Harga Petrol dan Diesel Berubah Setiap Rabu Berdasarkan Penetapan Harga Automatik (APM)

Sumber Rujukan : Utusan Malaysia 23 Mac 2017

Sebelum ini harga petrol yang di umumkan oleh kerajaan setiap bulan pastinya akan menyebabkan pengguna jalan raya beratur panjang di stesen pam minyak sehari sebelum harga minyak naik.

Kadar Komponen Penetapan Harga Automatik (APM

Kerajaan akan menumumkan penetapan harga petrol dan diesel secara mingguan pada setiap Rabu bermula 12.01 tengah malam bagi menggantikan mekanisme pengumuman secara bulanan seperti sebelum ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pelaksanaan kaedah tersebut akan dilakukan buat pertama kali Rabu ini dan harga tersebut berkuat kuasa keesokannya, 30 Mac.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pengusaha dan syarikat minyak supaya mematuhi penetapan harga baharu berkenaan dengan tindakan tegas akan diambil jika terdapat pihak yang menjual petrol dan diesel pada harga selain daripada yang ditetapkan kerajaan.

“Bagaimanapun, bagi mana-mana syarikat dan pengusaha minyak yang ingin melakukan promosi dengan memberikan diskaun daripada harga yang telah ditetapkan, boleh berbuat demikian dengan mendapatkan kelulusan terlebih dahulu daripada kementerian,” katanya menerusi siaran Berita Nasional 5 Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini, pada 22 Mac 2017.

Sementara itu, jelas Hamzah, penetapan harga secara pengapungan terkawal pada setiap bulan yang dilaksanakan ketika ini menyebabkan kegelisahan kepada pengguna dan pengusaha stesen minyak apabila perubahan atau kadar turun naik harga ini begitu ketara.

Katanya, ini berikutan kaedah tersebut mengambil pendekatan penetapan harga secara pengapungan terkawal mengguna pakai formula Penetapan Harga Automatik (APM) yang telah ditetapkan sejak 1983.

“Formula APM ini digunakan mengikut kadar pasaran harga minyak dunia dan kerajaan turut memberikan angkubah perkiraan untuk syarikat minyak dan juga pengusaha stesen minyak dengan angkubah ini ditetapkan kerajaan dengan mengambil kira komponen seperti kos produk, kos operasi, margin syarikat dan margin pengusaha stesen minyak,” ujarnya.

Sehubungan itu, Hamzah menambah, bagi menambah baik mekanisme sekarang, kementerian melakukan beberapa sesi keterlibatan dan konsultasi dengan syarikat minyak, pengusaha stesen minyak, pertububuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan lain.

“Hasil daripada perbincangan itu telah dibentang kepada Kabinet dan dipersetujui pada 22 Februari lalu agar kementerian melakukan mekanisme pengurusan pengapungan harga terkawal petrol dan diesel secara mingguan.

“Ini bermakna sebarang perubahan harga Means of Platts Singapore (MOPS) dan kadar tukaran asing dapat diterjemahkan lebih tepat mengikut perkiraan pasaran global,” ujarnya.

Dalam pada itu, ketika bercakap kepada pemberita di Angkasapuri, Hamzah berkata, kerajaan mengambil pendekatan baharu tersebut kerana perkiraan secara bulanan sebelum ini melibatkan perubahan harga yang terlampau sehingga mendatangkan rasa tidak selesa dalam kalangan pengguna.

“Kadangkala kita dapati perubahan harga yang terlampau sehingga 20sen satu liter. Saya yakin mekanisme baharu ini akan memberi rasa yang lebih lega kepada semua pihak terutamanya pengguna,” katanya.

Hamzah menjelaskan, selepas tempoh 12 bulan, kementeriannya akan mengkaji semula keberkesanan mekanisme baharu itu sama ada mahu meneruskan kaedah sama atau beralih kepada lain.

Beliau juga menjelaskan, pegawai-pegawainya akan menemui rakyat untuk mengadakan sesi dialog bagi menjawab segala persoalan yang bakal dibangkitkan nanti.

“Sebelum ini, saya juga telah mengadakan pertemuan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pengguna bagi membincangkan mekanisme baharu ini dan mereka dilihat menyambut baik,”ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat