Rakyat Masih Tak Ada Kesedaran ! Bapa Kecewa Hak Anak OKU Diseleweng oleh Peniaga


Diskriminasi terhadap golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) bukanlah perkara baru di kalangan masyarakat. Meskipun pahit untuk ditelan, hak golongan minoriti ini sering diketepikan kerana kesedaran sesetengah masyarakat yang masih tidak prihatin.

Baru-baru ini seorang bapa kepada anak OKU berkongsi sebuah situasi yang cukup mengecawakan. Bertempat di sebuah kompleks sukan di Klang, Isma Nizam Norahman cukup kecewa dengan diskriminasi yang dihadapi keluarganya.

Dalam perkongsiannya di Facebook, Isma mendakwa hak penggunaan parkir OKU di kawasan tersebut telah diseleweng oleh peniaga jalanan.

hak anak OKU Isma yang berusia 5 tahun diseleweng peniaga

Kredit : Facebook Isma Nizam Norahman

Isma yang tiba di kompleks sukan itu segera ke parkir OKU namun terkejut apabila mendapati sebuah kerusi di atas tapak letak kereta khas tersebut. Dia pun bergegas untuk mengalihkannya supaya dapat meletakkan kereta di petak parkir itu.

Namun, Isma terkejut apabila didatangi oleh seorang individu yang memintanya untuk mengalihkan kenderaan kerana mahu menjadikan petak parkir OKU untuk tapak berniaga dan tempat menurunkan barang.

Tambahnya, dia sudah memaklumkan bahawa anaknya OKU dan mahu menggunakan tempat letak kereta tersebut tetapi peniaga itu tetap bertegas mahu dia mengalihkan kenderaan.

Bukan Kali Pertama Hak Anak OKU Diseleweng

Kejadian tersebut difahamkan bukanlah kali pertama berlaku kepadanya. Cuma dia mula bersuara pada hari kejadian kerana beliau sendirian membawa anaknya beriadah di kawasan tersebut. Ketika itu, hampir semua parkir OKU sudah penuh.

“Saya cakap lagi sekali saya bawa anak OKU. Apa masalah untuk saya letak kereta di petak itu ? Kenapa nak kena alih ? Kemudian dia cakap sorry, terus dia pergi”, luah Isma.

Isma akui cukup kesal dengan kejadian yang berlaku pada hujung minggu lepas berikutan sebilangan rakyat negara yang masih kurang sensitif dengan hak OKU.

Isma menjelaskan anak keduanya itu mengalami kecederaan dalam otak sejak dalam kandungan dan dilahirkan sebagai penghidap cerebral palsy yang mempunyai masalah dari bahagian pinggang ke bawah. Jelasnya, anak berusia 5 tahun itu baru sahaja boleh berjalan pada tahun lalu dengan bantuan reverse walker.

hak anak oku diseleweng

“Kepada peniaga mahupun orang ramai, janganlah buat macam tu sebab ia bukan hak kita. Tempat itu sudah digazetkan untuk OKU. Saya harap kita semua ada sivik. Kena guna akal. Kita tak rasa apa yang orang OKU lalui,” tambah Isma.

Isma juga berharap pihak berkuasa tegas dalam membuat rondaan berkala. Menafikan hak OKU adalah satu masalah yang sudah lama berlarutan. Jika dibiarkan, ia boleh jadi barah kepada masyarakat.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat