Neelofa Kaku Berlakon? Kalis Dengan Kecaman Netizen
Pengacara rancangan MeleTOP, Neelofa mengakui tidak terkesan dengan kritikan negatif netizen yang mengatakan lakonannya kaku dalam drama bersiri Red Velvet. Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor, 28, berharap agar peminat dapat bersabar menantikan episod seterusnya untuk melihat perkembangan watak Helena.
“Drama ini baru sahaja ditayangkan Isnin lalu. Sudah tentu watak itu sendiri ada perkembangan dan tidak sama sahaja. Kepada mereka yang mengkritik, tonton dahulu drama berkenaan secara menyeluruh dan cuba fahami jalan cerita. Saya tidak terkesan dengan kritikan negatif. Mungkin yang memberikan kritikan itu tidak memahami jalan cerita drama Red Velvet,” kata Neelofa.
Selepas beberapa episod ditayangkan, segelintir pengguna laman sosial mula memberikan kritikan negatif di laman sosial. Ada yang mendakwa gandingan antara Neelofa dan Alif Satar tidak serasi dan Neelofa kelihatan kaku apabila berada disamping Alif.
Neelofa ditemui di majlis pelancaran koleksi hijab terbarunya, Helena by Naelofar Hijab di Talent Lounge, Damansara Perdana semalam. Koleksi Helena by Naelofar Hijab itu dilancarkan bersempena watak Helena yang dibawakan Neelofa dalam drama bersiri itu.
Membariskan nama-nama besar seperti Neelofa, Alif Satar, Amira Othman, Hafidz Roshdi, Nina Nadira dan Alif Hadi, drama adaptasi novel Red Velvet tulisan Acik Lana ini diarahkan oleh Hadith Omar.
Ramai peminat mengharapkan drama bersiri ini akan meletup fenomena seperti drama bersiri Suri Hati Mr. Pilot. Mungkin peminat memang harus menonton cerita ini sehingga tamat untuk memberi komen negatif terhadap Neelofa. Mungkin watak Helena memang macam tu?
Sama-sama kita tonton drama bersiri Red Velvet ini.