi.
Lebih penting, berjumpa dengan doktor gigi dengan kerap untuk pembersihan dan pemeriksaan. Mengikut arahan membolehkan implan bertahan seumur hidup.