Menganggap Beli Kereta Sebagai Pelaburan, JP Chin Muncul Sebagai Pengumpul Kereta Mewah Terbanyak di Malaysia

Menganggap Beli Kereta Sebagai Pelaburan, JP Chin Muncul Sebagai Pengumpul Kereta Mewah Terbanyak di Malaysia


Penggemar automotif tempatan pasti mengenali Chin Jit Pyng atau nama gelarannya JP Chin. Beliau terkenal sebagai pengumpul kereta mewah peribadi terbanyak di Malaysia.

Kereta yang dikumpul JP pula bukanlah calang-calang malah terdiri daripada hypercar yang berharga jutaan dollar Amerika, kereta antik serta keluaran edisi terhad.

Sesetengah daripadanya pula merupakan kereta yang diinspirasikan daripada filem seperti James Bond, The Godfather dan Magnum P.I.

Antara kereta berharga yang dimilikinya adalah Bugatti Chiron yang berharga US$ 2.6 juta dan Divo yang bernilai US$ 5.7 juta.

jp chin miliki divo

JP Chin Mula Minat Kenderaan Sejak Belasan Tahun

Membesar dalam keluarga yang sederhana, ibu bapa JP Chin tidak pernah memiliki kereta baru. Namun, minatnya untuk mengumpul kenderaan sudah mula sejak belasan tahun.

Pastinya sebagai remaja berusia 14 tahun, JP Chin tidak mampu untuk membeli kereta, sebaliknya beliau mula mengumpul basikal. Jika rakannya mempunyai 1 basikal, beliau mempunyai 4 buah basikal.

JP berpeluang untuk membeli kereta pertamanya ketika bekerja di United Kingdom iaitu Alfasud 1200 ti.

Sekembalinya ke Malaysia, kereta terawal yang dimiliki adalah Mazda 626 dan BMW 5 Series terpakai. Kini, JP mempunyai lebih 100 koleksi kereta mewah pelbagai jenama.

jp chin ada lebih 100 kereta

Kredit : Instagram @jpm_museo

Semua Kereta Ditempatkan di Muzium

Sebuah gudang milik JP di Kuala Lumpur diubahsuai menjadi Muzium JPM untuk menempatkan lebih 100 buah kereta. Menurut JP, beliau tidak menyasarkan kuantiti kereta semata-mata, malah kualitinya juga perlu dijaga.

Buat masa ini kereta yang paling digemarinya adalah kereta model terhad Mclaren P1 yang dihasilkan sebanyak 375 unit sahaja di seluruh dunia. Termasuk JP Chin, kereta model Mclaren P1 ini hanya dimiliki oleh 2 individu sahaja di Malaysia.

Selain kereta, beliau juga gemarkan motorsikal berkuasa tinggi. Muzium milik JP turut mempamerkan kira-kira 50 buah motorsikal pelbagai jenama.

JP Chin Minat Lumba Kereta

JPM yang ditubuhkan pada tahun 2004 bukan sahaja semata-mata untuk mempamerkan kereta, malah ia menjadi platform buat JP untuk libatkan dalam acara lumba kereta.

Beliau sertai perlumbaan kereta di litar bersama tiga orang anaknya selama hampir 10 tahun. Antara perlumbaan paling besar yang pernah mereka sertai adalah Merdeka Millenium Race.

Lama kelamaan, JP sedari penyertaan lumba kereta memakan belanja yang sangat banyak. Oleh itu, beliau pun mula tukar aktiviti JPM kepada perniagaan melalui penganjuran acara lumba kereta.

JP Chin juga sempat pelajari cara penganjuran Super GT di Jepun. Berkat usaha JP Chin dan anak-anaknya, mereka terpilih sebagai penganjur terbaik keseluruhan siri Super GT untuk 3 tahun berturut-turut.

Kereta JP Chin Pernah Masuk Filem Hollywood !

Ketika produser filem Crazy Rich Asian merancang untuk lakukan penggambaran di Malaysia dan Singapura, mereka hubungi JP untuk menyewa beberapa kereta.

JP bersetuju dan hasilnya kereta Ferrari F430 dan Ford GT 40 buat kemunculan di panggung wayang di babak hangar kapal terbang. Cayalah!

kereta jp chin pernah masuk filem !

Beli Banyak Kereta Sebagai Pelaburan

Boleh dikatakan semua wang simpanan JP dibelanjakan pada kereta. “Kebanyakan orang melihat saya membeli kereta banyak seperti membazir,namun bagi saya ia adalah satu bentuk pelaburan”, jelas JP.

Menurutnya, kereta yang dibeli untuk koleksi haruslah sebuah kereta yang terhad, mempunyai kisah tersendiri dan berpotensi untuk menjadi lebih mahal pada masa akan datang.

Lebih-lebih lagi kereta berjenama mewah seperti Porsche 918, P1 dan Bugatti yang nilainya dilihat bakal meningkat kian tahun.

Bagi menjaga nilai kereta mewahnya, JP jarang sekali memandu kereta mewahnya di atas jalan. Selain untuk memastikan perbatuan kereta pada tahap rendah, beliau sering memandu Proton X50 atau X70 untuk elakkan perhatian.

Tak sangka ada rakyat Malaysia yang mempunyai minat yang sangat mendalam sehingga berjaya mengumpul lebih 100 kereta mewah dengan titik peluh sendiri. Kisah JP Chin boleh jadi inspirasi buat ramai untuk capai impian masing-masing untuk ceburkan diri dalam hobi yang boleh menjana pendapatan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat