Kekuatan Sebenar Bangsa Melayu Islam
Masa aku kanak2 dulu aku telah menyaksikan bangsa China yang datang ke Tanah Melayu ini adalah terdiri dari apek2 Tongsan yang berpakaian seluar ‘katok’. Masih terbayang keadaan seluar mereka yang panjangnya hanya sekerat pada kadar dibawah sedikit dari lutut. Mereka seharian berbaju kain kasar yang berbutang lima sambil menghisap candu dengan menggunakan paip buluh.
Mereka tidur bergelempangan, bermalas-malasan dek ketagih candu. Untuk tidur, cukup dengan berbantalkan kayu dan berselimut pendek berwarna merah. Itulah yang aku ingat.
Kerja mereka di bandar-bandar pada ketika itu adalah sebagai penarik “langcha”. Bukan beca roda tiga tetapi beroda dua yang merekalah penariknya. Itulah pengangkutan ’teksi’ di bandar-bandar ketika itu.
Selain itu orang-orang Cina ini juga bekerja sebagai tukang kandar tong najis dari jamban-jamban (tandas) jenis angkut. Hiii! Najisnya yang penuh di dalam tong itulah yang mereka pikul untuk dikumpul dan dibuang di tempat pembuangan. Busuk? Tak usah ceritalah. Sekarang tugas itu diambil alih oleh Indah Water!!
Mereka juga jadi kuli-kuli dan pekerja lombong bijih timah milik orang puteh. Tinggal di berek-berek dan rumah papan ala setinggan – bersesak dan tanpa kemudahan asas.
Dikampung-kampung pula mereka menumpang tanah orang Melayu yang terbiar bersemak-samun,. Mereka duduk percuma sambil menyangkul dan bertanam sayur. Hasil tanaman mereka, meraka kandar (pikul) – bawa berjaja keliling kampung dan ke pekan-pekan.
Mereka bertungkus lumus mencari sesuap nasi untuk makan minum – mengalas perut mereka sekeluarga. Mereka terpaksa pandai berjimat cermat. Rezeki yang di dapat tidak dibelanjakan semua. Mereka datang sebatang kara. Tiada saudara mara yang boleh menolong ketika sesak dan sulit.
Orang Melayu hidup manja di kelilingi keluarga dan saudara mara. Ketika susah, ada tempat untuk meminta pertolongan. Paling mudah mereka akan pandai berhutang hingga dikatakan hutang keliling pinggang. itulah salah satu kepakaran bangsaku. Sebab itu orang melayu jarang beringat dan berjimat. Lebih banyak boros dan berpesta kenduri kendara. Sanggup berhutang asal status terjaga atau dapat elak dari diumpat kata nesta jiran tetangga.
Orang Melayu yang belajar diasuh pula dengan pemikiran makan gaji. Kalau makan gaji, walaupun gajinya kecil dan ‘ciput’, itu sudah jadi kebanggaan sekampung dan dibualkan dengan penuh rasa puas tercapai hajat yang sangat hebat.
Orang Cina dalam susah dan derita air mata, mengharung hidup dengan mata menjeling peluang. Apa saja yang terleka dek orang Melayu, mereka berlumba-lumba menyambarnya.
Tidak perlu sakit hati dengan mereka. Itulah lumrah kehidupan. Yang pemalas dan manja akan tertinggal jauh di belakang. Yang rajin berusaha dan gigih mencari peluang baru akan berpindah menapak setakah demi setakah.
Orang Melayu kekal semakin jauh di himpit kesusahan. Orang Cina akhirnya muncul menjadi bangsa yang berada di atas, dalam kitaran ekonomi. Orang Melayu tercungap-cungap kelemasan. Aku tak tahu bilakah watak bangsa Melayu ini boleh diubah menjadi bangsa yang rajin, bangsa yang bersungguh-sungguh dan sanggup bangkit membela masa depan mereka sendiri.
Kalau dulu, orang-orang Cina datang sehelai sepinggang, hari ini ramai orang Melayu yang papa kedana dan merempat di tanah air sendiri. Bangsa yang tidak leka akan lebih peka dan berjaya. Orang-orang Cina sedang melakar sejarah mereka yang hebat di bumi tanah tumpah datuk nenek kita.
Hari ini anak cucu mereka sudah jadi taukeh-taukeh besar membangun perniagaan di bandar-bandar yang mereka ciptakan. Tanah orang Melayu mereka beli dengan harga yang murah dan dibangunkan hartanah yang ratusan kali ganda nilai harganya!! Mereka kuasai ekonomi dalam negara ini dan orang Melayu menjadi kuli malah ada yang jadi ‘hamba pecacai’ mereka.
