Bebas Dari Tali Gantung, Dr Ganja Didakwa Sempat Merawat 800 Pesakit Menggunakan Pati Kanabis


Baru-baru ini, netizen digemparkan dengan kisah mengenai penyanyi nasyid, Yasin Sulaiman yang didakwa atas dua pertuduhan menanam 17 pokok ganja serta mengedar dadah jenis sama.

Suspek berusia 47 tahun itu didapati positif tetrahydrocannabinol (THC) dan dipercayai mempunyai sejarah penglibatan dadah sekurang-kurangnya 10 tahun. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum gantung sampai mati mandatori.

Namun, tahukah anda terdapat seorang individu yang baru bebas dari penjara akibat tuduhan pemilikan dan mengedar ganja? Lebih menariknya lagi, individu ini telah mengolah ganja dalam bentuk cecair untuk dijual sebagai rawatan alternatif.

Popular dengan gelaran Dr Ganja, Muhammad Lukman dijatuhkan hukuman gantung sampai mati kerana didapati bersalah memiliki, memproses dan mengedar dadah jenis ganja yang telah diolah dalam bentuk cecair.

dr ganja hasilkan minyak ganja untuk tujuan kesihatan

Rata-rata netizen ketika itu cukup terkejut dengan keputusan tersebut kerana berdasarkan rawatan yang telah diterima oleh beberapa penyakit, pendekatan menggunakan ganja sebagai perubatan alternatif ini dikatakan berjaya menyembuhkan penyakit tertentu.

Sebelum ditangkap, dia dikatakan telah memberikan rawatan alternatif ini kepada tidak kurang daripada 800 orang pesakit.

Dunia Lukman berubah sekelip mata apabila dia dan isterinya ditangkap pada 7 Disember 2015. Isterinya yang sedang hamil dibebaskan kerana didapati tidak bersalah.

Pesakit Tampil Sebagai Saksi

Lukman yang berusia 29 ketika itu dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 30 Ogos 2018.

Bagi membuktikan keberkesanan rawatan tersebut, peguambelanya Farhan Maaruf telah membawa beberapa saksi yang pernah mendapatkan rawatan melalui minyak ganja daripada Lukman.

Farhan yakin bahawa anak guamnya menggunakan ganja hanya untuk membantu pesakit mendapatkan rawatan alternatif secara berkesan.

Antara pesakit yang tampil ke mahkamah adalah pesakit thalasemia yang difahamkan telah menggunakan minyak ganja sepenuhnyadari Dr Ganja sebagai medium rawatan utama sejak tahun 2016.

Ibu Lukman yang merupakan pengguna terakhir turut hadir sebagai saksi untuk memberikan keterangan.

Kes Dr Ganja ini juga mendapat liputan daripada media luar negara antaranya Perancis, Australia dan United Kingdom.

dr ganja mendapat liputan luar negara

Keputusan Mahkamah

Mahkamah mengurangkan hukuman bagi pertuduhan mengedar ganja daripada sabitan asal 10 tahun penjara kepada 7 tahun penjara dari tarikh ditangkap dan 10 sebatan. Bagi hukuman 10 sebatan, mahkamah membenarkan penangguhan sementara menunggu rayuan di mahkamah persekutuan.

Walau bagaimanapun, Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada 26 November 2019 mengekalkan hukuman mati terhadap Lukman yang dikenali sebagai Dr Ganja. Dia didapati bersalah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam dikekalkan kepada Lukman yang didapati bersalah atas tiga pertuduhan mengedar 3.1 liter minyak ganja, 1.4 kilogram bahan yang mengandungi THC dan 279.81 gram ganja mampat.

Sementara itu, perdana menteri Tun Dr Mahatir Mohamad ketika itu memberi isyarat bahawa kerajaan akan mengkaji kes ini.

Dalam masa yang sama, Menteri Kesihatan ketika itu, Dr Dzulkefly Ahmad berkata mesyuarat jemaah menteri ada membincangkan kes ini namun tiada keputusan yang dibuat berhubung perkara tersebut.

Peluang Kedua Buat Dr Ganja

Pada 17 Februari 2021, sinar harapan muncul apabila tiga hakim Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Lukman mengetepikan sabitan terhadap dua tuduhan mengedar dadah.

