Semangat Patriotisme Perlu Dijiwai
Merdeka! Merdeka! Merdeka.
Teriakan suara hangat, suara penuh semangat, suara keramat yang keluar daripada jiwa yang merdeka. Zaman dahulu, ketika nenek moyang kita menyebut serta melafazkan perkataan ini dengan suara bergetar yang mempunyai rasa dalam jiwa kerana berasa sangat terharu, sangat gembira dan sangat bersyukur. Bagaimana perasaan kita pada hari ini apabila mendengar laungan ini?
62 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan. Malaysia kini gah pada mata dunia dan antara negara yang kemajuan dalam segala aspek. Tetapi bagaimana pula dengan generasi hadapan? Adakah dapat kita selami erti kemerdekaan yang sebenar? Adakah jiwa dan fikiran kita benar-benar merdeka? Adakah betul cara segelintir remaja yang menyambut kemerdekaan?
Remaja dan Patriotisme
Setiap kali munculnya bulan Ogos, isu berkaitan semangat patriotisme sering kali menjadi buah mulut masyarakat kita. Patriotisme sering kali dikaitkan dengan cinta akan tanah air yang merupakan semangat dan nilai yang perlu dipegang oleh seluruh anggota masyarakat khususnya generasi muda.
Sekiranya semangat ini dijiwai dan diamalkan sebaik mungkin, ianya akan dapat menyumbang ke arah pembentukan generasi yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia. Oleh itu, generasi muda haruslah menjadikan nilai ini sebagai amalan atau pegangan serta disemai dalam jiwa mereka.
Patriotisme berkait rapat dengan nasionalisme dan kedua-dua istilah ini sering ditukar ganti penggunaannya seolah-olah sinonim dengan satu sama lain. Patriotisme juga membayangkan bahawa seseorang wajar mengutamakan kepentingan negara berbanding kepentingan diri dan kelompoknya.
Semangat patriotik dapat disimpulkan sebagai roh ataupun golongan yang mempunyai semangat dalam mengekalkan dan melindungi negara tercinta. Nasionalisme wujud selepas semangat patriotisme wujud dalam jiwa setiap individu dalam masyarakat itu.
Dua jenis patriotisme
Hakikatnya, patriotisme boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu patriotisme peribadi dan patriotisme rasmi. Patriotisme peribadi adalah berperasaan dan sukarela. Patriot mematuhi nilai patriotik tertentu, seperti menghormati bendera.
Kerajaan memupuk patriotisme rasmi yang penuh isi simbolik dan istiadatnya. Patriotisme ini adalah kepentingan logik negeri itu sendiri, yang memperoleh kesahan daripada menjadi penyataan kebaikan bersama komuniti politik. Tugu Negara dan Hari Pahlawan dan upacara peringatan adalah contoh bagi jenis patriotisme ini.
Kepentingan pupuk semangat patriotisme
Patriotisme banyak bergantung kepada tindakan simbolik, seperti mengibarkan bendera, menyanyi lagu kebangsaan, menyertai perhimpunan berunsurkan kenegaraan, atau apa cara sekalipun untuk menyatakan kesetiaan kepada negara pada peringkat umum.
Tanpa kita sedar semangat ini memainkan peranan yang sangat penting dalam diri setiap rakyat Malaysia dalam mengekalkan kemerdekaan yang telah kita capai selama ini. Antara signifikasinya adalah membina nilai persefahaman dan penyatuan antara kaum, menjadi pemacu kepada kemajuan negara serta satu pelaburan strategik ke arah keselamatan negara.
Tanpa perpaduan, rakyat Malaysia yang pelbagai bangsa akan mudah diprovokasi oleh pihak yang mempunyai kepentingan mereka sendiri. Dengan kefahaman patriotik yang tinggi, pemeliharaan dan pemerkasaan perpaduan dapat dibentuk dengan mudah. Dengan itu, peristiwa yang dapat menggugat keamanan negara seperti peristiwa 13 Mei dan peristiwa Kampung Medan 4 Mac 2001 dapat kita hindari.
Kestabilan ekonomi sesebuah negara tidak dapat dikekalkan jika ada masalah dalaman yang mereka hadapi tidak diselesaikan. Rakyat Malaysia perlu sedar akan kepentingan nilai patriotisme bagi memupuk semangat perpaduan yang tinggi sekali gus menentukan hala tuju negara ke arah negara maju yang kukuh. Kejayaan yang telah dicapai pada hari ini bukanlah bergantung kepada individu semata-mata, tetapi merangkumi semua aspek seperti ke arah patriotisme rakyat.
50 tahun mendatang merdekakah kita lagi?
Masihkah ada kemerdekaan untuk Malaysia pada masa 50 tahun yang akan datang? Hal ini kerana kian hari kita disajikan dengan perilaku anak bangsa yang semakin jauh atau melupai untuk mendalami erti sebenar semangat patriotisme ini. Anak muda sekarang lebih mudah terpengaruh dengan dengan perilaku negatif sehingga leka dalam menghayati semangat patriotik. Bagi mereka keinginan untuk turut serta dalam kekacauan itu sudah menjadi seperti trend yang dapat mereka banggakan.
Selepas 62 tahun mencapai kemerdekaan, mengapakah wujudnya penterjemah dalam mahkamah sedangkan Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi Malaysia? Keadaan ini membuktikan bertapa tahap patriotisme yang telah berkurangan dalam generasi kini. Hilangnya jati diri sebagai anak Malaysia menjadikan mereka lupa pada kewujudan Malaysia pada masa lalu.
Bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan tidak lagi menjadi kebanggaan kepada sesetengah anak Malaysia. Lebih menyedihkan, media sosial menjadi medium kebebasan untuk mereka bersuara tanpa batasan. Malah, ada juga yang menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran negara, mempersoalkan hak Bumiputera serta merendahkan kekuasaan Raja-raja di Malaysia. Ternyata mereka tidak memahami rukun negara kita, apatah lagi peruntukan Perlembagaan yang membataskan perkara tertentu dalam dibincangkan secara umum.
Perbaiki masalah perpaduan
Masih belum lagi terlambat untuk memperbaiki masalah perpaduan negara. Yang penting ialah keikhlasan. Barulah semangat patriotik di kalangan rakyat akan dapat disemai. Penggunaan bahasa kebangsaan harus digalakkan secara menyeluruh. Apa yang dilakukan sekarang bagus, tetapi masih belum lagi mencukupi.
Ironinya, apa erti Jalur Gemilang berkibar megah, jika nilai sejarah tidak dihormati? Apa gunanya setiap rumah mengibarkan bendera jika masih ada rakyat yang tidak boleh berbahasa kebangsaan? Apa ertinya negara akan menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Ke-57, jika rakyat yang berbilang bangsa masih lagi syak wasangka sesama sendiri. Semua ini masalah pokok yang harus diselesaikan. Jika tidak sambutan tidak ada erti dan tiada bezanya dengan perayaan lain yang dirayakan di negara ini.