Jangan sakit hati dengan mereka. Negara kita berlaku adil dengan semua bangsa yang ada. Kaum yang cerdik dan pintar akan berjaya berada di persada indah. Kaum yang lemah, penakut, berjiwa kecil, bersikap negatif akan terus hanyut di telan banjir bah arus dunia tanpa sempadan.
Tidaklah salah jika kaum Cina merancang merebut kuasa politik yang selama ini didominasi oleh orang Melayu. Dengan wang yang ada, ramai orang Melayu yang mudah rosak dengan ganjaran wang di depan mata. Orang Melayu yang lemah dalam semua sudut ini mudah untuk menjual apa saja demi untuk makan minum sehari dua. Orang Melayu lebih serius memikirkan hal makan minum dalam jangka waktu hanya sehari dua. Bangsa lain merancang mengukuhkan pegangan dalam pelbagai sektor kehidupan.
Inilah yang sedang berlaku di dalam negara kita. Puncanya pada orang Melayu sendiri. Kesian pada anak cucu kita yang kemungkinan akan jadi penumpang dalam negara bertuah ini seperti apa yang berlaku kepada orang-orang Melayu di Singapura. Malah agama mereka pun turut semakin hilang.
Orang Melayu mudah dirosakkan dengan hiburan, keseronokan mungkar dan maksiat. Kini, sudah ada sejumlah sejuta orang anak-anak muda Melayu yang kebanyakannnya berusia seawal belasan tahun sudah menjadi penagih dadah. Taukeh dadah yang kaya raya tentulah bukan orang Melayu. Yang menjadi pengedar dan yang ditangkap untuk dihukum di tali gantung pun adalah anak-anak Melayu.
Adakah kehinaan bangsa ini, sudah sampai kemuncaknya? Terlalu ramai anak-anak melayu penagih dadah yang sedang menjadi bangkai bernyawa. Jika tidak berbuat sesuatu, mereka akan mati beragan dan bayangkan api neraka yang sedang mengaum hendak meratah tubuh badan mereka.
Percayalah wahai bangsaku, kekuatan tunggal kita bukan semangat kebangsaan lagi tetapi kekuatan iman dan taqwa. Dengan iman dan taqwa sahajalah orang Melayu akan kembali sayangkan negara tercinta ini. Dengan keyakinan terhadap kasih sayang dan rahmat Allah, orang Melayu boleh bangkit membaiki diri, keluarga dan masyarakat mereka.
Orang Melayu yang dipimpin hati jiwanya dengan rasa takut Allah rindu Nabi saw tak akan sanggup jual syurga dan bidadarinya dengan keseronokan dunia yang mungkar dan maksiat. Mereka tak akan sanggup berzina, mengandung luar nikah dan membuang anak di merata tong sampah.
Mereka akan kembali menjadi bangsa yang mulia, berharga, bernilai dan dihormati kawan dan lawan. Taqwalah sahaja cara bagaimana hati mereka perlu dididik. Dengan kekuatan taqwa, Allah yang Maha Gagah Perkasa akan menjadi pembela kepada bangsa Melayu.
Insaflah wahai bangsaku!!! Cari lah ilmu agama sebagai asas kepada iman dan taqwa. Dapatkanlah bimbingan orang-orang soleh dan insan-insan bertaqwa yang masih ada. Laksanakanlah suruhan Allah dan jauhilah laranganNya. Hayatilah sembahyang yang menjadi anak kunci kepada mendapatkan taqwa. Laksanakanlah solat dengan bersungguh-sungguh tepat pada waktunya. Peliharalah mata, telinga, lidah, kaki-tangan, perut dan kemaluan dari menyentuh dosa. Jauhilah akhlak keji dan amalkanlah akhlak mulia.
Bermodalkan iman dan taqwa bangsa Melayu akan jadi satu bangsa yang kuat dan mulia. Bangsa yang berani, berwibawa, rajin, berkasih-sayang dan berpadu. Inilah bangsa yang akan digeruni oleh musuh. Dan Allah janjikan syurga di akhirat. Lihatlah sejarah, bagai mana umat Islam dulu telah pernah menguasai tiga suku dunia selama tujuh ratus tahun dengan bermodalkan kekuatan iman dan taqwa. Inilah jalan-jalan kemenangan dan kejayaan yang Allah janjikan. Tidak ada jalan lain selain ini.
Ya Allah! limpahkanlah kepada bangsaku Melayu akan rahmat, hidayah dan taufiqMu. Amiin ya Allah!
Oleh: YBhg Ayahanda Syeikh Haji Abdul Rahim Pfordten
Susunan untuk:
Pendidikan serta Peringatan AL Hadromy Comunity Charity dan Educare