JENIS-JENIS SAKA YANG DIDAMPINGI MANUSIA
Saka adalah satu perbuatan yang sering diamalkan oleh masyarakat Melayu dahulu. Saka adalah perjanjian yang dilakukan oleh manusia dengan golongan jin untuk membantu manusia dalam melakukan kerja-kerja membajak, menebang pokok, bertani atau kerja-kerja yang lain yang sukar untuk manusia melakukannya.
Selain daripada kerja-kerja sebegitu mereka juga menggunakan jin untuk melaksanakan segala impiannya.
Hantu raya, polong, pelesit, toyol, hantu laut dan bunian adalah antara makhluk yang selalu didampingi atau digunakan oleh masyarakat Melayu tetapi nama-nama tersebut hanyalah panggilan masyarakat Melayu sahaja dan tidak disebutkan dalam Al-Quran mahu pun hadis.
Hantu Raya
Hantu Raya adalah jin atau mahkluk halus yang amat ditakuti oleh masyarakat Melayu kerana ia digambarkan sebagai hantu yang kuat dan gagah.Hantu raya ini dibela bagi mendapatkan kekuatan yang luar biasa seperti memotong dan mengangkat kayu balak serta berlawan seorang diri.
Dalam masa yang sama ia juga boleh diarahkan untuk menjaga kebun, ladang, rumah dan sebagainya daripada pencuri dengan menjelma sebagai lembaga hitam yang menyerupai tuannya.Selain itu, hantu raya ini perlu diberi makan ketika sampai waktunya, sekiranya tidak diberi makan, ia bakal menganggu tuannya.
Saka Harimau
Saka harimau adalah gelaran makhluk halus yang dibela menyerupai harimau. Ianya sering digunakan oleh orang-orang zaman dahulu untuk menjaga keturunan serta harta benda seperti rumah, kebun atau kampung.
Saka Harimau perlu diberi makan bertih beras, pucuk ubi dan lain-lain. Sekiranya tidak diberi makan atau terlupa ia akan menganggu.
Kadangkala Saka Harimau akan meninggalkan tanda seperti kesan cakaran dicelah-celah tiang rumah atau pokok berdekatan.
Saka Buaya
Saka Buaya adalah gelaran makhluk halus yang membayangkan dirinya seekor buaya. Seseorang yang didampingi jin ini mempunyai kelebihan menjinakkan buaya dan mengawal buaya daripada menganggu penduduk yang mencari ikan dan mandi di sesebuah tempat atau kawasan.
Pada suatu masa dahulu, Saka Buaya digunakan sebagai pengangkutan untuk menyeberangi sungai atau tasik hanya dengan menyeru dan memanggil sahaja.
Saka Bomoh/Pawang/Urut
Saka Bomoh, Saka Pawang atau Saka Urut merujuk kepada makhluk halus yang diwarisi secara turun-temurun untuk membantu tuannya dalam merawat pesakit.Mereka yang mewarisi Saka Bomoh mempunyai kelebihan merawat pelbagai penyakit seperti kayap, kudis, terseliuh atau penyakit rohani yang berkait dengan makhluk halus.
Saka Bomoh kebiasaanya keturunan bomoh dan pawang yang tidak menuntut sebarang ilmu perubatan atau kerohanian tetapi mendapat ilmu daripada mimpi.
Mimpi tersebut adalah berjumpa dengan orang tua, pendekar atau datuk moyang yang mengajar ayat Al-Quran, zikir-zikir atau jampi serapah.
Saka Hantu Laut
Saka Hantu Laut adalah jin yang dibela dan tinggal dilaut atau persisiran pantai. Ianya dibela untuk menjaga keselamatan di laut berkaitan cuaca, keadaan air dan memerikan amaran kepada tuannya tentang bahaya yang menimpa.
Saka Hantu Laut juga boleh memberitahu dimana lokasi ikan yang banyak kepada tuannya dan membantu menghalau ikan masuk ke dalam jaringnya.