Kepentingan Hari Malaysia – Daily Rakyat

Kepentingan Hari Malaysia


Kepentingan Hari Malaysia

Hari Malaysia

Hari Malaysia yang diraikan pada 16 September tidak kurang pentingnya dengan sambutan Hari Kemerdekaan yang perlu dijiwai oleh seluruh rakyat. Sejarah penubuhan Malaysia penuh konflik malah suatu ketika dulu pernah menggugat idea penyatuannya yang dicetuskan oleh Bapa Kemerdekaan Malaysia.Beliau yang juga Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Seluruh rakyat khususnya Sabah dan Sarawak sudah pasti menanti dengan penuh penghargaan. Kerana sambutan kali ini bukan sekadar memperingati detik sejarah penubuhan Malaysia semata-mata.

1. Meraikan Perpaduan Dalam Pelbagaian

Kita perlu mengajar atau menggalakkan rakyat untuk memahami bahawa Hari Malaysia adalah hari perpaduan bagi negara dan ia tidak sama dengan hari kemerdekaan. Rakyat Sabah dan Sarawak perlu menerima hakikat bahawa penggabungan bersama dengan Malaysia adalah keputusan paling bijak yang dibuat oleh pemimpin mereka pada masa itu. Keputusan itu jelas digubal dalam Perlembagaan Malaysia. Oleh itu, mereka perlu menuntut atau mempertahankan sebarang hak khusus untuk mereka seperti dalam perlembagaan.

2. Jahil Sejarah ‘Penubuhan Malaysia’

Kita tidak seharusnya mengambil mudah sejarah dan masa lampau kita kerana sejarahlah yang menentukan kedudukan kita pada hari ini. Kejahilan yang wujud ini adalah sangat menyedihkan. Kita harus ingat bahawa seandainya dimanipulasi dan dieksploitasi oleh golongan tertentu akan menjadi cukup berbahaya dan mungkin akan mengancam kestabilan dan ke­sejahteraan kita

3. Cermin Semangat Patriotisme Dan Perpaduan

Penglibatan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik dalam dua sam­butan iaitu Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia sangat mencerminkan persefahaman, perpaduan dan semangat patriotisme yang tinggi. Kejayaan yang dicapai menunjukkan rakyat Malaysia tidak kira di mana mereka berada mempunyai semangat patriotisme yang tinggi. Ini terbukti apabila begitu ramai pengunjung sanggup datang dari jauh untuk turut sama menyaksikan keunikan acara yang telah disediakan bagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

4. Nasionalisme Baru Untuk Kemakmuran Malaysia

Mengembalikan semangat nasionalisme merupakan satu “penawar” kepada permasalahan ketegangan kaum dan agama di Malaysia. Sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, kita perlu mengambil peluang ini untuk merencana pemikiran nasionalisme dengan “nafas baru”. Nasionalisme lama ini perlu mengalami fasa perubahan, daripada semangat perjuangan kemerdekaan kepada semangat untuk meningkatkan kemakmuran negara dalam zaman globalisasi dan ekonomi yang begitu mencabar.

5. Hari Malaysia Semai Semangat Persekutuan

Hari Malaysia begitu signifikan kepada 31 juta rakyat Malaysia yang berbilang etnik, agama dan budaya tidak kira di Semenanjung, Sabah atau Sarawak. Inilah hari pemimpin dan rakyat di ketiga-tiga wilayah bersetuju untuk hidup bersama sebagai sebuah negara dan bangsa.

Hari Malaysia memberi makna besar kepada rakyat kerana ia adalah detik penting yang menyatukan rakyat di ketiga-tiga wilayah terbabit. Penegasan kepentingan tarikh kelahiran Malaysia dan kemerdekaan Sarawak dan Sabah dalam Malaysia amat perlu di sebalik pelbagai kontroversi dan sentimen.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Terkini @ Daily Rakyat