MELAYU-BUMIPUTERA : Merempat Di Bumi Sendiri?

Sumber Rujukan : Utusan Online

Pemilikan hartanah bumiputera masih ketinggalan berbanding bukan bumiputera pada tahun lalu dengan nisbah transaksi pembelian sebanyak 39.5 peratus, manakala bukan bumiputera ialah 53.4 peratus dan baki 7.1 peratus ialah daripada syarikat.

Mengapa Bumiputera ketinggalan dalam pemilikan hartanah?

  1. Pendapatan yang rendah berbanding purata nasional.
  2. Kurang Kesedaran terhadap pelaburan hartanah.
  3. Tidak bijak dalam pengurusan kewangan.
  4. Status Lot Bumiputera boleh diubah kepada Lot bukan Bumiputera.
  5. Mudah menjual pemilikan tanah.
  6. Wasiat hartanah yang mendorong waris berkongsi pemilikan hartanah dan akhirnya menjual hartanah.
  7. Kurang penawaran rumah mampu milik yang bersesuaian dengan pendapatan Bumiputera.
  8. Sikap tunggu dan lihat serta terlampau mengimpikan rumah idaman yang luas.
  9. Penguatkuasaan yang lemah dan denda yang rendah jika pemaju tidak  melaksanakan kuota pembinaan rumah mampu milik.

 

Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan Malaysia menunjukkan rekod transaksi hartanah kediaman bagi bumiputera pada tahun lalu adalah sebanyak 97,722 unit manakala bukan bumiputera sebanyak 132,091 unit.

Pengarah Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) JPPH, Khuzaimah Abdullah berkata, pihaknya mendapati berlaku peningkatan transaksi pembelian hartanah bumiputera dalam tempoh lima tahun lalu, tetapi peningkatan tersebut masih tidak dapat menyaingi pembelian daripada bukan bumiputera.

Katanya, peningkatan transaksi hartanah dalam kalangan bumiputera hanya satu peratus setiap tahun sejak lima tahun lalu yang menunjukkan satu peningkatan yang sederhana berbanding dengan peningkatan populasi Malaysia sekitar 2.3 peratus setahun.

“Sepatutnya, peningkatan transaksi pembelian hartanah bumiputera yang sihat adalah sekitar dua peratus hingga tiga peratus setahun.

“Transaksi pembelian 97,722 unit bumiputera berbanding 132,091 unit bukan bumiputera menunjukkan ketidakseimbangan dari segi populasi negara ini yang 60 peratus dihuni oleh bumiputera.

“Nisbah transaksi 50:50 boleh dicapai tetapi mengambil sedikit masa,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Ditanya mengapa Bumiputera mencatatkan kurang transaksi pembelian hartanah berbanding bukan bumiputera, Khuzaimah berkata, hal ini mungkin disebabkan oleh tujuan pembelian hartanah oleh bumiputera adalah untuk didiami manakala bukan bumiputera adalah untuk tujuan pelaburan.

Katanya, bumiputera mungkin tidak mempunyai minda perniagaan dalam hartanah berbanding bukan bumiputera.

“Dari segi statistik, bumiputera mungkin masih lagi banyak dalam pemilikan hartanah menerusi harta pusaka yang diwarisi oleh nenek moyang dan belum dipindahkan nama yang mana data itu boleh diperoleh di pejabat-pejabat tanah seluruh negara,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat