Kaedah Untuk Melembutkan Hati Anak Yang Suka Melawan
Kita perlukan kesabaran yang tinggi dalam usaha melembutkan hati anak yang suka melawan. Anak-anak kecil sememangnya bersikap aktif dan perasaan ingin tahu yang tinggi. Sikap ini lah yang mengajar mereka untuk meneroka dan mengenal setiap apa yang dilihat dan dirasa.
Pada usia mereka sebeginilah kita sebagai ibu bapa sangat memainkan peranana yang penting dalam mencorakkan siapa mereka dan menjadi contoh yang terbaik kepada mereka. Setiap apa yang kita lakukan akan menjadi ikutan kepada mereka. Pepatah Melayu yang sangat mendalam maksudnya iaitu “Melentur buluh biarlah dari rebungnya” harus difahami sebaik mungkin oleh ibu bapa.
Namun adakalanya apabila mereka asyik dengan keterujaan mereka dalam meneroka dunia ini, kadang-kadang mereka kurang fokus dengan percakapan kita dengan mereka. Mengikut kaedah sains dan juga panduan dalam Islam, banyak kaedah yang dapat kita gunakan bagi melembutkan hati anak kita yang suka melawan ini.
Kaedah Untuk Melembutkan Hati Anak Mengikut Sains
1. Menggunakan Intonasi Yang Lembut.
Pastikan anda sentiasa menggunakan intonasi yang lembut untuk memanggil nama anak-anak kecil anda atau semasa bercakap dengan mereka. Anak-anak kecil sebelum mereka memahami apa yang kita cakapkan, mereka mula memahami intonasi suara kita terlebih dahulu. Sebab itulah apabila kita bergurau memarahi mereka, mereka akan menangis.
Latihlah diri anda untuk sentiasa menggunakan intonasi suara yang lembut semasa menyuruh anak anda melakukan sesuatu ataupun bercakap dengan mereka. Berikan masa untuk anak anda memberi perhatian kepada percakapan anda. Elakkan dari membiasakan diri dengan menjerit kepada mereka apabila mereka melengah-lengahkan apa yang kita cakapkan.
2. Berikan Perhatian Kepada Mereka
Berikan perhatian yang sewajarnya kepada apa yang mereka sedang lakukan. Kadang-kadang anak kecil kita tidak mendengari apa yang kita cakapkan. Hal ini mungkin mereka leka dengan apa yang mereka lakukan. Contohnya anak kita sedang melukis dan mewarna, dalam masa yang sama kita menyuruh mereka untuk mandi. Mereka nampak seakan-akan tidak meghiraukan anda tetapi mereka seolah-olah tidak mendengari apa yang cakapkan.
Macam kita lah, dah leka sangat buat kerja kita, orang lalu depan kita pun tak perasaan dah. Apatah lagi anak-anak kecil kita, daya pemikiran otak mereka juga jauh berbeza dengan kita. Mereka tidak mampu berfikiran luas seperti kita.
3. Elakkan Menggunakan Ayat Negatif
Antara ayat negatif yang selalu kita cakapkan kepada anak-anak kecil kita ialah “jangan” dan “tak boleh”. Perkataan ini secara tidak langsung seolah-olah memberhentikan komunikasi antara kita dan anak-anak. Ayat negatif ini juga memberikan kesan yang buruk kepada anak-anak tanpa kita sedar.
Sebagai contohnya, “jangan malas ke sekolah”, mereka akan rasa terpaksa untuk ke sekolah dan seterusnya menyebabkan mereka rasa tertekan. Cuba gunakan perkataan yang lebih positif contohnya “adik kena rajin pergi sekolah”. Haaa, kan berbeza tu bila kita sendiri yang dengar apatah lagi anak-anak kita.
4. Arahan Yang Jelas
Setiap arahan yang kita berikan kepada anak-anak kita haruslah sentiasa jelas dan seringkas yang boleh. Kapasiti anak-anak kecil belum tentu dapat memproses apa yang kita sampai kepada mereka sekiranya maklumat tersebut panjang dan kurang jelas.
Kita juga boleh melatih anak untuk berdisiplin dengan memberikan arahan yang jelas kepada mereka. Mereka akan segera melakukan sesuatu arahan kita apabila arahan tersebut mudah difahami dan dituruti oleh mereka.
Kaedah Melembutkan Hati Anak Mengikut Islam
1. Maksud Nama Anak
Kita sebagai ibu bapa harus sentiasa meneliti dan memberi pandangan serius dalam memberikan nama kepada anak-anak kita. Apa kaitan nama anak dengan perangai mereka? Setiap kata-kata itu adalah doa. Jadikan pastikan nama anak kita tersebut mempunyai maksud yang terbaik kerana dengan nama itulah kita akan memanggil mereka. Betul tak?
Hari-hari kita panggil mereka dengan nama mereka yang memberi maksud yang baik, maka secara tidak langsung dapat mempengaruhi sikap mereka juga. Jadi, jangan terlalu nak ikut trend sekarang bagi nama pada anak-anak macam-macam. Biarlah ringkas tapi penuh kebaikan.
2. Layanan Terhadap Anak
Cuba anda check macam mana layanan anda terhadap anak-anak di rumah. Adakah anda terlalu garang dengan mereka atau terlalu memanjakan mereka?
Zaman sekarang ini, ramai ibu bapa yang terlalu memanjakan anak mereka sehingga anak mereka merasa terlalu senang sehinggakan tiada apa yang dapat halang mereka. Setiap apa yang mereka inginkan pasti akan dipenuhi. Tidak salah kita manjakan anak-anak, tetapi berpada-pada kerana apabila mereka sudah terbiasa dengan dimanjakan, tidak hairan mereka tidak mengendahkan apa yang kita cakapkan kelak.
Kalau kita terlalu garang, anak akan mudah untuk memberontak. Mereka akan merasa tertekan setiap kali cuba meluahkan apa yang mereka rasa atau bercerita dengan anda. Jadi, garanglah bertempat dan mengikut masa yang sesuai. Jangan lah setiap masa nak angin je dengan anak-anak. Ada masa kita bergurau dan ada masa bertegas.
3. Berdoa Kepada Allah S.W.T
Amalkan berdoa kepada Allah S.W.T dengan doa untuk melembutkan hati anak-anak selepas solat. Banyak doa-doa yang diajarkan dan ditulis di dalam buku-buku agama untuk melembutkan hati anak.
Anda boleh amalkan membaca doa pelembut hati dari Surah Taha ayat 1 hingga 5, doa dari Surah As-Syura ayat 19, selawat syifa’ dan banyak lagi doa-doa yang boleh diamalkan. Bergantung pada kita lah rajin ke tak nak mencari, membaca dan mengamalkannya. InsyaAllah, hati anak-anak kita akan lembut.
Untuk melembutkan hati anak-anak tidak mudah dan memerlukan satu jangka masa yang agak panjang. Kesabaran kita dalam melatih anak-anak dan memupuk sifat yang baik dalam diri anak-anak sangat diperlukan. Biarlah kita susah sekarang dalam mencorakkan yang terbaik untuk anak-anak dari kita menyesal kemudian hari.