5 Masjid Yang Wajib Anda Lawati Semasa Berkunjung Di Kelantan
Di Kelantan, 92 peratus daripada 1,707,000 penduduk adalah Melayu beragama Islam. Masjid terletak ditengah-tengah kehidupan mereka bukan sahaja sebagai tempat beribadah, tetapi juga tempat kegiatan keagamaan dan sosial. Selain daripada itu, ia diimarahkan sebagai tempat belajar al-Quran, kuliah agama, akad nikah dan pelbagai fungsi lain. Terdapat banyak masjid yang disediakan di kelantan. Antara 5 masjid yang wajib anda lawati semasa berkunjung di kelantan adalah:
Masjid Muhammadi
Kota Bharu
Nama Masjid Muhammadi diambil sempena nama Sultan Muhammad ke-IV yang sangat berjasa kepada Negeri Kelantan. Ia juga dipanggil sebagai “Masjid Besar” di kalangan sesetengah rakyat Kelantan.
Pada asalnya masjid ini diberi nama sebagai Masjid Besar Kota Bharu. Masjid ini telah dibina pada tahun 1867 pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad II (1830 – 1886) dengan menggunakan kayu-kayu yang terpilih. Pengubahsuaian bangunan masjid daripada kayu kepada struktur konkrit telah dilakukan pada tahun 1922 dan telah dirasmikan oleh oleh KDYMM Baginda Sultan Ismail Ibni Al-Marhum Sultan Muhammad IV pada 31 Julai 1931, dan dinamakan sebagai Masjid Muhammadi.
Luas keseluruhan masjid kini adalah 10,600 kaki persegi dan boleh memuatkan seramai 2,400 orang ahli jemaah. Peranan Masjid Muhammadi di dalam penyebaran dan pendidikan Islam di Kelantan amatlah istimewa. Di sinilah beberapa ulama besar Negeri Kelantan telah mengajar pelbagai ilmu agama. Di antaranya ialah Tuan Taba (1840-1891), Haji Wan Ali Kutan (1837-1912) dan Tok Kenali (1868-1933). Sistem pengajaran di masjid ini mempunyai persamaan dengan pengajaran di Masjidil Haram, Makkah di mana pelajar akan ke Makkah untuk menyambung pelajaran mereka setelah tamat pengajian di masjid ini.
Masjid Beijing (Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra)
Rantau Panjang, Kelantan
Sebuah masjid yang unik dan tak sama dengan masjid-masjid yang kebiasaannya wujud di Malaysia kerana reka bentuknya yang luarbiasa menyerupai senibina dari China. Sungguh indah seperti istana maharaja Cina dibina pada tahun 2005 untuk memperingati sambutan Jubli Perak pemerintahan Sultan Kelantan yang ke 28 Sultan Ismail Petra.
Masjid ini digelar Masjid Beijing kerana reka bentuknya seakan-akan Masjid Niujie yang berusia 1000 tahun di Negara China. Bahagian luarnya mempunyai bumbung dan menara gaya pagoda hijau dan dengan panel merah yang mencerahkan bangunan, dalamannya pula direka mengikut elemen reka bentuk India dan Uzbek.
Masjid Sultan Ismail Petra – Kubang Kerian, Kelantan
Kubang Kerian, Kota Bharu
Pembinaannya bermula pada tahun 1986 oleh seorang individu yang bernama Tan Sri Ibrahim bin Mohamad dari Kampung Putih Telipot. Namun proses pembinaan masjid ini tergendala.
Pada tahun 1988 Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Kelantan MAIK telah menyambung pembinaannya dengan perbelanjaan daripada MAIK dan sumbangan orang ramai yang berjumlah RM15 juta.
Masjid Sultan Ismail Petra Kubang Kerian telah disempurnakan pembukaannya oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ismail Petra ibni Al-marhum Sultan Yahya Petra Sultan dan Yang Dipertuan bagi negeri Kelantan Darul Naim pada 8 Safar 1413 hijrah bersamaan 7 Ogos 1992 Masihi.
Masjid Kampung Laut
Nilam Puri, Jalan Kuala Krai
Masjid Kampung Laut diiktiraf sebagai masjid tertua di Asia Tenggara terletak di Pusat Pengajian Islam Universiti Malaya, Nilam Puri, Kelantan. Usia masjid ini dipercayai melebihi 300 tahun dan turut dikaitkan kedatangan Islam di Kepulauan Nusantara abad ke-17 Masihi. Selain diiktiraf sebagai masjid tertua di negara ini dan turut disenaraikan antara masjid paling “bersejarah” di Asia Tenggara.
Rekabentuk Masjid Kampung Laut yang unik telah menjadi suatu lambang kemegahan rakyat negeri Kelantan. Penampilan bentuk bumbung bersegi tiga (bertenggek/ bertingkat) menirus ke atas, buah gutung dan menorah adalah lambang keunggulan Masjid Kampung Laut yang sekaligus menyemarakkan lagi keagungan Islam di Kelantan.
Al-Ismaili
Bandar Baru,Pasir Pekan
Pada 26 Muharram 1433H bersamaan 22 Disember 2011 telah berlangsung satu Majlis Solat Hajat dan Upacara Peletakan Batu Asas. Sultan Muhammad V telah mengampuni perkenan berangkat mencemar duli menyempurnakan majlis ini.
Masjid Al-Ismaili merupakan cetusan idea Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V dan ianya merupakan hadiah abadi daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Muhammad V kepada Ayahanda baginda Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra. Masjid yang didirikan ini berteraskan Tema 5 iaitu Islam terbina di atas Rukun Islam yang lima, demi menjaga lima Maqosid As-Syariyyah, yang terdidik melalui lima hukum bagi panduan lima pancaindera manusia untuk menakhodai diri di dunia menuju akhirat.
Masjid ini juga dibina dengan reka bentuk lima menara, lima anak tangga dan dipagari oleh enam kubah yang melambangkan rukun iman yang enam. Masjid Al-Ismaili ini akan dilengkapi dengan ruang solat utama seluas 20,750 kaki persegi yang dapat menampung keperluan jemaah seramai 1500 orang jemaah pada satu-satu masa.
Baca selanjutnya: Replika Masjidil Haram Paling Besar di Gua Musang Kelantan Unik