“Saya Mahu Bina Kerjaya Di Korea” – Khalid Ismail
Kemunculannya di kaca televisyen agak mengagumkan. Tambahan pula ia dikendalikan dalam bahasa yang sama sekali asing daripada bahasa ibundanya.
Dia juga bukanlah pelakon mahupun penyanyi, jauh sekali penghibur. Bagaimanapun, penampilan Muhamad Khalid Ismail dalam program televisyen Abnormal Summit yang ditayangkan di Korea Selatan itu berjaya mengundang perhatian masyarakat tempatan, malah antarabangsa.
“Saya bukanlah siapa-siapa. Orang biasa saja. Terkejut juga apabila ramai yang mengenali dan menyapa saya sedangkan saya tidaklah popular berbanding tetamu lain dalam program itu.
“Terkejut juga apabila akaun media sosial saya mula ramai pengikutnya selepas program itu,” senyumnya kala memulakan bicara.
Nyata, Abnormal Summit menjadi titik pengenalan Muhamad Khalid Ismail dalam bidang penyiaran. Tanpa asas dan persiapan rapi, lelaki ini petah saja aksinya di depan kamera.
Program berkonsepkan debat dan bual bicara itu memperlihatkan bagaimana lelaki yang mesra dengan panggilan Khalid ini berbincang pelbagai topik semasa membabitkan budaya Korea di mata penduduk asing.
“Asalnya saya tidak meletakkan harapan untuk tampil dalam program televisyen di sana memandangkan mereka mempunyai standard tertentu. Lagipun jarang orang kita terutama dari Asia Tenggara diberi peluang seperti itu.
“Ramai rakan yang mengesyorkan saya sertai uji bakat pelbagai program televisyen di sana kerana sifat saya yang gemar bercerita dan berseloroh.
“Tetapi disebabkan saya masih bekerja ketika itu dan ada komitmen lain, saya anggap mereka cuma bergurau dengan saya.
“Semuanya bermula apabila sal
ah seorang rakan Korea menghantar nama saya ke penerbitan Abnormal Summit.
“Disebabkan konsepnya yang menarik dan bukan program Korea tipikal, saya terus terima tawaran mereka tanpa berfikir panjang.
“Bagi saya, inilah peluangnya untuk saya tunjukkan kelebihan orang Melayu di samping berkongsi budaya Malaysia dengan lebih mendalam bersama masyarakat di sana,” katanya.
Usai penggambarannya bersama Abnormal Summit, Khalid muncul pula dalam program dokumentari yang mengkhusus kepada kisah pengalaman warga asing yang hidup sendirian di negara Hallyu itu.
“Dari dulu hingga kini tak pernah terlintas dalam fikiran untuk muncul di televisyen. Semua peluang yang datang saya terima secara terbuka dan sebagai ruang untuk menimba pengalaman baru.
“Saya gembira menerima maklum balas menarik mengenai perkara ini. Pada saat ada yang mengecam, malah bersikap negatif mengenai budaya Korea Selatan, K-Pop, K-drama dan sebagainya, saya berusaha tampil dengan menunjukkan sisi positif bekerja serta hidup di negara itu.
“Saya sama sekali tidak mengetepikan Malaysia, tanah air saya. Cuma rezeki dan peluang saya lebih mudah serta cerah di Korea,” ujarnya.
Minat bidang perniagaan
Meninjau latar belakangnya, anak kelahiran Kelantan ini pernah menuntut di Sekolah Maahad Muhammadi Lelaki di Kota Bharu, Kelantan sebelum menyambung pengajian jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Korea pada 2007.
Khalid terlebih dulu berpeluang mempelajari Bahasa Korea di Pusat Bahasa Universiti Nasional Seoul (SNU) selama hampir setahun.
“Selepas lima tahun di Seoul, saya berat hati untuk meninggalkan Korea lalu saya ambil keputusan untuk bekerja di sana.
“Pada tahun akhir pengajian, saya sibuk menghantar lebih 40 permohonan kerja hingga berjaya menerima tiga tawaran daripada syarikat besar di sana.
“Syukur laluan saya dipermudahkan dan selepas tamat pengajian, saya terus bekerja di Samsung C&T sebagai jurutera projek dan jualan.
“Saya ditempatkan di bahagian pembangunan teknikal perniagaan untuk projek O&G (minyak dan gas) serta perlombongan.
“Sememangnya hidup sebagai pelajar dan kemudiannya pekerja di negara luar amat berbeza. Saya terlebih dulu mempunyai ramai kenalan warga tempatan dan banyak bergaul dengan masyarakat Korea pelbagai usia. Jadi tidaklah mengalami kejutan budaya berikutan peralihan itu.
“Untuk kita yang beragama Islam dan bangsa Melayu juga sebenarnya agak sukar untuk hidup bebas serta selesa di sana.
“Sama seperti di Malaysia, wujud dua jenis manusia iaitu yang bersifat tertutup dan berpandangan terbuka.
“Hanya 30 ke 40 peratus yang kita lihat di televisyen itu sama realitinya di Korea kerana mereka juga bergelut dengan kehidupan dan saling bersaing.
“Apa yang saya suka ialah mentaliti mereka selaku masyarakat negara maju. Mereka amat menghormati seseorang yang mempunyai pencapaian tersendiri.
“Mereka juga amat hormat dengan individu yang mampu berkomunikasi pelbagai bahasa. Di sinilah kelebihan kita apabila boleh berkomunikasi dalam Bahasa Korea, Inggeris dan Melayu,” jelasnya.
Selepas lebih empat tahun bersama Samsung, lelaki berusia 28 tahun ini mengambil keputusan berhenti kerja pada awal Mei lalu untuk memberi tumpuan kepada minatnya dalam bidang perniagaan.
Buat masa ini, Khalid dalam tempoh berehat dan pulang ke kampungnya di Padang Bongor, Kota Bharu untuk menghabiskan masa bersama keluarga.
Namun masa senggang ini masih digunakan untuk beberapa tugasan bebas membabitkan syarikat Korea Selatan di Malaysia antaranya sebagai penterjemah majlis, perunding projek dan sebagainya.
Terkini, Khalid muncul sebagai tetamu majlis motivasi di Ekspo Kala @ HSK 2016 yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, Kota Bharu, minggu lalu.
“Saya terima apa saja peluang yang datang.
Dalam hidup ini kita tidak boleh terlalu memilih kerana kadangkala apa yang kita pilih itu membawa kepada sesuatu yang lebih besar dan lebih baik.
“Kalau diikutkan saya masih dalam fasa berehat, cuma sesekali memenuhi tawaran kerja bebas di Kuala Lumpur dan Kota Bharu. Saya akan kembali teruskan kehidupan di Korea bulan depan dan ketika itu saya akan mula fokus dalam bidang perniagaan. Mungkin juga kembali aktif dalam bidang penyiaran.
“Buat masa ini saya masih mencari rakan perniagaan yang sesuai di Malaysia kerana ia membabitkan urusan dagangan antara Malaysia dan Korea Selatan.
“Pada masa sama, saya berminat menyambung pengajian ijazah pengurusan perniagaan tahun depan. Saya berasakan ia penting demi masa depan perniagaan ini kelak.
“Bagi saya, kejarlah impian selagi mampu. Saya tidak kisah dengan kata-kata atau pandangan orang lain kerana ini membabitkan kehidupan saya, bukannya mereka,” katanya
SUMBER : METRO
hebat juga anak kelantan ni. budak sekolah agama lagi. semoga terus sukses dan memberikan inspirasi kepada yang lain.