Muzium Sarawak Dapat Hak Simpan Tulang 20,000 Tahun
Setelah 52 tahun, Jabatan Muzium Sarawak baru mendapat hak untuk menyimpan tulang berusia 20 ribu tahun yang selama ini disimpan dan dikaji di Universiti of Vegas. Muzium Sarawak juga telah membina tempat khusus bagi menyimpan artifak tersebut yang di jangka siap pada 2019.
Jabatan Muzium Sarawak memperoleh semula hak koleksi 116 tulang belulang berusia 20,000 tahun yang disimpan di Jabatan Antropologi University of Vegas, Amerika Syarikat (AS) sejak 50 tahun lalu.
Pengarahnya, Ipoi Datan, berkata hasil penemuan arkeologi di Gua Niah, Miri itu dibawa pulang ke negeri ini pada 2019 selepas kedua dua pihak menandatangani memorandum persefahaman (MoU), minggu lalu.
Muzium Baharu
“Ketika ini, belum ada tempat selamat di sini untuk menyimpan tulang itu yang diambil bagi tujuan kajian oleh universiti itu pada 1967. Tempat khusus akan disediakan apabila muzium baharu siap dibina dua tahun lagi,” katanya.
Pada sidang media semalam, beliau berkata koleksi tulang itu turut dikaji pakar antropologi, Shelaigh Brooks dan pakar arkeologi, Richard Brooks dengan hasil kajian mereka juga disimpan di Universiti of Vegas.
Koleksi tulang itu dijumpai pakar arkeologi, Tom dan Barbara Harrisson ketika proses penggalian selama 20 tahun di Gua Niah bermula 1947 hingga 1967 sebelum dibawa ke Nevada bagi tujuan penyelidikan.
Sementara itu, Ipoi berkata, rangka lengkap seorang perempuan ditemui di Gua Niah pada 1957 uang dipercayai berusia 39,000 tahun, akan turut dikaji secara terperinci oleh pakar dari University of Cambridge, United Kingdom bagi menetukan usia sebenar.