Betul ke Susu Farmasi Ni Boleh Kuruskan Badan ? Ini Penjelasan Dietitian Tentang Fungsi Sebenar ‘Susu Kurus’ Viral Untuk Badan
Beberapa hari ini, telah berlegar informasi mengenai ‘susu kurus’ terbaik yang disarankan oleh doktor. Mula tular di Twitter, susu ini dikatakan boleh membuatkan seseorang kenyang sampai ke petang dan dapat atasi masalah sembelit. Kelebihan yang ditawarkan menjadikan ia baik untuk diminum bagi yang ingin menurunkan berat badan.
Lebih dahsyat lagi, susu ini juga katanya disarankan oleh doktor dan farmasi. Hakikatnya, ia bukanlah susu terbaik seperti yang digembar-gemburkan.
Bagi menjelaskan perkara sebenar ini kepada warganet, seorang pakar diet telah tampil di Facebook bagi memaklumkan fungsi serta fakta nutrisi ‘susu kurus’ ini.
Apa Kandungan ‘Susu Kurus’ Ini ?
Mohd Khairul Azwan telah berkongsi di Facebook yang susu ini sebenarnya dikhaskan untuk pesakit kencing manis. Ada juga susu jenama lain yang memberikan fungsi dan khasiat yang sama seperti susu ini.
Antara kandungan penting dalam susu ini adalah protein dan tenaga yang tinggi. Ia baik untuk pesakit diabetes dalam membantu mengawal kandungan gula dalam darah.
Ini Bukan Susu Kurus !
Menurut Khairul, susu ini tidak hanya digunakan untuk turunkan badan sahaja, malah hospital turut menggunakannya untuk naikkan berat badan pesakit. Susu ini juga dipanggil oral nutritional supplement yang boleh membekalkan nutrisi lengkap kepada pesakit.
Boleh Dijadikan Meal Replacement
Susu jenis ini boleh diambil sebagai meal replacement untuk menggantikan hidangan sarapan, makan tengah hari atau makan malam.
Ia juga boleh digunakan sebagai snek jika diambil dalam separuh jumlahnya.
Tidak Sesuai untuk Pesakit Buah Pinggang
Susus ini biasanya diambil atas saranan doktor sahaja dan tidak boleh diambil sesuka hati. Lebih-lebih lagi bagi pesakit buah pinggang, susu ini mengandungi protein tinggi yang dikhuatiri boleh memburukkan lagi masalah buah pinggang.
Boleh Diambil Ketika Sahur
Seperti yang berlegar di Twitter, Khairul juga bersetuju yang susu ini boleh diambil ketika sahur. Ia dapat membantu badan melepaskan tenaga perlahan-lahan dan memberikan kawalan gula yang lebih baik.
Ia juga mengandungi khasiat whey protein dan casein yang bermanfaat untuk kesihatan.
Susu Apa Yang Sesuai Untuk Orang Tidak Berpenyakit ?
Memandangkan susu ini dikhususkan untuk pesakit diabetes, sebenarnya ia tidak menjadi keperluan bagi individu lain. Untuk golongan yang bebas dari diabetes, Khairul mensarankan jenama susu lain seperti Ensure, Nutren Optimum, Enercal dan Optifast.
Seorang lagi pakar diet , Nur Hafizah M Sobri turut kongsikan pendapatnya tentang susu ini di Facebook. Menurutnya, ia bukanlah susu kurus seperti yang disangka netizen.
Fungsi sebenar susu ini adalah untuk menggantikan menu lengkap yang tak sempat diambil oleh pesakit diabetes serta pesakit yang tidak mampu mengambil makanan dengan baik (Contoh : kurang selera makan atau mengikut tiub).
Secawan susu ini nilai kalorinya adalah antara 250 hingga 350 kcal. Kandungan kalorinya nyata lebih rendah berbanding menu biasa yang bernilai 500 kcal ke atas.
Harga ‘Susu Kurus’ Ini Bukannya Murah !
Namun, tiada gunanya mengambil susu ini tanpa menjaga pemakanan dan senaman. Memang sangat rugi jika tidak jaga pemakanan ketika mengambil susu ini kerana harganya yang sangat mahal !
Satu tin susu ini harganya melebihi RM 100 untuk 7 hingga 8 kali minum. Jika sebulan, ia boleh menelan kos sehingga RM 400 hingga RM 500 !
Oleh sebab itulah doktor akan menyarankan susu ini kepada pesakit tertentu sahaja. Jika tiada keperluan, individu yang tiada penyakit lebih digalakkan untuk menjaga pemakanan dan amalkan gaya hidup aktif.
Kesimpulannya anda tak perlu susah-susah beli susu mahal untuk kuruskan badan. Cukup dengan menjaga pemakanan seimbang serta banyakkan bersenam, berat badan impian pasti dapat dicapai.
Jika anda berminat untuk amalkan susu ini, anda perlulah dapatkan nasihat daripada doktor terlebih dahulu bagi mengenalpasti kesesuaiannya dengan tahap kesihatan anda.