Mahkamah menggantikan dua tuduhan tersebut dengan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap tuduhan dan berjalan secara serentak dari tarikh penangkapannya.

Justeru, dia dianggap telah menyelesaikan hukuman penjara dengan pengampunan satu pertiga tempoh tahanan.

Setelah hukuman sebatan dilakukan, Lukman dibebaskan pada malam 17 Februari kemudian dibawa ke rumah kakaknya di Kota Bharu sebelum kembali ke kampung halamannya di Besut, Terengganu.

Potensi Ganja dalam Bidang Perubatan

Kes Lukman mengundang banyak persoalan termasuk dari sudut saintifik. Berdasarkan keterangan ahli kimia, mereka akui tidak pernah kendalikan bahan yang digunakan oleh Lukman.

Terdapat banyak kajian serta dakwaan mengenai kebaikan ganja sebagai rawatan untuk penyakit glaukoma dan penahan sakit bagi barah.

Bagi kita yang tidak pernah didedahkan dengan dunia ganja pasti menganggap memang sepatutnya Lukman mendapat hukuman setimpal.

Namun, hakikatnya, ganja kini semakin diterima di banyak negara sebagai salah satu tumbuhan yang bermanfaat untuk kesihatan. ia juga dikatakan mempunyai kelebihan khusus dalam merawat pelbagai penyakit kronik.

Bekas pendakwaraya di Jabatan Peguam Negara, Samantha Chong juga berpendapat yang ganja tidak memberikan kesan agresif kepada pengguna seperti kokain atau herion.

“Setiap kali saya ke persidangan antarabangsa, dunia luar terkejut apabila mengetahui rakyat Malaysia boleh dihukum gantung jika didapati memiliki 200 gram ganja.

Risiko ketagihan ganja juga adalah sangat minimum berbanding penggunaan heroin dan kokain. Perkara ini perlulah disemak semula memandangkan ia mempunyai manfaat kesihatan yang baik,” ulas Samantha.

Dranabinol iaitu bahan aktif THC yang terdapat dalam ganja telah diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat serta dikenali dengan nama Syndros dan Marinol di pasaran.

dr ganja

Ia digunakan sebagai perangsang selera untuk pesakit AIDS serta antiemetik (antiloya) bagi pesakit yang sedang menjalani rawatan kemoterapi.

Selain Amerika Syarikat, produk ini boleh didapati dengan preskripsi di Kanada, Jerman dan New Zealand.

Beberapa negara juga telah mendekriminalisasi ganja bagi kegunaan rekreasi.

Lukman Hanya Ingin Bantu Pesakit

Lukman sedar perbuatan mengedar dadah adalah kesalahan besar dari sisi undang-undang negara namun beliau tidak menyamakan ikhtiarnya sebegitu.

“Apabila orang gembira, saya terus melakukannya. Secara organik ia menjadi seperti perniagaan. Dari apa yang saya tahu, polis bahagian narkotik menyedari aktiviti kami selama hampir setahun. Mereka membuka fail satu tahun sebelum mereka menangkap saya.

“Mereka sudah mempunyai maklumat saya, mereka sudah tahu di mana saya tinggal. Saya rasa mungkin mereka juga menangkap beberapa orang dan bertanya dari mana mereka mendapatkannya,” katanya dalam sebuah laporan dari Malaysiakini.

Malaysia adalah sebuah negara yang masih menjatuhkan hukuman mati bagi jenayah bersabit dadah di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 di mana individu yang ditangkap bersama kanabis melebihi 200 gram akan didakwa di bawah penyeludupan dadah.

Kes Lukman boleh jadi pembuka mata bagi negara untuk tidak pukul rata semua pengguna dadah yang sering dilabel sebagai penagih. Mungkin sudah tiba masanya negara kita untuk membezakan individu yang mengedar, yang menagih serta yang memerlukan ganja sebagai rawatan.

Jika digunakan dengan cara yang betul, dadah sebenarnya dapat memberikan manfaat kepada kesihatan. Yang menjadi masalah adalah apabila ia digunakan untuk tujuan keseronokan sehingga menghancurkan institusi kekeluargaan dan hidup pengguna.

Tag:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat