11 Tips Urus Kedai Makan Atau Restoran Khas Daripada CEO D’Apple
D’Apple merupakan sebuah restoran & kafe yang telah diasaskan oleh Abd Hakim bin Awang dan Nur’Aine binti Mohamed Zin dan mula beroperasi sejak tahun 2010.
Namun pada tahun 2012, disebabkan oleh sokongan dan permintaan yang tinggi dari pelanggan, D’Apple melebarkan bidang perniagaannya kepada pengeluaran produk sejuk beku berasaskan ‘western food’ dan sos.
Antara produk yang dikeluarkan adalah seperti Frozen Chicken Chop, Lamb Chop, Sos Lada Hitam (khas untuk western food) dan Pes Perapan Berempah. Nah ini adalah Tips Urus Kedai Makan Atau Restoran Khas Daripada CEO D’Apple berdasarkan pengalamannya sendiri.
11 Tips Urus Kedai Makan Atau Restoran Khas Daripada CEO D’Apple:
1. Kita tak boleh buka restoran oleh kerana sebab kita pandai masak saja. Kita juga kena tahu uruskan restoran. Uruskan pekerja, uruskan pelanggan, uruskan bisnes.
Seeloknya pergi berkuli / bekerja dulu di restoran sebelum buka sendiri. Dapatkan ‘view’ sebenar operasi sesebuah restoran. Uruskan pekerja restoran tak sama dengan uruskan pekerja yang buat kerja-kerja pejabat daripada 8 pagi – 5 ptg.
2. Kita tak boleh buka restoran hanya kerana semata-mata sebab kita mempunyai modal. Kita juga kena tahu selok belok restoran. Ada yang kata, kita tak perlu tahu pasal restoran / memasak jika kita nak buka restoran.
Saya tak pasti kenyataan ni boleh pakai ke tidak. Boleh pakai jika kita adalah seorang yang mempunyai ilmu kerjasama yang tinggi, yang punya pengaruh yang besar terhadap ‘partner’ atau pekerja, kita adalah seorang yang sudah dipercayai, yang dilihat sudah sangat berpengalaman supaya kita mudah diikuti.
Tapi jika kita yang mulakan bisnes restoran ni pada waktu tiada apa-apa, ada baiknya kita tahu berkenaan dengan pengurusan restoran, juga tahu memasak terlebih dahulu sebelum buka premis pertama kita.
Perlu terima hakikat bahawa kita belum punya kuasa atau pengaruh untuk mengawal ‘partner’ atau pekerja dalam dunia restoran, jika kita mahu buka tanpa tahu apa-apa berkenaan asas pengurusan restoran.
Buka Cawangan selepas 5 tahun beroperasi
3. Jangan buka cawangan sebelum restoran pertama kita mampu bertahan atau mampu buat untung dalam masa 3 tahun pertama. Sebelum melepasi 3 tahun pertama atau lebih elok, sebelum melepasi usia 5 tahun, jangan buka / tambah cawangan lagi walaupun bisnes kita meletup dalam setahun atau 2 tahun pertama.
Sebab apa? Sebab kebanyakkan restoran yang meletup 1-6 bulan pertama tapi tutup pada tahun kedua. Ia hanya gelombang ikut trend. Yang berjaya ikut trend, belum pasti lagi mampu bertahan lama. Biasanya jika kita mahu lihat satu-satu menu atau jenis makanan yang kita offer itu boleh bertahan atau tidak (boleh diterima dalam jangkamasa panjang) adalah melihat kemampuan ia bertahan dan buat untung dalam 3-5 tahun pertama.
Jika kita mampu buat untung dalam 3-5 tahun pertama, maka kita punya peluang tinggi untuk terus berkembang dengan buka cawangan baru.. Jangan buka cawangan kedua selagi kita tak punya SOP yang lengkap. Setidak-tidaknya untuk difahami oleh staff kita yang sudah biasa bekerja dengan kita. Jangan buka cawangan kedua selagi belum ada staff pelapis yang bekerja dibawah kita sekurang-kurangnya satu tahun.
Selagi kita tak punya staff yang faham benar selok belok operasi restoran kita dan yang faham aspirasi kita serta misi dan visi kita. Jangan terburu-buru nak buka cawangan. Di samping itu, kita tak boleh urus / tahu sepenuhnya cawangan pertama. Contohnya dari segi pekerja, stok, catatan keluar masuk, untung rugi secara tepat, bahan mentah dll.
4. Jangan sesekali bagi orang sebarangan menjaga cawangan kedai makan / restoran kita. Mengapa di point No. 3 saya bagi mesti bertahan sehingga 5 tahun dahulu, baru boleh buka cawangan? Salah satu sebabnya adalah kerana dalam tempoh tersebut ia akan memberikan masa untuk membina pelapis kita (apprentice).
Kita tidak boleh berkembang dan buka cawangan, serta pada masa sama buat iklan jawatan kosong offer post untuk pengurus restoran. Kita kena utamakan dan bagi kepada staff kita yang bermula dengan kita sejak 3-5 tahun lepas untuk jadi wakil kita urus restoran. Skill dan pengalaman serta trust itu penting. Jika bagi kepada orang sebarangan walaupun sebelum ini dia adalah bekas pengurus restoran lain yang berjaya, ia tetap akan bagi masalah kepada kita di kemudian hari.
Kena rajin mencatat
5. Buka restoran kena rajin mencatat. Kena sentiasa disiplinkan diri catat belian, jualan, kenaikan harga barang mentah, selalu review harga jualan sama ada relevan lagi atau tidak dengan kos operasi dan harga bahan mentah.
Pendek kata kena ada akaun untung rugi setiap bulan barulah kita tahu kedudukan sebenar keadaan bisnes kita setiap masa. Kena rajin catat stok awal dan stok akhir dan selalu buat pemeriksaan stok. Bagi yang tak suka disiplin ini, kebanyakannya tak tahan lama walaupun makanan sedap.
6. Laporan jualan dan analisa jualan harian wajib dibuat setiap hari. Tak boleh tangguh-tangguh. Jangan biarkan laporan hari ini diperam sehingga besok atau lusa. Jika ada sebarang benda yang tak kena, kita selalunya akan dapat detect segera jika laporan harian disediakan.
7. R&D, Research & Developement kena selalu buat. Jangan terlalu berpuas hati dengan menu yang kita ada walaupun ia meletup. Kena selalu buat variasi. Kadang-kadang manusia ni ada titik muak dia. Yang core menu, kita perlu kekalkan cuma kena selau ada value added atau menu sampingan yang menceriakan suasana sesuatu masa.
8. Jangan berhenti beriklan. Teruskan beriklan walaupun sales tengah tinggi.
9. Jangan ego. Jangan abaikan pendapat majoriti pelanggan yang mengkritik atau menegur menu kita. Ambik peduli dan buat penambahbaikan.
10. Buka restoran pertama, kena jaga sepenuhnya. Jangan terus nak tinggalkan terus (kononnya boss) sebelum ada SOP, pengganti yang berpengalaman, mahir, amanah dan JUJUR!
11. Kena ingat, bisnes restoran adalah bisnes tunai. Musuh bagi bisnes kredit adalah risiko pelanggan tak bayar hutang. Tapi risiko bagi bisnes tunai adalah, pengurus akan jadi gelap mata bila banyak income masuk setiap hari. Suka rompak duit sendiri. Dahla pekerja rompak sikit, pengurus pulak rompak banyak.. Lama-kelamaan perniagaan lingkup. So, berhati-hatilah dengan mengurus tunai anda..
Menulis berdasarkan pengalaman sendiri:
Abd Hakim Awang
-CEO D’Apple
Demikianlah beberapa tips uruskan kedai makan atau restoran. Apa pun, terima kasih kerana membaca dan semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua.
Baca selanjutnya: 30 tips bisnes khas 2019 dari CEO D’Apple