Kelantan Akan Teruskan Operasi Ke Atas Premis Yang Disyaki Melakukan Kegiatan Maksiat


Kegiatan Maksiat

KOTA BHARU: Kerajaan negeri menegaskan bahawa operasi mencegah aktiviti maksiat termasuk di dalam premis peribadi akan diteruskan, bagi mengelakkan aktiviti itu semakin berleluasa.

Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau negeri berkata operasi berkenaan akan dilakukan secara berkala sama ada menerima laporan atau tidak.

“Kita tidak akan menggunakan alasan ini premis peribadi dan kerajaan tiada hak untuk membuat serbuan atau pemeriksaan. Jika kerajaan mengatakan sedemikian, apakah polis tidak boleh menyerbu kediaman yang disyaki terbabit dengan kegiatan pil kuda?” tambah beliau lagi.

“Mereka yang dilarang mengintip sebagaimana dalam Islam adalah orang ramai. Namun kerajaan perlu ada pengintip demi keselamatan rakyat dan sebarang kenyataan yang membuka ruang kepada orang ramai tidak boleh didedahkan kepada umum”.

“Apa yang pasti, benda maksiat bukan berlaku di depan orang ramai. Jadi, jika kerajaan membuat kenyataan seperti itu semestinya akan memberi ruang kepada berlakunya maksiat dan tidak mustahil lebih banyak berlaku kes penzinaan sekali gus membawa kepada kegiatan pembuangan bayi,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Mohd Awang (PAS-Gual Periok) yang bertanyakan pandangan kerajaan negeri berhubung serbuan tidak boleh dilakukan di premis peribadi.

Terdahulu, Mohd Nassuruddin yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti ketika menjawab soalan mengenai tahap keseriusan isu berkaitan pengaruh dan ajaran Syiah serta Lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Kelantan, seramai 31 pondan ditangkap dan didakwa sejak 2015 sehingga kini.

Katanya, yang mengakui wujud pengaruh Syiah dan LGBT di negeri itu, namun ia masih terkawal hasil pencegahan dan penguatkuasaan berterusan dilakukan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) dengan dibantu agensi lain.

“Seramai 31 pondan yang didakwa, kita membawa mereka ke pangkal jalan dengan mengadakan kelas fardhu ain dan pengajian al-Quran dengan kekerapan dua kali seminggu.

“Apa yang pasti, kita akan teruskan operasi mencegah sebarang kegiatan mungkar seperti ajaran Syiah, LGBT, khalwat kerana kita tidak mahu Allah menurunkan musibah berikutan kegiatan tidak bermoral itu berleluasa,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat