Modus Operandi Macau Scam


Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti empat tektik sindiket penipuan telekomunikasi atau lebih dikenali sebagai ‘Macau Scam’ yang memperdayakan mangsa dengan panggilan palsu dan mengakibatkan kerugiaan jutaan ringgit.

Sindiket ini beroperasi dengan cara menawarkan cabuan bertuah, tipu culik dan minta wang tebusan, spoofing pegawai polis atau agensi kerajaan serta pegawai bank negara atau bank komersial. Sindikit ini didalangi oleh warga Taiwan serta China yang menggunakan talian antarabangsa dari Hong Kong dan juga tempatan.

Macau Scam

‘Spoofing’ ialah teknik di mana pemanggil akan berkomunikasi menggunakan paltform Voice Over Internet Protocol (VoIP) bagi membolehkan pemanggil meletakkan sebarang nombor telefon untuk memperdaya mangsa bahawa pemanggil adalah dari nombor yang tertera.

Modus Operandi (Cara beroperasi)

i) Cabutan bertuah (Lucky Draw)

Mangsa akan menerima panggilan telefon yang mengatakan beliau telah memenangi pertandingan cabutan bertuah (lucky draw) bernilai jutaan ringgit.

Pemanggil kemudiannya memberikan nombor telefon untuk dihubungi sekiranya mangsa mahu mendapatkan hadiah berkenaan. Mangsa dikehendaki untuk membayar sejumlah wang ke dalam akaun tertentu bagi menuntut hadiah tersebut. Setelah transaksi selesai, pemanggil gagal dihubungi dan wang hadiah yang dijanjikan tidak diterima.

ii) ‘Spoofing’ pegawai polis / agensi kerajaan

Mangsa akan menerima pangilan telefon daripada individu yang mengaku sebagai pegawai mahkamah atau polis serta mendakwa bahawa mangsa terlibat dalam kegiatan haram. Mangsa kemudiannya diminta untuk memindahkan sejumlah wang dari akaunnya ke dalam akaun tertentu, kononnya bagi mengelakan akaun mangsa dibekukan oleh pihak berkuasa.

iii). Tipu culik dan minta wang tebusan

Mangsa akan menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa ahli keluarga mangsa telah diculik. Mangsa diperdaya untuk memindahkan wang tebusan ke nombor akaun pihak ketiga yang diberikan. Pelbagai helah dan taktik lain juga digunakan oleh sindiket ini untuk memperdayakan mangsa, termasuk dakwaan langgar lari atau gagal membayar hutang pinjaman bank / institusi kewangan.

iv) ‘Spoofing’ pegawai bank negara atau bank komersil (kad kredit)

Mangsa akan menerima panggilan daripada individu yang mengaku sebagai pegawai bank, dengan dakwaan bahawa mangsa gagal membuat bayaran kad kredit. Mangsa kemudiannya dikehendaki untuk menghubungi seseorang. Kononnya pegawai dari Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau akaun bank dibekukan. Mangsa akhirnya diperdaya untuk membuat pemindahan wang ke akaun tertentu melalui e-banking atau melalui mesin deposit tunai (CDM).

Apa yang perlu dilakukan jika anda berdepan situasi seperti di atas:

  1. Jangan sesekali panik dan mengikut arahan yang diberikan oleh pemanggil, tanpa terlebih dahulu menghubungi pihak polis atau institusi kewangan terbabit.
  2. Sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat atau tipu helah pihak-pihak tertentu.
  3. Jangan dedahkan nombor akaun bank, nombor kad ATM atau kad kredit anda kepada orang yang tidak dikenali.
  4. Jangan hubungi semula nombor telefon yang anda terima. Sebaliknya dapatkan nombor telefon rasmi syarikat, organisasi atau institusi terbabit untuk pengesahan lanjut.
  5. Layari portal rasmi BNM untuk mendapatkan maklumat dan nasihat terkini berhubung penipuan kewangan (financial fraud) seumpamanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat